..yang bernama sahabat

Tuesday, 21 May 2013

Amanda Allamanda 12


            
MATANYA tergam kukuh pada telunjuk jururawat yang mencatuk-catuk papan kekunci di depannya.  Ingin dicapai, digigit serta dikunyah-kunyahnya jari telunjuk itu.  Bagi seorang pelajar kesetiausahaan yang memegang hukum menaip asdf ;lkj pada papan kekunci ciptaan John Qwerty itu, kaedah mematuk itu sangat menyakitkan hati.  Jururawat berbangsa Cina itu mengerutkan dahinya dan kemudiannya menggeleng-geleng.


            “Zulkarnain Hashim?  Are you sure?” 

Amanda menjongkokkan tubuh bagai ingin turut sekali berada di kaunter itu.  Tetapi melalui jalan depan. Melompat dari depan.  Untuk memuaskan hatinya, jururawat tersebut menghalakan skrin komputer ke arah Amanda. 

            “NothingThere’s no record at all.”  Jururawat itu bersuara tenang.  Sudah biasa dengan telatah pelanggan atau waris pesakit yang tidak mahu berpuas hati dengan alasan ‘tiada’.

            “Or maybe you can put dato’ in the middleHow about Abu Bakar Ahmad?”  Amanda mempamer riak tidak putus asa yang berlebihan.  Dia benar-benar ingin mengetahui nasib kedua-dua mereka. 

            “Discharged a few days ago.”  Terpejam mata jururawat itu memberitahu.  Amanda tersenyum.  Hamdallah berlagu di dalam hati.  Setelah mengucapkan terima kasih, dia berjalan perlahan-lahan meninggalkan lobi utama itu menuju ke lif. 

            “Amanda dari mana?”  Wazif berlari anak sambil melurukan soalan setelah dilihatnya Amanda muncul dari dalam lif.  Dia mendekat, ingin dipimpinnya tetapi Amanda menolak. 

            “Saya cari Encik Nine.”

            “Dia dah tak ada.”

            “Bila dia balik?”  Amanda yang bersangka baik melemparkan senyum.  Wazif mengekori Amanda yang masuk terus ke dalam biliknya. 

            “Betul awak tak tahu ni?”  Wazif mengerutkan dahi dan membantu merendahkan kedudukan katil sebelum Amanda melabuhkan jasad di  atasnya. 

            “Zulkarnain dah meninggal dunia.”  Wazif bersuara senafas. 
Amanda melongo sebelum lafaz innalillah terluncur langsung dari dakapan bicaranya.  Lemah sendi terasa.  Terngiang-ngiang tentang hasrat Yusriati hendak meracun Zulkarnain dan dia menjadi teman subahatnya.  Sesak nafasnya mengenangkan niat itu, biarpun dalam gurau cuma. 

Zulkarnain, maafkan aku.  Rintih hatinya. Biarpun kau banyak kerenah, engkau tetap lelaki dan majikan yang baik.  Patutlah Datin Noor sering saja mengelak dan terkadang hanya menjawab ‘ada’ tetapi tidak meleret-leret mengomel mengenai anak lelakinya itu.   Tidak seperti selalunya. 

Wajah Wazif bertukar keruh apabila Amanda memegang dada tiba-tiba.  Amanda larut dalam sebak.  Terasa ada batuan dosa yang berat menghempap dada.  Pandangannya dikaburi kata-kata dengan niatnya dahulu. 

Satu-persatu perkataan yang terhambur dari mulut Zulkarnain sedang beratur di dalam kepalanya.  Mengenai Berlian Floating Resort.  Mengenai bungkusan di atas kabinet di belakang mejanya.  Apakah Zulkarnain sudah merasai kehadiran hamba Allah yang patuh akur dengan tugasnya itu?  Apakah Zulkarnain sudah mendapat alamat akan kedatangan hari yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa dalam hidup seorang insan itu.

“Kenapa dengan Amanda?”  tanya Noreena sebaik sahaja dia gagal menolak pintu bilik yang menempatkan Amanda. 

Dalam ritma kegusaran, Wazif menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi.  Berhambatan astaghafar bertali arus dari mulut Noreena.  Ketiga-tiga mereka sudah dipesan oleh Datin Noor untuk tidak bercerita kepada Amanda tentang kedudukan Zulkarnain.  Setidak-tidaknya buat masa ini.  Tetapi, lelaki pujaan wanita sedunia ini gatal mulut pula memberitahu Amanda. 

Mereka berdua terkocoh-kocoh mendekati pintu apabila pintu wad dibuka dari dalam.  Doktor muda yang mungkin sebaya dengan dirinya itu menghadiahkan senyum kepada Noreena.  Sekadar itu.  Kemudian dia berlalu.  Amanda sedang terlena dengan wajah yang masih basah.  Wazif dan Noreena mendekati.  Ada derita yang berkisah panjang pada wajah itu.  Tiada sesiapapun di antara Noreena dan Wazif yang dapat membaca kisah itu.

“Pak ngah...”  saat Amanda membuka mata, sekujur tubuh tua berdiri di hujung kakinya. 

Hanya berkemeja lusuh dengan songkok kusam serta wajah yang tak berbela, menambahkan lagi ketuaannya.  Mata lelaki tua yang mulai diselumak glaukoma itu berkaca.  Bungkusan plastik berisi kain pelikat dan baju melayu diletakkan di hujung kaki Amanda.  Belas timbul di hati tuanya melihat keadaan Amanda.  Pak Ngah Talib mengesat sesuatu di bibir matanya. 

Dengan payah, dia menyampaikan salam tok empat dan isterinya.  Tentu Tok Empat Fatah yang menghantar Pak Ngah Talib keluar ke simpang Tebing Tinggi.  Entah-entah, Tok Empat Fatah juga yang menghantar Pak Ngah Talib ke stesen bas di bandar Jerantut. 

Selama ini, Tok Empat Fatah yang menjadi penghubung di antara Amanda dan Pak Ngah Talib.  Seminggu sekali, dia akan menelefon ketua JKKK itu atau isterinya untuk bertanyakan khabar bapa saudaranya.  Apabila sudah hampir seminggu menyepi, tentulah muncul berbagai-bagai prasangka di kepala tua bekas sarjan pencen itu. 

Amanda teresak-esak semula.  Susah-payah Pak Ngah Talib menghadirkan diri sehingga ke hujung kakinya membuatkan dia lebih terharu.  Jarak dari kampung Jerangsang ke simpang Tebing Tinggi bukannya dekat.  Ditambah pula dengan kemudahan bas berulang alik dari Jerantut ke Temerloh dan sebaliknya agak sukar diperolehi kerana faktor jarak.  Tangan kesat Pak Ngah Talib menyeka air mata yang berlarian turun di pipi lembut milik Amanda. 

“Pak ngah jangan balik dulu.  Tunggu sampai Dida keluar hospital ya.”  Pinta Amanda kerana dia tahu bapa saudaranya itu akan berkeras mahu pulang juga. 

Pak Ngah Talib tidak mengangguk.  Sebaliknya memberi isyarat yang dia tidak mempunyai tempat untuk menumpang teduh.  Noreena dan Wazif serta Wawa yang membawa Pak Ngah Talib ke hospital hanya menjadi penonton.  Menonton dengan keharuan kerana sebelum ini, latar diri Amanda sangat sedikit diketahui mereka. 

Lebih-lebih lagi bagi Wazif.  Menjadikan perasaan ingin menjadi pelindung buat Amanda dan bapa saudaranya menjadi kian tebal.  Dia mahu menjadi pemegang titik noktah kisah derita buat kedua-dua mereka.  Amanda dan bapa saudaranya.   

“Pak Ngah tidur rumah Dida.  Nanti Wawa atau Reen boleh bawa pak ngah balik...”  Amanda memujuk cermat.  Lelaki dengan wajah diintai kedut itu menggeleng pantas.  Tetap menolak.

“Tak apalah pak ngah.  Pak ngah ikut saya balik.  Tidur di rumah saya.  Kat rumah saya semuanya lelaki, bujang belaka.”  Wazif menepuk lembut bahu Pak Ngah Talib. 

Mengesan ketidakselesaan lelaki itu untuk menumpang tidur di rumah anak gadis, biarpun gadis itu anak saudaranya sendiri.   Pak Ngah Talib merenung tepat anak mata Wazif yang baru membersihkan semak samun di wajahnya.  Ada sinar ikhlas di dalam renungannya itu.  Pak Ngah Talib mengangguk.  Amanda sekadar memandang Wazif dengan pandangan sayu sebagai ucapan terima kasih.   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...