“Bila dia kata suruh batalkan
temujanji tu?” Suara Zulkarnain keras
sedikit. Tidak seperti tadi, boleh
dibawa bergurau bagai.
“Tadi. Encik Nine tak jumpa Encik Azri ke?” Amanda meletakkan cawan kopi itu di atas meja
dan mengutip kertas-kertas yang bertaburan.
Kerja aku sepanjang pagi ni, mengutip aja. Tadi mengutip fail. Sekarang mengutip kertas. Kalau gitu, eloknya aku suruh Aci ambil alih
tempat aku! Rungut Amanda di dalam hati.
“Dia ada beritahu kenapa?”
“Tak ada. Encik Nine tanyalah dia sendiri...”
“Kalau saya tanya sendiri, tak
payahlah ada setiausaha,” sindir
Zulkarnain.
Amanda meluncurkan segulung keluhan. Berpuntal-puntal keluar dari bibir
nipisnya. Kalau aku menjawab, nanti
semua kerja tak jadi. Lelaki kembali
bujang di depannya ini memang mencari masa sesuai untuk membuka gelanggang
menyerakkan anak tekak dan membuntangkan mata dengannya. Amanda memandang wajah Zulkarnain. Wajahnya agak kusam, agaknya bangun tersalah
arah pagi tadi!
“Hah...kenapa pandang saya macam
tu?” sergah Zulkarnain.
“Taklah. Encik Nine nak tanya sendiri atau nak saya
tanyakan...?”
“Awak nak main-main ya, Amanda? Saya dah panas hati ni...” Zulkarnain bangun dan bercekak pinggang.
Amanda
tersenyum-senyum lantas keluar dari bilik itu.
Seronok rasanya mengusik majikannya yang seorang ini. Lelaki yang baru sahaja memegang status duda
idaman Tanah Melayu itu -masih berada dalam kekeliruan status, agak
Amanda. Dahulu, dia agak risau bergurau
berlebih-lebihan memandangkan isteri Zulkarnain akan melakukan pemeriksaan mengejut
tidak kira masa.
Amanda duduk kembali di kerusinya.
Menghubungi Yusriati, atau Yus, pembantu peribadi Encik Azri. Perbualan singkat itu disusuli dengan janji
untuk bertemu di pantri. Tidak lama
kemudian, terdengar detakan kasut kulit wanita yang sedikit berusia daripada
Amanda itu. Yusriati terus menapak masuk
ke dalam pantri.
“Kalau ikutkan hati, aku racun
mereka berdua tu...” Yusriati membebel
sambil membancuh minuman. Amanda
menghulurkan krimer kepada Yusriati.
“Cakap kau ni boleh jadi bukti kat
mahkamah,” sela Amanda. Dia juga sudah bersedia dengan mug dan air
panas sambil mencedok secamca kecil nescafe.
“Apa pulak?”
“Yalah. Buatnya salah seorang daripada mereka...”
Amanda menegakkan jari telunjuknya sebelum menguitkannya turun. Jari yang lurus tegak menjadi bengkok. Amanda menyambung, “lepas post mortem, apa
semua...didapati mereka mati sebab diracun.
Tak fasal-fasal kau pulak dapat rumah batu tirai besi percuma.”
“...dan kaupun dituduh
bersubahat!” jerit Yusriati dan ketawa.
Amanda menyudahkan bancuhannya. Dicapainya
satu lagi mug dan berdiri di depan sinki.
Nescafe yang berada di dalam mug di tangan kanannnya dituang ke dalam
mug di tangan kiri. Dilakukannya
berulang-ulang. Setiap kali menukar
tuangan, ditariknya cecair itu tinggi-tinggi sehingga air yang terbaur di dalam
mug yang menunggu menghasilkan buih yang harum.
Asap nipis juga bagaikan terpaksa menghindar daripada curahan air
berwarna kelabu itu.
“Kalaulah kita hantar termination letter sekarang...” Amanda
bersuara selepas mencicip nescafe tariknya.
Yusriati menutup sebuah bekas plastik sambil bibirnya menjepit sekeping
biskut.
“Aku rasa kalau tak sasau, mahu gila
serentak...” umpat Yusriati kemudian
ketawa besar. Sambil tangannya menutup
mulut. Bimbangkan serbuk biskut itu
tersembur keluar.
“Azri tak puas hati dengan proposal tu, sebab tu dia suruh tunda
temujanji dengan pegawai bank tu.
Katanya tak kuat dan ada beberapa perincian terkini yang kau tak
masukkan.” Terang Yusriati apabila
pantri itu tenang semula.
“Sebelum ni proposal tu yang kita
guna untuk minta OD dengan bank kan?”
Amanda mengerutkan dahi.
Tersinggung sedikit kerana hasil kerjanya dipertikaikan.
“Ya.
Tapi ini Berlian Floating Resort.
Itukan baby Nine seratus
peratus...” tingkah Yusriati pula. Amanda terdiam. Terkadang terasa bosan menghadapi majikan
berkepala angin seperti mereka berdua.
Lebih-lebih lagi Zulkarnain.
Rakan kongsi mewarisi harta keluarga merangkap saudara mara yang membuka
syarikat sendiri.
Zulkarnain Dato’ Hashim, agak
celupar mulutnya dengan hentakan setiap keinginannya harus dipenuhi
segera. Tidak boleh tidak. Bertentangan dengan Azriyang lebih tegas
pendiriannya dan tidak akan berganjak daripada keputusannya. Dari segi kematangan dan pengalaman, Azri
mendahului kerana komitmennya terhadap syarikat. Berbanding Zulkarnain yang banyak terbeban
dengan masalah peribadi disebabkan oleh isteri cantik yang dikahwininya tanpa
restu. Tetapi, ada masanya tingkah
mereka berdua didalangi emosi dan keserahakan amarah memeningkan kepala
Yusriati dan Amanda. Biarpun tujuan
asalnya untuk meraih satu solusi demi masa depan syarikat.
“ya, kalau itu baby Nine, kenapa Azri pulak yang sibuk?”
“kalau kita tak dapat OD facility tu, Nine akan salahkan
Azri. Kau bukan tak tahu perangai bos
kau tu...Lagipun kata Azri, biarlah buat benda yang betul pada masa yang betul
buat kali pertama.”
“Amanda....!!! kau kat mana?” Amanda
menoleh ke arah pintu pantri. Seketika,
terjojol wajah Kak Lily tersenyum-senyum.
“Amboi kak! Bergegar satu lantai ofis...gerun saya,” usik
Yusriati. Mencuit Amanda kemudiannya
meninggalkan mereka. Masa minum sudah
berakhir.
“Panggilan untuk kau. Akak suruh dia telefon semula, katanya
penting. Lima kali dia telefon handphone kau, tak berjawab...” Berderau darah Amanda mendengarnya. Tentu Pak Ngahnya yang menelefon. Pasti ada hal yang tidak boleh ditunda-tunda.
Sapaan hello yang agak garau di
talian sana mengendurkan debar resah diganti rasa kurang senang yang membungkus
hati tiba-tiba. Amanda memandang
sekitar. Kesemua kakitangan sibuk dengan
tugasan masing-masing. Amanda
membetulkan kedudukan dan menghadap komputer dengan tumpuan pada suara di
talian yang menyurut.
“tak payah!” Amanda meninggikan sedikit suaranya tetapi
bibirnya didekatkan dengan telefon.
“Bolehlah... saya cuti hari ni...”
“Tak payah!”
“Amanda...”
Dia tidak sempat mendengar rentetan
bicara selepas namanya disebut sebaik sahaja gagang putih krim itu
dihempas. Aksinya memancing perhatian
kakitangan lain. Semua mata memicing
padanya. Dia buat-buat tak nampak.
“Ni apahal hempas-hempas
telefon? Kalau rosak, awak bayar sendiri
ya. Masuk sekarang Amanda!” Arah Zulkarnain.
Berkali-kali
dia menekan interkom. Panggilan
sibuk. Sebaik sahaja dia menyembulkan
wajah di muka pintu, Amanda sedang menghempas telefon. Bagai menyambut pertanyaan hatinya yang
sedang memarak dengan pelbagai persoalan.
No comments:
Post a Comment