MEREKA
masih belum berganjak. Hari ini hari
terakhir Amanda berumahtangga di hospital itu.
Segala discharge procedure sudahpun diselesaikan oleh
Wazif. Noreena dan teman-teman lain
hanya menunggu di rumah, atas permintaan Wazif sendiri. Dia ingin menghantar sendiri Amanda pulang ke
rumah, biarpun dilarang Amanda berkali-kali.
“Kalau
perkara itu yang awak nak jadikan sebab, saya tak boleh terima.” Wazif bangun.
Perasaannya
turut bangun memberontak. Akhir-akhir
ini dia mengesani yang alasan demi alasan dipertontonkan Amanda mempunyai sebab
tersendiri yang tidak dapat ditebak.
Taman di perkarangan hospital swasta berbelas tingkat di atas bukit itu
tenang. Bukit itu menganjur hingga ke
hujungnya yang terdapat stesen komuter.
Stesen dan landasan yang menjadi pemisah dengan sebuah lagi bukit yang
menempatkan kuarters ibu pejabat polis negeri.
“Saya
tak kata itu sebabnya...”
“Selama
ni pun, awak tak pernah beritahu saya sebabnya, Amanda!” suara Wazif sedikit keras.
“Apa,
awak berada di persimpangan? Saya dah
ada pesaing?”
“Melulu
tuduhan awak tu, Encik Wazif.”
“Saya
tak tuduh. Saya bertanya.” Bantah Wazif.
Semakin pejal melantunkan perkataan. Amanda membisu. Tangannya yang masih berbalut simen itu
diusap-usapnya. Seorang wanita dan
kanak-kanak dalam lingkungan umur sembilan tahun mendekati mereka. Tanpa disuruh, kanak-kanak lelaki itu
menyalami Amanda. Amanda meraih anak itu
ke dalam pelukannya. Wazif melihatnya
dengan serbuan rasa cemburu yang memarak selepas gerombolan amarah masih degil
menunggu melebarkan sengketa.
“Naufal,
anak Encik Nine. Datin Noor, ni
Wazif...” Wazif menunggu kata-kata
seterusnya tetapi tiada.
Amanda
tidak memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar kepada wanita berbaju kurung
sutera yang sedang membimbit beg tangan yang nampak mahal itu.
“Saya
nak bawa Amanda balik ke rumah saya...” beritahu Datin Noor
berterus-terang. Amanda dan Wazif
berpandangan.
“Tapi,
saya dah janji dengan kawan-kawan nak balik ke rumah.” Amanda cuba menolak.
“Tolong
Amanda. Jangan hampakan mak cik. Mak cik jemput Wazif sekali. Ada kenduri doa selamat malam ni. Lagipun, ada banyak hal tentang syarikat yang
mak cik nak tahu. Mak cik harap Amanda
tak keberatan.” Datin Noor meluruhkan
keegoan bertaraf datinnya dengan menggunakan ganti nama ‘mak cik’ dan bukan
lagi ‘saya.’ Baginya, misi memujuk Amanda untuk hadir ke majlis itu adalah misi
hidup mati.
“Marilah
auntie. Dah lama auntie
tak berborak dengan Naufal.” Naufal yang
keletah itu memujuknya di dalam bahasa Inggeris yang kedengarannya melucukan
dengan nafas yang tersekat-sekat.
Tangannya
masih tegar di dalam genggaman neneknya.
Wazif sekadar memerhati dan mendengar dengan bebanan rasa curiga. Amanda begitu mesra dengan Naufal. Tidak mustahil Amanda dan Zulkarnain? Atau mungkinkah Zulkarnain adalah
pesaingnya. Lalu, apa guna bermuram
durja.
Zulkarnain
sudah mengundur diri dengan caranya sendiri.
Wazif ingin bertepuk tangan.
Tetapi kewarasannya melarang. Apa
gilanya bertepuk tangan di depan dua insan yang sedang berkabung? Di mana dicampakkan perikemanusiaannya?
Bagaimana
kalau perkabungan Amanda memakan masa berbulan-bulan. Siapalah tahu kalau setiap inci pejabat dan
setiap tapak yang dilegarkan di dalam ruang itu meleretkan kenangan buat
almarhum Zulkarnain sehingga menerbitkan rindu yang parah di hati Amanda. Bermakna, dia yang lebih parah kerana dipaksa
menunggu! Bagaimana kalau ada kenangan
yang lebih manis daripada itu sehinggakan Amanda tidak betah mengusir walau
sebiji huruf daripada sebarisan nama Zulkarnain? Wazif terasa ingin menjerit.
“Wazif
datang malam nanti. Bawa
kawan-kawan. Mak cik ada buat bacaan
Yassin sekali.” Pesan Datin Noor sambil
memimpin tangan Amanda dan membawanya pergi.
Wazif terkebil-kebil.
Perbincangannya tadi dengan Amanda belum selesai, timbul pula petaka
baru.
Pak
Ngah Talib mengangkat ibu jarinya.
Mengagumi sebuah rumah agam yang terang benderang serta bacaan ayatul
Kursi yang sedang bergema di dalamnya.
Seperti dijanjikan, Wazif menjemput sekali rakan-rakannya. Lebih-lebih lagi Mazlan yang tidak mahu
ketinggalan menghadiri majlis-majlis sebegitu.
“Mudah-mudahan
bila aku mati, ada orang ingatkan aku dan sedekahkah Yassin. Semoga terang lubang kubur aku...” ucapnya acap.
Sebaris
perkataan yang kadang-kadang membuatkan rakan-rakan serumah lain terpukul. Wazif mengintai-intai. Tidak kelihatan kelibat Amanda. Entah di mana gadis itu berada. Ada hutang yang perlu diselesaikan dan ingin
diselesaikan segera.
Seusai
majlis dan ketika tetamu berpapasan pulang, dia melihat Amanda sedang
berbual-bual dengan bapa saudaranya.
Terasa bersalah untuk mencelah memandangkan Amanda tentu mempunyai pelbagai
cerita untuk dikongsinya dengan lelaki itu.
Wazif
hanya memerhatikan dari jauh. Seraut
wajah mulus tanpa palitan mekap tetap anggun di matanya. Berlebihan pula di hati. Amanda hanya berlalu apabila namanya
dipanggil seseorang. Beriringan dengan Pak
Ngah Talib, Amanda mendekatinya.
“Tolong
tumpangkan pak ngah saya untuk semalam lagi... esok saya balik ke rumah. Boleh?”
pohon Amanda. Wazif mengangguk,
tiada rasa tertekan malah dihurung kebanggaan kerana memberi bakti buat insan
tersayang.
“Amanda!”
Amanda
menoleh ke arah rumah ruang tamu rumah besar itu apabila namanya dipanggil lagi
untuk ke sekian kalinya. Datin Noor
mendatanginya yang berlindung daripada biasan cahaya lampu limpah yang memancar
di seluruh kawasan banglo itu. Amanda mengekori
Datin Noor sebelum diarahkan duduk di sofa.
Wanita itu sendiri mengambil tempat yang bertentangan.
Encik
Azri, juga Encik Mahir yang dikenalinya sebagai peguam syarikat turut
kelihatan. Akur, dia hanya membatukan
diri. Mata Amanda mengitari ruang tamu
rumah besar itu. Biarpun sudah lebih
daripada sekali dia keluar masuk ke dalam rumah itu. Almari hitam di bahagian tepi dipenuhi dengan
plak dan cenderamata.
Di
dinding, sebuah potret keluarga terisi.
Ada wajah Zulkarnain, Dato Hashim dan Datin Noor. Selebihnya, beberapa potret mengisi wajah
Naufal bersama datuk dan neneknya.
Kedapatan juga seraut wajah bersama Zulkarnain dan Naufal.
“Baiklah. Saya rasa semua dah ada di sini. Saya selaku peguam keluarga Dato Hashim akan
memulakan tugas sayalah...” ujar lelaki
berbaju melayu berwarna hijau itu sambil mengeluarkan sehelai kertas dari
begnya. Amanda masih
terpinga-pinga. Keperluan apakah yang
mendesak sehingga dia perlu hadir dalam acara pembacaan wasiat ini?
No comments:
Post a Comment