..yang bernama sahabat

Friday, 17 May 2013

Amanda Allamanda 10


SAAT Amanda membuka mata, dia mendengar bacaan antara dua sujud yang tenggelam timbul.  Dua baris ayat yang terakhir itu ikut sekali memantak di dalam kepalanya.  Sihatkanlah aku.  Maafkanlah aku.  Terngiang-ngiang tanpa henti. 
Dia mengingati dua ayat tersebut kerana baris itu pernah melintasi minda ketika dia membaca status seorang sahabat di laman muka buku.  Yang lain, hilang daripada ingatan.  Wa afini, difahami berasaskan perkataan afiat, bermakna sihat.  Wa’ fuanni, maafkanlah aku.  Dia cuba menoleh tetapi lehernya terasa sakit.

            Pandangannya hanya menujah pada silau lampu tandas yang terang.  Cuba diangkat tangan kanannya, berselirat dengan saluran intravena yang dihubungkan melalui urat tangan buat membekalkan air dan ubat.  Matanya terasa sangat segar.  Seakan-akan tidur panjang bersama mimpi ngeri tadi ubat mujarab sehingga membius segala keletihan yang memerangkap tubuh.  Dia berdehem-dehem kecil apabila terasa tekaknya tersangat perit.
            “Dida...”  Noreena gesit bangun dari tahyat akhirnya yang baru mencecah salam ke bahu kiri. Bertalu-talu hamdallah keluar, perlahan dan lembut daripada bibirnya.    “Syukur Ya Allah.  Syukur Ya Allah.”  Noreena mencium dahi dan mengusap pipi Amanda kiri dan kanan.  Amanda terkebil-kebil melihat perlakuan Noreena lebih-lebih lagi apabila terpandangkan air mata yang terjun dari birai mata Noreena.  Mulanya sedikit kemudian melebat.  Mulanya Noreena menyapunya tapi akhirnya dibiarkan sahaja.  Bersatu dengan air hidung. 
            “Reen.  Wazif mana?”  tanya Amanda dalam suara yang serak.
 Automatik Noreena berdiri tegak.  Tidak mahu melatah, dia menghulurkan sebotol air galian beserta penyedut minuman. 
            “Engkau ni...tanyalah bila aku datang.  Apa kami buat kat sini, berhari-hari menunggu kau.  Sedap sikit perut aku mendengarnya.  Ini tak, celik mata pujaan hati kau jugak yang kau sebut.”  Leter Asweeta yang turut terjaga apabila Noreena memanggil nama Amanda tanpa henti tadi. 
            “Aku nak minta maaf pada dia...”  balas Amanda.  Kali ini bicaranya lancar.  Air yang melalui tekak sudah melicinkan perjalanan suaranya.
            “Dia ada.  Nanti Wawa telefon dia.  Kau rehat dulu ya.”  Pujuk Noreena. 
Dalam masa yang sama matanya mencerlung pada Asweeta.  Isyarat bahawa ‘jangan membebel!  Sekarang pukul empat pagi.  Jam empat pagi jam hamba bermanja-manja dengan Allah.  Merayu memohon ampun.  Bercerita, bertangisan mengadu sebondong resah.  Bukan mendengar ceceran kau!’  Noreena duduk kembali di kerusi tetamu.  Tetapi genggaman tangannya tidak lepas daripada tangan Amanda.  Malah dadanya hampir mencecah sisi katil. 
            “Kau ingat apa yang jadi pada kau?”  tanya Asweeta kembali.
 Sudah mula menyoal siasat.  Duduk bertentangan dengan Noreena.  Duduk dekat dengan Noreena nanti hanya menadah kulit menjadi mangsa cubitan jemari runcing gadis itu.  Ada-ada sahaja kata-katanya yang tak kena di telinga Noreena.  Noreena tidak mampu menghalang. 
Kalau Asweeta ada di sebelahnya, akan ditekupnya bibir mungil itu daripada bertanya.  Amanda menggeleng-geleng.  Mindanya tidak dapat mencecah lagi tentang peristiwa itu.  Yang masih lekat ialah lelaki bertopeng tembaga yang berkilat dengan pandangan yang tidak dimengertikan.  Malahan denyutan itu semakin kuat berhambatan keluar dari cepu kepala apabila acapkali terlalu memaksa ingatan mengulang kejadian. 
            Wajah Zulkarnain dan Pak Cik Hassan berbalam-balam.  Entah bagaimana mereka sekarang.  Amanda mengambil keputusan untuk melelapkan mata.  Ketika lelapannya mencapai tahap maksima bagaikan jelas aliran darah mengalir dari sebuah bukit.  Aliran itu kian lama kian dekat dan cuba membanjirinya yang sudah dipaku kakinya.  Si pemuda berbaju putih bertopeng tembaga muncul lagi.  Tidak membantu, malah membiarkannya dibanjiri di dalam lopak merah yang hanyir itu.  Tiada sebarang percikan mengenai susuk lelaki itu.  Walaupun dia berdiri terlalu hampir. 
            Kalungan astaghafar bagaikan berhambatan mengelilingi gegendangnya.  Bait demi bait berlagu sehingga akhirnya bagaikan suis menyentuh hatinya.  Terasa debaran aneh mendebur di dada.  Suara Noreena sayup-sayup di telinganya. 
            “Allah sayangkan kau.  Dipilihnya kau.  Diberi rasa sakit supaya kau sedar nikmatnya sihat.  Dia nak dengar doa kau.  Dia nak kau minta dengan Dia.  Berdoalah Dida.  Berdoa...”  Suara Noreena terus-terusan berdedai di tepi telinga. 
Tazkirah biasa semenjak dari zaman kolej lagi.  Dulu, dianggukkan sahaja untuk menjaga hati Noreena.  Dulu dibiarkan melintas di depan mata bagai sekawan bangau merentas benua. Tetapi kali ini lebih bermakna kerana dia merasai sendiri rindunya pada nikmat kesihatan. 
            “Kalau kau sihat nanti, kita buat kenduri doa selamat.”  Kata Noreena memberikan semangat. 
Hakikatnya, dia sendiri buntu untuk menyenaraikan kata-kata memberikan kekuatan semangat buat temannya itu.   Mengingatkan kenduri, hati Amanda merintih.  Tiada siapa yang menyedari kehadirannya selama ini.  Ayahanda dan bondanya sudah berangkat ke alam baqa pada awal usianya.  Dia kemudiannya terbuang di rumah Pak Ngah Talib.  Menumpang bapa saudaranya yang bisu tetapi kuat bekerja itu.
            Masuk tingkatan satu, bermulalah dekad baru dalam hidup yatim piatunya.  Dia ditempatkan di asrama atas saranan gurunya untuk memastikan kebajikannya dipermudahkan.  Asrama anak yatim menjadi ayah dan ibu, menjadi pengajar awal dalam kehidupan remajanya.  Musim-musim remajanya diisi dengan kerinduan terhadap kasih ibu dan ayah. 
Tiada siapa yang mendoakan kejayaannya.  Tiada senyum yang menghantarnya setiap kali mendaftar di semester baru.  Tiada tangan ayah yang mengusap kepala memberi restu.  Pak Ngah Talib yang bisu itulah satu-satunya saudaranya yang dikenali.  Dia tahu dia mempunyai saudara lain kerana kebanyakan jiran-jiran sekampungnya merupakan kelompok komuniti yang diasaskan daripada satu keturunan.  Tetapi tiada siapa yang mengenalkan diri sebagai emak saudara, bapa saudara, saudara sepupu atau apa-apa sajalah.  Jika pulang ke kampung, lelaki tua uzur itulah yang dicarinya dulu.
            Pernah dipelawanya adik kandung arwah ibunya itu tinggal bersama-samanya di bandar.  Tapi ditolak baik oleh lelaki itu.  Sayangkan ayam.  Sayangkan lembu dan kambingnya.  Terang Pak Ngah Talib dengan isyarat tangan yang payah.  Pak Ngah terus membujang.  Terus sendiri.  Membiarkan hari tuanya digigit sepi. 
            “Sayang.”
            Suara girang Wazif bagai membuka matanya.  Selepas subuh tadi, dia cuma tidur-tidur ayam.  Wudhuknya dibantu oleh Noreena.  Noreena yang bersusah-payah mewudukkan dan meratakan debu tayammun pada sebungkus tangannya yang berbalut. 
            “Beritahu Allah yang kau redha.  Kalau masa sihat kau ingat Dia, masa susahpun kau kena ingat Dia.”  Pesan Noreena sebelum meminta diri dengan janji akan datang semula selepas waktu kerja.
            “Tak datangpun tak apa.  Nurse dengan doktor kat sini ramai,”  tolak Amanda.
            “Jangan dengkikan aku nak dapat pahala percuma.  Ziarah kau, lillahi taala.  Aku harapkan ganjaran kat sana esok...”  bisik Noreena sebelum bersalaman dan mengucup dahi Amanda.
            “Awak okey?”  tanya Wazif merentap keseluruhan ingatan Amanda terhadap Noreena. 
Amanda senyum tawar.  Wajah berserabut dengan tunggul jambang yang melata itu juga tersenyum. Wazif meletakkan hamper buah-buahan di atas meja yang dipenuhi botol minuman plastik dan kotak.  Anggukan Amanda beserta senyum memberi semangat baru buat diri Wazif.
            “Kenapa dengan awak ni?”  tanya Amanda tanpa menjawab soalan Wazif tadi. 
Pandangannya menyeluruhi wajah lelaki itu yang nampak tertekan, biarpun cuba disembunyikan dengan seraut senyuman.  Senyuman itu begitu menekan perasaan Amanda pula.  Kata maaf yang ingin dilahirkan dinihari tadi terasa sudah tersekat di rengkung.  Saat ini, dia berasa begitu kasihan.  Simpati bertali arus pada wajah itu.  Sungguh.  
















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...