Renggang waktu yang terbatas sebelum
waktu melawat tiba, dimanfaatkan Amanda sebaiknya. Selepas membersihkan diri dan bersarapan, dia
berbaring merehatkan minda seketika.
Teman di katil sebelah sudah mula menyibukkan diri dan mengemaskan
bagasinya. Dia akan dicaj keluar hari ini. Malam ini, jika tiada pesakit baru, tidurlah
Amanda bertemankan sepi. Jika bosan
benar, dia akan keluar dari biliknya dan melangut di meja depan dan menganggu
para jururawat itu dengan celotehnya yang
bukan-bukan.
Kebanyakan petugas di situ, sudah
mengenalinya, lebih-lebih lagi Datin Noor juga kerap mendatanginya. Berkongsi perawakan yang sama, sifat peramah
mereka menyenangkan petugas di situ walaupun pada pandangan zahir mereka
terpisah dengan darjat yang berbeza.
Bibir Datin Noor tidak pernah kering dengan ucapan terima kasih, baik
pada doktor, jururawat, atendan malahan tukang cuci yang sedang mengemop lantai
di luar wad Amanda.
“Ha’ah. Mak mertua tiri sebelah bapa saudara tiga
pupu angkat akak...” jawab Amanda
apabila ada jururawat yang meneka hubungannya dengan Datin Noor.
“Akak ni, cakaplah
betul-betul.” Marah gadis berpakaian
serba biru lembut dengan tudung warna yang sama.
Amanda
kelihatannya sudah sihat benar tetapi masih tidak dibenarkan keluar dari
hospital swasta itu. Bila ditanyakan
kepada doktor, dia diberikan alasan atas arahan pihak atasan.
“Dia emak bos akak.”
“Ha, ni mesti dia berkenan nak buat
menantu. Macam dalam novel yang biasa
saya baca. Kisah datin-datin kaya yang
baik macam Datin Noor ni. Bila dia jumpa
dengan gadis yang bersesuaian, dah berkenan mulalah datang hajat nak
bermenantu. Tapi, anak lelakinya dah ada
pilihan sendiri. Jadilah kahwin paksa
dalam suka.” Kata jururawat itu sambil
tangannya lincah meregangkan cadar berwarna merah jambu itu.
“Novel apa tu?” tanya Amanda semula.
Kisah-kisah
begitu tidak ditemuinya dalam naskhah koleksi miliknya hasil tangan penulis
Barat yang dikaguminya, Danielle Steel.
“Banyak kak. Kalau akak ada masa, akak pergilah kedai
buku. Banyak cerita-cerita macam
tu. Takpun, akak pergi ke laman web
penerbitan buku yang popular kat Malaysia ni.
Baca sinopsisnya. Lebih kurang
sama aja ceritanya...” komen gadis
berkulit hitam manis itu. Amanda
membiarkan sahaja gadis itu menggunakan ganti nama diri kakak kepadanya biarpun
dirasakan umur mereka tidak jauh berbeza.
Apa ada pada ganti nama?
“Akak tak baca novel Melayu,
dik. Akak baca novel Danielle Steel
saja. Itupun setengah tahun habis satu
bab...” sela Amanda. Gadis jururawat itu menelan liurnya mendengar
kenyataan berbaur angkuh dari mulut gadis itu.
“Akak cubalah baca. Kalau akak tak suka cerita-cerita yang saya
cakap tadi, nanti saya bawakan akak novel-novel penulis wanita Malaysia. Setanding dengan Danielle Steel akak tu.”
Amanda
hanya ketawa mendengar kata-kata itu.
Sedikitpun dia tidak tersinggung.
Bukan persoalan novel Melayu atau novel Barat yang ingin ditekankan pada
ayatnya tadi. Persoalannya ialah, dia
tidak punyai cukup masa untuk membaca.
Saat sepulang bekerja, usai membersih diri, mata tidak mahu lagi
ditopang dengan bacaan ringan mahupun sebaris perkataan daripada sebuah
buku.
“Dida...kau baca novel?” jerit Asweeta sebaik sahaja membuka pintu dan
melihat Amanda sedang tekun menyelak helaian demi helaian novel yang tertera
gambar tingkap terbuka di kulitnya. “Novel
Melayu pulak tu...” tambah Asweeta
dengan gaya ala-ala terperanjat yang dibuat-buat. “Tak
marah ke Danielle Steel kalau kau baca novel orang lain ni...” sindir Asweeta.
Di
dalam rumah sewa mereka, ada yang langsung tidak meminati sebarang bahan bacaan
seperti Ramona Azwa. Asweeta pula
menggilai novel dan akan membelinya tanpa melihat genre ataupun
penulisnya. Noreena lebih menyukai bahan
bacaan ilmiah atau motivasi. Temannya
yang masih ditahan di wad itu pula hanya menumpukan kepada novel Inggeris.
Waima, novel itu kadang-kadang terkangkang tidak berusik betul-betul di bawah
katil selama berbulan-bulan.
“Ada jururawat yang pinjamkan. Aku bacalah.”
Amanda menjawab tanpa mengangkat muka.
Asweeta
meletakkan bungkusan yang dibawanya ke atas kerusi. Terkencar-kencar menuju ke bilik air.
“Tak tergeliat ke lidah kau membaca
novel Melayu?” Asweeta masih ingin
menyindirnya. Tangkas tangannya merampas
novel tebal tersebut dari tangan Amanda.
Amanda terjerit. Tetapi tenaganya
tidak sekuat tenaga Asweeta yang membawa novel tersebut mendekati tingkap
kaca. Dia mengeluh dan membiarkan
sahaja.
“Bagilah aku baca dulu. Dah klimaks dah tu...” rayu Amanda.
Asweeta
ketawa terkekeh-kekeh. Novel yang
berwarna putih kulitnya dengan gambar kulit yang ringkas itu terjelepuk
melantun di atas tilam Amanda.
“Baru kau tahu penangan novel Melayu. Norhayati Berahim pulak tu...”
“Eh, aku tak pernah under-estimate novel-novel melayu okey...”
“Habis yang kau tak pernah baca
kenapa? Balik-balik Danielle Steel. Balik-balik Danielle Steel. Orang yang tak
biasa dengan engkau, pasti ingat kau berlagak.
Pasti ingat kau tu mat salleh celup. Melayu layu tak sedar diri.” Sebutir demi sebutir tembakan kata dilepaskan
oleh Asweeta. Amanda hanya berpeluk tubuh memerhati mulut becok teman
sebiliknya itu.
“Sayangku Asweeta. Kau nampak tak kerja aku macam mana? Kau ada nampak tak berapa lama aku nak
habiskan satu novel? Aku bukannya
memilih bulu. Aku tak ada pilihan. Masa lapang aku santak sangat.”
Asweeta tidak menjawab. Tersedar bahawa tiada gunanya mereka bertekak
mengenai novel Melayu atau Inggeris ketika ini.
Amanda masih lagi dalam kondisi memerlukan rawatan. Seandainya dia tahu apa yang berlaku pada
insan lain yang sekereta dengannya tempohari, Asweeta tidak dapat membayangkan
reaksinya.
Asweeta terserempak dengan Datin
Noor hanya dua kali. Itupun ketika
Amanda masih belum sedarkan diri. Tidak
dapat dijolok gejolak rasa yang ada di dalam hati perempuan yang kelihatan muda
dengan senyuman yang tidak pernah mati di bibir. Ingin diluahkan rasa simpati tetapi Datin
Noor kelihatan begitu tenang. Asweeta
cuba meletakkan dirinya di tempat Datin Noor.
Bagaimanakah rasanya kehilangan satu-satunya anak lelaki?
Seperti orang Cina yang begitu
mementingkan anak lelaki untuk meneruskan nama pangkal keturunan. Begitu juga untuk Datin Noor yang mewarisi
khazanah berupa harta bertimbun di antara langit dan bumi peninggalan suami. Kini anak lelakinya pula yang meninggalkannya.
Mahu tidak mahu, selepas ini
pastilah wanita itu harus menggunakan keseluruhan kudrat wanitanya untuk
menggerakkan syarikat selepas kesemua lelaki di dalam hidupnya yang dipinjamkan
Allah diambil kembali. Asweeta melengung. Kalau aku di tempat Datin Noor, bagaimana
agaknya?
No comments:
Post a Comment