KAKINYA
bagai terpasung sekali dengan kedua-dua belah tangan. Jalannya leweh dan lambat. Terasa dia adalah tawanan Al Qaeda yang baru
selesai dibawa bersiar-siar melihat matahari di Penjara Guantanamo. Mengutuhkan penyaksian terhadap Pencipta dan
Pemilik langit dan bumi. Bahawa setia
ujian buat hamba-Nya adalah tanda kasih sayang dan rahmat tak terhingga. Dia seakan-akan dipenjara masa dan
ditinggalkan oleh hiruk pikuk manusia yang menjuju masuk ke dalam bangunan
sebelas tingkat itu.
Di depan pintu lif pun dia masih
berteleku.
Membiarkan sahaja deruan
manusia yang mengejar masa masuk kerja yang kian menghampiri. Mana yang mengenalinya, melempar senyum
sedikit aneh. Dia membalasnya dengan
senyum yang lebih aneh.
“Astaghafirullah hal azim. Aku ingatkan mayat mana tadi!” Kak Lily, penyambut tetamu di ruang pejabat
tingkat enam itu menyapanya.
Sebelah
tangannya mengurut-ngurut dada sendiri. Mug
di tangan kirinya diletakkan di atas meja melengkung menghadap ke pintu masuk
pejabat urusan kontraktor pembinaan jalan dan bangunan yang terkemuka di Lembah
Kelang itu. Dia membuntuti Amanda yang
seakan-akan perlukan bantuan untuk meneruskan beberapa tapak ke mejanya.
“Bangun lambatlah, kak. Tak sempat nak sapu apapun. Budak-budak tu, seorang pun tak kejutkan
saya...” Amanda memberi alasan. Lemah suaranya. ‘Maafkan aku, Reen, Wawa dan Asweeta. Menggunakan kalian sebagai alasan!’
“Takkanlah teruk macam ni
sekali. Orang berkabung mati laki pun
tak macam kamu ni...Pukul berapa kamu tidur?”
Lily bertanya. Memerhatikan sahaja Amanda memasukkan beg
tangan jenama antarabangsa yang didakwa asli oleh Amanda itu ke dalam laci
mejanya. Apa nak dihairankan, memang dia
mampu, Lily memujuk hati yang dihurung
sekelumit cemburu. Amanda menjengah ke
arah bilik yang bertulis Pengarah Urusan di pintunya.
Amanda mengangkat ke sepuluh-sepuluh
jarinya. Kunci dikeluarkan daripada
begnya untuk membuka laci kerja.
“Sepuluh?” Apa pulak tak sempatnya. Sekurang-kurangnya
calitlah gincu sikit. Pucat sangat. Kamu sakit ya?” Teka Lily, sangat prihatin.
Amanda
menggeleng-geleng, sambil menyengetkan sikit badannya. Mencapai kasut kulit tumit tinggi berwarna
hitam setinggi 3 inci yang sengaja ditinggalkan di pejabat, di bawah meja. Hitam, warna selamat dan masuk tidak kira apa
sedondon atau dua dondon sekalipun.
Setelah komputer dihidupkan,
jemarinya pantas membuka aplikasi kalendar untuk menyemak segala tugasan
berkaitan dengan lelaki yang akan berada di dalam bilik yang masih gelap
itu. Setelah pasti Lily sudah kehabisan
kata, dia bangun menuju ke dalam bilik itu.
Tirai di belakang meja disingkap dan senyum
matahari pagi terserlah tanpa gagal.
Terus berzikir memuji Tuhannya tanpa lepa. Tidak seperti makhluk bernama manusia yang
sebenarnya tidak sehebat mana. Fail-fail
yang patut dikeluarkan, diambil dan yang memerlukan perhatian segera,
diletakkan betul-betul di atas meja di bahagian tengah.
“Yang lain mana ni?” Amanda melenggang keluar dari bilik sambil
bertanya kepada Lily dengan suara yang kuat.
Lily yang sedang membaca akhbar bersaiz kompak itu menoleh.
“Aih, kamu bukannya tak tahu. Selagi tak berdentang-dentum jam kat dinding
tu, jangan haraplah nak nampak muka masing-masing. Aci, ada le.
Kamu nak suruh dia hantar surat ke?”
Lily ketawa. Aci atau Auntie
Kamala menghampiri mereka dengan pembersih bulu ayam dan sehelai tuala yang
tersangkut di bahu.
“Cik Amanda, Puan Lily. Selamat pagi...”
Kemudian
dia meminta diri. Masuk ke dalam bilik
berkeluasan ruang tamu rumah kos rendah itu.
Menjadi rutinnya membersihkan bilik tersebut sebelum penghuninya
tiba. Encik Zulkarnain tidak
cerewet. Tidak pernah bising kalau pun
karpet tidak divakum. Tidak pernah
membebel kalau terdapat habuk di rak buku bersebelahan tandas di dalam bilik
itu. Tidak kisahpun jika pewangi tandas
sudah menyurut rona kesegaran sudah menyusut.
Tetapi, Aci merasakan itu adalah
tanggungjawab dan dia dibayar gaji untuk melangsaikan tanggungjawab itu.
“Nine ada berapa appointment hari
ni?” Soalan terus terpacul daripada
mulut Encik Azri, pengurus projek merangkap penasihat syarikat dan dikuatkan
lagi dengan talian persaudaraan di sebelah bapa Zulkarnain. Dia menjentik-jentik meja Amanda dengan
kelima-lima jarinya dan menghasilkan irama tidak ketahuan punca. Sesekala, dia menjengah ke skrin komputer
setiausaha anak saudaranya itu.
“Tiga.” Amanda memuktamadkan kata dan menoleh ke arah
Encik Azri. Lelaki itu sedang
mengeluarkan tali leher daripada kantung seluarnya.
“Telefon Yus, selaraskan appointment jam dua belas tu. Lepas tu batalkan yang 9.00 pagi tu,” suara Encik Azri tenggelam timbul kerana dia
sedang sibuk membetulkan ikatan tali lehernya.
Dia melurut-lurut tali lehernya tanda puas hati dan berundur
meninggalkan meja Amanda.
“Batalkan? Encik Nine dah tahu ke?”
“Dia masuk nanti, awak
beritahulah. Penting tau. Jangan awak lupa pula. “
“Tapi Encik Azri...”
“Saya kata batalkan, batalkan.”
Amanda berhenti
mengejar Encik Azri apabila lelaki itu sudahpun menghilang di sebalik pintu
kaca menuju ke pejabatnya di tingkat tujuh.
“Aduh...!”
Berlambakan fail keras dan fail
jernih berisi dokumen jatuh betul-betul di depan mejanya. Zulkarnain bercekak pinggang, berdiri di
ambang pintu biliknya. Ikatan dasi di
lehernya ditarik-tarik untuk mencari ruang nafas.
“Apalah awak ni...” tegur Zulkarnain tetapi mendekat membantu
Amanda yang sedang berlutut mengutip dokumen yang berselerak.
“Bila Encik Nine sampai...?” Lelaki ni macam halimunan. Tiba-tiba sahaja terpacak di depan pintu
biliknya.
“Kalau nak berangan, tak payah
kerja. Duduk kat rumah!” Zulkarnain bersuara sinis tanpa menjawab
soalan Amanda. ‘Eleh, cakap lawa macam
Sarip Dol!’ Amanda mencemik. ‘Kalau aku duduk kat rumah, siapa nak uruskan
kau? Sampaikan nak beli barang dapurpun
kau heret aku, nak suruh aku duduk rumah...’
“Duduk rumah siapa? Rumah saya atau rumah encik?”
“Awak jangan nak perasan ya...” sela Zulkarnain.
“Encik pun jangan nak perasan. Saya maksudkan benda lain ya...”
“Benda apanya? Duduk rumah saya maknanya kahwin dengan saya. Tak nak saya!”
“Saya lagi tak ingin Encik Nine
oi. Daripada bersuami orang kepala angin
macam encik, baiklah saya mendara sampai ke mati...” Amanda menghempaskan dokumen yang sudah siap
dikutip ke atas mejanya.
Zulkarnain
juga sudah berdiri, bercekak pinggang.
Lily menjengah dari mejanya. Hmm,
anjing dengan kucing tu dah mulakan perang sabil mereka lagi. Adakalanya dia masuk campur untuk
meredakan. Tapi pada kebanyakan masa,
dibiarkan sahaja. Lily sendiri tidak
dapat mengagak anjing dengan kucing berupa manusia ini benar-benar bertekak
atau sekadar bergurau kerana kedua-duanya akan kelihatan serius bekerja selepas
itu. Hanya sesekala, ketawa dan senyum
menghiasi ruang kerja mereka.
No comments:
Post a Comment