..yang bernama sahabat

Thursday, 16 May 2013

Amanda Allamanda 9


            
AMANDA meronta-ronta. Namun semakin kuat rontaan semakin kemas pegangan di kedua-dua belah bahunya.  Sepasang mata merenung tepat dan tajam menikam iris Amanda.  Desah nafasnya bergegar di sebalik topeng tembaga  yang melindung keseluruhan wajah itu kecuali mata.  Ya, dia berpakaian serba putih laksana putera impian dalam kantung lamunan Amanda sebentar tadi.  Tetapi karekternya jauh berbeza.  Terlalu kasar dan tidak bersikap melindungi sebagaimananya hebatnya persalinan perangnya. 
            “Dida...”
            “Sakit...”
            “Dida...”
            “Sakit...”
            “Yalah.  Kalau sihat walafiat, tak adalah terbujur kat wad ni.”  balas Asweeta. 
Tangan Noreena pantas menjepit kulit lengan Asweeta.  Terjerit kecil gadis itu.  Wazif mendekatkan diri ke katil.  Diserunya nama Amanda berkali-kali, tetapi tanpa membuka mata perkataan yang terluah hanyalah ‘sakit’.  Simpati bertunda-tunda di dalam dada.
Terhempas ombak cemas di pantai hati.  Jika tidak difikirkan rasa segan pada Asweeta, Noreena dan Wawa, mahu diusapnya wajah pucat tak berdarah itu.  Ada lebam yang ketara di pipi kirinya.  Tangannya pula berbalut putih simen hingga ke lengan. 
            “Dahlah Encik Wazif.  Encik baliklah dulu.  Berehat.  Kami kan ada,” pujuk Noreena.  Terbiasa dengan panggilan Encik Wazif sebagai tanda hormat terhadap bekas pensyarah mereka itu. 
            “Tak mengapalah.  Saya nak tunggu sampai dia sedar.”
            “Dah tiga hari encik cakap macam tu.  Encik tinggalkan nombor telefon.  Bila dia sedar, kami telefonlah encik.”  Wawa memberikan cadangan. Asweeta terhangguk-angguk tanda setuju. 
            “Tak apa.  Jangan risaukan saya.”
            “Kalau Dida sakit, encik yang jaga.  Dah, kalau encik pula sakit, encik nak suruh Dida bangun jaga encik ke?”  tukas Asweeta dengan rasa menyampah. 
Semenjak dari zaman pengajian lagi Asweeta dengan Wazif sering tidak sependapat.  Ruang bilik berisi dua katil itu riuh seketika dengan hingar Noreena dan Wawa memarahi Asweeta. 
            “Kau ni, tak boleh cakap elok-elok ke?”  Wawa menggegar lengan Asweeta.
 Seluruh tubuh kurus itu ikut bergegar.  Wazif bangun dan meminta diri dengan memberi isyarat mata kepada Noreena.  Sejujurnya, berat kakinya melangkah meninggalkan sang ratna hati yang masih tidak ketahuan diri. 
            “Aku menyampah dengan si Wazif tu kau tahu tak...”  balas Asweeta sebaik sahaja pintu automatik itu kembali rapat selepas Wazif keluar. 
            “Kau yang salah.  Siapa suruh kau tak siapkan assignment tu on-time?  Kau ingat si Wazif tu nak menongkat dagu menunggu assignment kau terbang atas meja dia...”  marah Wawa sambil tangannya lincah menekan-nekan alat kawalan jauh. 
Ada kalanya televisyen yang tergantung tinggi di hujung katil Amanda itu mendesir apabila hanya memaparkan imej bintik-bintik.  Sesekala, berbagai bunyi bertingkah tidak ketahuan hujung pangkal apabila Wawa menekan punat tersebut dengan laju. 
            “Jangan main remote tu boleh tak?”  Noreena yang boleh dikatakan pada setiap masa menjadi kakak besar buat mereka berempat bercekak pinggang.  Tudung labuh bersengkuap lembut itu kelihatan melekap di mukanya yang tenang dan bersih.  “Sekarang, pergi ambil wudhuk, ambil suruh Yassin tu, baca.”  Arahnya lagi.
            “Eh, dia bukannya nak...” Wawa tidak menghabiskan kata-katanya tetapi pandangannya beralih ke arah sekujur tubuh sahabatnya yang masih tidak sedarkan diri.
            “Baca Yassin bukan semata-mata untuk orang nazak, untuk orang mati.  Ikhtiar kita, memohon pada Allah supaya dipermudahkan.  Jangan ada gangguan syaitan.  Bolehkah kita jangka apa nak jadi selepas ni?  boleh kita tahu Dida akan sedar sekejap lagi?  Atau sebaliknya?”  leter Noreena.
            “Nauzubillah hi minzalik, Reen.  Janganlah cakap macam tu.  Dida ni kawan kita.”  Asweeta bersuara sambil menggeleng-geleng. 
            “Itu semua dalam pengetahuan Allah, Sweet, Wawa.  Jadi kita sebagai hambanya hanya boleh berdoa.  Tak lebih daripada itu.  Baik dan buruk bagi kita, semuanya hak Dia.”  Noreena tidak meneruskan kata-kata lagi. 
Terus sahaja memulakan bacaan dengan surah Fatihah dengan suara yang sederhana.  Mahu tidak mahu Asweeta dan Wawa menurut sama.  Meskipun pada awalnya kedua-duanya kelihatan ragu-ragu.  Manalah tahu ketika mereka asyik membaca nanti, Amanda tersedar dan terdengar bacaan yassin itu.  Tentulah hatinya sayu.  Tentulah pada anggapannya kawan-kawannya sedang mendoakan pemergiannya.
            “Baca Yassin sebagai lambang kita berserah diri pada Allah.  Bukannya untuk mendoakan kematian orang lain,” Noreena bersuara tiba-tiba saat usai membaca ayat mengenai seorang lelaki yang berlari dari hujung kota memberitahu penduduk agar mengikut seruan utusan Allah itu.  Asweeta tersentak.  Noreena bagaikan membaca apa yang tertulis dan sudah menjadi contengan di dalam hati perutnya. 
            “Macam mana kau tahu?”  Asweeta memegang kedua-dua belah pipi Noreena.  Mereka bertentangan mata.  Kedua-dua pipi Noreena yang cengkung menjadi berisi.  Bibirnya pun menjadi cekung dan menebal. 
            “Sakitlah!” Noreena menampar lengan Asweeta bertalu-talu.  Wawa terpana melihat tindakan kedua-duanya. 
            “Kau ni kenapa Sweet?”  soal Wawa apabila ketawanya reda.
            “Aku hairan macam mana Reen boleh baca hati perut aku...”
            “Eleh, bukan susah sangat nak baca hati perut atau tali perut kau tu.  Bukannya kita kenal sehari dua.”  Noreena mencapai semula surah Yassin dan meneruskan pembacaannya.  Asweeta tidak bersuara lagi.  Dia menyebak surah Yassin yang dikompakkan dalam naskhah kecil beserta maknanya.  Dia membacanya perlahan-lahan.  Tidak sekuat bacaan Noreena yang kelihatan yakin mengalunkannya beserta tajwid yang bunyinya begitu sempurna di telinga mereka berdua. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...