..yang bernama sahabat

Tuesday, 30 April 2013

Embun Vokey : Landak Mengawan



LANDAK MENGAWAN

www.beritaharian.com

A
KU menyelak helaian pertama.

            1989

Membaca biodata di sebelah, biasa-biasa sahaja kan.  Tiada yang bisa menjojolkan biji mata kalian.  Tiada yang bisa membuatkan kalian bertempek wow.  Tapi, di dalam autograf biru itulah segalanya bermula.  Autograf itu boleh sampai sehingga ke SMKT, ABS dan Bahaman.

 Bagi sahabat-sahabat sekitar Mentakab dan Temerloh, mereka tahu semua singkatan itu.  Singkatan-singkatan itu adalah milik Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Abu Bakar School, jirannya dan Sekolah Menengah Dato’ Bahaman di Lanchang.  Itu semua sekolah saingan sekolahku.  Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab.  Atau singkatannya kami gelarkan SEMEKEME.


Aku mendapat gelar alumni vokey juga kerana autograf inilah.  Biarpun awalnya, ia memedihkan, akhirnya aku memahami.  Inilah jalanku.  Inilah kebahagian yang didatangkan Allah atas usahaku selama ini.  Kalau tidak, bagaimana aku boleh menyiapkan satu manuskrip sepantas ini kalau bukan dengan kepantasan menaip 50 perkataan seminit ini.  Daripada mana aku memperolehi kemahiran itu, kalau bukan vokasional. 

Imbas kembali, Begitupun, biarpun kami bersaing, setiap kali ada sukan sekolah daerah, pasti ada kisah baru anak sekolah bermula.  Tak terkecuali aku.  Acara kegemaranku, lontar peluru.  Tetapi kebiasaannya peluru entah ke mana, aku entah ke mana.  

Tetapi disebabkan sekolah memang terdesak ketika itu (agakku) maka aku dihantar mewakili sekolah dalam kejohanan MSSD Temerloh bertempat di SMKT.  Untuk pengetahuan kalian, hanya SMKT dan ABS yang menawarkan tingkatan enam.  Maka, hati gatal kami memang tercuit-cuit hendak ke sana.  Sudah terasa berbulu biji mata melihat gelagat senior.  Mahu melihat aksi dan wajah-wajah matang senior tingkatan enam yang tiada di sekolah kami.

Kalau adapun setakat pelajar tingkatan lima.  Itupun kadang-kadang perangai mereka lebih pelik daripada perangai kami.  Berstokin lain sebelah.  Macam mana aku tahu.  Memanglah terlihat jelas.   Ini kan akhir 80an, zaman banjir.  Baju kurung selabuh jubah, kain biru hanya seinci.  Dilipat sehingga ke atas buku lali.  Mujur sekolah ini mengenakan peraturan bertudung.  Jika tidak, segala-mala ekor kucing, ekor harimau mahupun ekor  ikan tilapia merah kelihatan.  Tak percaya.  Lihat sahaja waktu aktiviti petang.  Tidak terkecuali aku. 

Lalu, dalam kejohanan ini, aku boleh dicami  dari  jauh aku boleh dikenali.  Seorang pelajar perempuan tinggi lampai  (ahai) berambut pendek dan tegak mencacak sedang melontar peluru.  Landak tengah mengawanpun tentu pengsan kalau terserempak dengan aku. Tidak menyangka ada manusia yang sama spesies dengannya.  Bezanya, semuanya berwarna hitam.  Tidakpun terfikir yang aku ini spesies mutasi landak  apabila  melihat rambutku yang setara dengan durinya.

Ya, lontaranku hampir mengenai sasarannya, bolehlah aku menaiki podium menerima pingat emas. Tapi ah! Kesasar ke arah Cikgu Mary Yati, guru  pengiring sekolah kami sendiri.  Putih pucat dan seram sejuk tangannya apabila aku mendapatkannya sambil bertalu-talu memohon maaf.  Kalau tidak tercatatlah namaku sebaris dalam senarai penyumbang tragedi dalam sukan, dalam rekod dunia.
 
Itu pelajar perempuan, pelajar lelaki, lain pula gayanya.  (kalau dah budak lelakipun pakai baju kurung…penat Cikgu Rashid, cikgu disiplin nak kejar) Pengikut rock keras akan terlihat pada cara pemakaian seluarnya.  Ketat-ketatnya.  Aku tak tahu macamana mereka meladeni qadha hajat mereka.  Boleh bayangkan?  Jadilah mereka rock ketat!  Beg lusuh berwarna hijau dengan pelbagai contengan marker pen.  Juga dicantikkan sedikit dengan kreativiti daripada cecair pemadam berwarna putih.

Bagi yang memang pandai melukis dan menconteng, memang cantik kelihatannya.  Tulisan ROCK itu ditulis iras seperti yang tertera di kulit album artis pujaan.  Mana yang tidak, samalah taraf beg mereka itu dengan beg guni jerami!

Akhirnya, autograf biru itu mencatatkan suatu nama, yang aku ingat-ingat lupa.  Mohd Sani.  Klasik sungguh.  Ketika itu, aku baru selesai acara padang.  Seperti yang aku jangka dan orang lain jangka, tak menangpun, aksi sahaja lebih.

“Nom, autograf kau,”  Che Ta, pemilik nama penuh Roslita mengunjukkan aku autograf biruku itu. 

Kecil sahaja sebesar buku tulis.  Sebenarnya, buku folio 360 mukasurat aku balut elok-elok.  Kemudian aku jadikan buku autograf.  Aku bukan bintang bola sepak atau bola jaring sekolah.  Aku juga bukan bintang pidato atau ahli kelab elit Interact Club atau Persatuan Bahasa Melayu yang paling popular itu.  Aku Anom Alita, budak tingkatan tiga yang masih senget tudungnya pada hari persekolahan.  Sudahlah bermuka masam, dengan pipi tembam walaupun badan kurus tinggi.  Kala aku mencapainya, sekeping surat jatuh dari celahan buku itu.

“Siapa punya ni?”  tanyaku pada Che Ta yang membetulkan tudungnya.  Siputnya yang terlalu tinggi membuatkan tudung putih itu terjongket ke belakang.  Hampir menampakkan batang lehernya.

“Dahnya, dalam autograf kau, kaulah yang punya,”  suara serak-serak basahnya kedengaran nyaring di telingaku. 

Aku menjolok lubang telinga dengan jari kelingking.  Membetulkan gegendang yang terasa dicucuk lidi pencucuk sate.  Geng Carefree yang lain tidak ikut serta.  Hanya aku dan Che Ta yang terpilih. Geng Carefree nama kelompok kami, rakan sekelas yang memakai kasut jenama Carefree yang popular selain jenama Pallas Jazz ketika itu.  Kalau pelajar perempuan yang memakainya, membentuk kemegahan tersendiri kerana potongannya agak terkini dan mengurangkan ciri-ciri feminin. 

Perlukah aku teruskan?  Di situ aku mengenali Sani.  Pelajar tingkatan enam rendah SMKT.  Tak pernah bertemupun.  Kalau bertemu, pasti terketar-ketar kepala lututku. Silap haribulan, ke tandas pun tak berkesempatan.    He..he.. aku ni, zahirnya nampak sahaja ganas.  Satu ketika, pernah aku membuka gelanggang tazkirah Isyak ketika sedang ‘berteman tapi mesra’ dengan rakan sekampung.  Selepas Isyak, digamitnya aku untuk sessi bual bicara dua pasang mata. 

Ketika itu, majlis perkahwinan pakcikku.  Dia, aku kenali semasa menunggu bas untuk ke rumah atuk.  Berambut panjang, seiras Man Kidal.  Belum sempat, bicara lanjut, tanpa sedar aku yang sedia menggelabah membuka kitab munakahat.   Membicarakan soal dosa berdua-duaan begitu. 

Mengingatkan tentang pandangan orang lain atau pandangan ibu bapaku sebenarnya.  Mereka takkan sekadar memandang sahaja.  Pasti ada berdas-das tembakan kata.  Juga dua tiga libas rotan.  Mengikut kesesuaian.  Biasanya, dua tiga libas tak cukup untuk anaknya yang seorang ini.  Rotan, papan, ranting kayu, batang kayu semuanya pernah singgah di punggung seorang gadis bernama aku. 

Sani, seadanya senior yang sudah melalui sukarnya SRP (Sijil Rendah Pelajaran sekarang sudah ditiadakan dan diganti dengan Penilaian Menengah Rendah) dan nazaknya diri menghadapi SPM sering menguntumkan nasihat.  Sudah tentulah kata nasihat berbaur muslihat kasih dan sayang yang tak kenampakan.  Aku mengerti itu.  Tetapi membiarkan rama-rama berterbangan di dalam dada sahaja.  Tidak aku benarkan berterbangan sehingga ke taman nirwana jiwa.  Semuanya kami lalui, riang ria zaman remaja melalui warkah-warkah biru.
*****

“Sani mahu Anom belajar bersungguh-sungguh.  Sesungguhnya pelajaran itu akan menentukan kebahagian hidup selain kasih sayang,”  aku membaca bait-bait kata itu ke telinga Che Ta.  Lesung pipit Che Ta kelihatan sambil telunjuknya berlegar-legar di depan mukaku.

“Itu namanya, nasihat ada makna.”  Tutur Che Ta.  Aku menyengih.
 
“Lepas SRP nanti kau orang nak sambung belajar kat mana?”  tanya Ronie. 

Aku kembali fokus kepada grup perbincangan kami setelah terbantut seketika dengan cerita surat Sani tadi.  Kami baru selesai menghadam nota sejarah.   Persedian saat-saat akhir menghadapi SRP.  Sejarah adalah mata pelajaran kegilaanku.  Bukan lagi kegemaran.  Tapi sudah tahap gila.  Ketika kebanyakan kawan sekelas melentok dan meliuk malah menumpahkan air liur ketika subjek sejarah, aku masih tegak di kerusi. 

Bagiku ketika itu bukanlah salah subjek Sejarah. salah cikgunya yang umpama sedang memfotokopi fakta di dalam buku teks bulat-bulat.  Tiada satu ayatpun yang tertinggal.  Duduk di mejanya, mengimbas sambil membaca dari kanan ke kiri.  Kalau buku itu menggunakan tulisan Cina, akan kelihatanlah dia terangguk-angguk.  Ke atas ke bawah.  Apabila loceng berbunyi. Pap! Buku ditutup dan dia keluar dari kelas.  Semudah itu.

“Entah, akupun tak tahu,”  Che Ta menjongketkan bahunya. 

Kami beriringan menuju ke kantin yang lengang.  Waktu rehat sessi sekolah petang belum tiba.  Maka yang berlegaran di kantin hanyalah para pelajar tingkatan tiga, empat dan limaPara pelajar sessi pagi.
 
“Kau Nom?”  tanya Yanti. 

Kami sama-sama menarik kerusi yang paling hujung.  Berdekatan dengan padang sekolah.  Di seberang padang sana, Taman Pasir Rawa kelihatan.  Kawasan perumahan mewah dan akan dibesarkan lagi.  Di sebelah kiri padang, terdapat nurseri bunga kelas Sains Pertanian.  Atas usaha Panitia Sains Pertanian. 

“Aku ingat nak masuk sekolah vokasional lah,”  tiba-tiba sahaja ilham itu mengetuk cepu kepala.  Semuanya kerana pandanganku pada nurseri Sains Pertanian yang berkunci dan dipenuhi pokok bunga dan kehijauan di dalamnya.

Woi, kalau nak masuk sekolah vokasional, tak belajarpun tak apa.  Vokasional  kan sekolah pemulihan untuk budak-budak tak lulus SRP?”  bangkang Surina pula. 

“Nanti aku nak tanya Cikgu Azimah.  Aku ingat nak masuk sekolah vokasional  pertanian.  Ala, yang kat Chembong tu…”

“Kawan, cubalah fikir jauh sikit.  Kau masuk vokasional pertanian, habis SPM nak jadi apa?  Universiti mana nak ambil lulusan vokasional?”  telunjuk Yanti menujah meja beralas zink itu.

“Politeknik kan ada?”  aku menjawab buta-buta.  Sebenarnya akupun tidak tahu apa hubungkaitnya politeknik dengan vokasional ketika itu. Malah maksud poli, teknik dan vokasional pun aku tidak tahu.

“Politeknik untuk kursus perkapalan.  Untuk budak lelaki.  Macam kat Ungku Omar tu,”  patah Ronie pula.  Merujuk kepada Politeknik Ungku Omar di Ipoh.

Semuanya begitu sahaja.  Namun keinginan itu tidaklah mencanak benar.  Bagaimanapun surat Sani yang tidak sempat ku sorokkan di bawah bantal menjadi penguat keinginanku.

“Orang suruh kau pergi sekolah bukan nak menggatal,”  suara emak makin tinggi, makin memetir.  Matanya seakan mahu tersembul keluar.  Aku memandang ayah dengan air mata berdedaian di pipi.  Tapi ayah memalis.  Tidak mahu dikalahkan dengan renungan meminta belas kasihan aku.

“Anom berkawan aja mak,” aku cuba dan cuba untuk membela diri.

“Anak tak tahu malu.  Kalau asyik berkawan, tiba-tiba termengandung macam mana?  Dah tak ada kawan perempuan nak dibuat kawan?”

Serentak dengan itu, berdas-das sebatan hinggap di pahaku.  Suaraku yang lantang dan nyaring meminta ampun hilang dalam bolongnya malam.  Air mata dan raungan terasa mengatasi frekuensi sepatutnya.  Setiap kali sebatan yang merangsang kelompok darah berkumpul pada alurnya, setiap kali jugalah aku memohon ampun.  Tetapi sia-sia.

 Permohonan aku umpama permohonan seorang perempuan tua Palestin terhadap askar Yahudi.  Aku dapat merasakan getaran sebatan itu bukan lagi sebatan sayang.  Bukan sebatan mengajar.  Ia adalah sebatan penuh kebencian, penuh sesalan yang aku tidak tahu kenapa.  Aku mendengar desup libasan itu sayup-sayup, bukan sekali.

Aku cuba melarikan diri.  Tetapi pelarianku sia-sia.  Aku memang berdoa supaya nyawaku dicabut ketika itu.  Disambar petir walaupun ketika itu tiada seru langit menyebar hujan.  Atau ditelan gempa bumi biarpun lokasi Malaysia bukan di celahan  plat tektonik lingkaran  gunung berapi.  Atau apa-apa sahaja, asalkan aku mati.  Dibunuh mati teruspun lebih baik.  Bisikan-bisikan itu terus menghantui.

“Anak tak sedar diri.  Menyusahkan orang,!!”  aku hanya mendengar suara emak. 

Aku tidak tahu ayah di mana.  Ayah tidak datang menyelamatkan aku.  Kecewa.  Kekecewaan akhirnya  menjadikan aku pasrah. Sudahnya aku terpunduk di satu sudut Cuma membiarkan emak melibas sepuas-puas hatinya..  Emak cuma berhenti apabila rotan bulu ayam itu terpatah dua.  Tetapi amarahnya belum selesai.  Segala kemungkinan yang buruk-buruk dibariskan.

“Orang suruh pergi sekolah, suruh belajar.  Kalau nak menggatal, berhenti sekolah.  Ayahnya, esok pergi sekolah dia.  Berhentikan terus!”  arah emak kepada ayah dalam nafas turun naik. 

Aku?  Aku hanya mampu merayu memohon ampun dalam gelapnya malam.  Lolonganku tiada siapa mendengar.  Segalanya menyakitkan.  Baik libasan rotan, mahupun kata-kata.  Juga tingkah ayah yang tidak menyebelahi aku.

Malam itu aku tidur dalam rendaman air mata.  Lelap tak kunjung tiba.  Seluruh sendiku terasa dihiris-hiris.   Garisan di peha menemani di samping rasa sakit yang amat sangat.  Denyutannya terasa seiring dengan denyut nadi.  Jaluran itu diapit warna merah darah yang membeku di pinggir setiap libasan.  Agaknya, kalau sedikit kuat lagi, akan berhamburan darah keluar kesan libasan itu.  Tapak tangan kiri juga memerah menahan libasan emak yang kerasukan. 

Aku ke sekolah juga dengan mata yang bengkak.  Aku tarik Che Ta ke tandas dan aku tunjukkan apa yang emak lakukan.  Che Ta turut menangis sama.  Sejak itu, aku kehilangan ceria.  Aku membilang hari menunggu pengumuman tawaran kemasukan ke sekolah vokasional diumumkan.  Sebaik sahaja hari yang dinanti tiba, aku menaiki bas menuju ke Sekolah Vokasional Puteri, Jalan Temerloh untuk mengambil borang.

Semua sudah aku siapkan.  Aku tahu kalau aku meminta izin, sampai ke sudah aku tak akan ke mana-mana.  Aku suka belajar di sekolah ini.  Aku suka dengan kawan-kawan.  Aku suka dengan guru-gurunya.  Semuanya baik-baik belaka.  Hanya, aku tidak suka kongkongan.  Bila disebut kongkongan sudah tentulah kongkongan total. 

Tidak boleh itu.  tidak boleh ini.  Jangan itu, jangan ini. Hey, aku manusia normal.  Yang dilarang itulah makin seronok ingin diketahui. Ingin dicuba.  Kalaupun aku terjerat dengan cinta anak sekolah, apakah bermakna aku akan meninggalkan sekolah ketika itu juga.  Merayu-rayu pada ayah dan emak minta dikahwinkan?  Tidak!  Cinta monyet itukan sebahagian hiasan dunia anak sekolah seperti aku.  Umpama hiasan di pokok krismas.  Habis musimnya, simpanlah semula.  Disimpan elok dapatlah dipakai semula.  Jika tidak, tahun depan belilah  yang baru.

Aku dengan emak?  Seperti madu.  Bukan madu lebah tualang yang manis bersari dan likat.  Seperti orang bermadu.  Ada-ada sahaja sebab dan alasan untuk bertekak.  Kadang-kadang kerana aku tersenget meletakkan kasut.  Kadang-kadang kerana beg sekolah yang aku hayunkan sedikit kuat di lantai dan mengejutkan dia.  Ada-ada saja bahan hendak dibawa bergaduh.  Boleh pula, berbeza hari, berbeza resepi dan cara gaduh.  Sudahnya, aku mengelak terus.  Emak di dapur, aku di dalam bilik.  Emak di ruang tamu, aku di bawah rumah, emak di bawah rumah, memang aku mahu masuk ke bawah tanah!  Semuanya serba tak kena.  Serba panas, serba menyesakkan.  Kami terus terendam dalam kolam negatif yang penuh prasangka, penuh dendam dan penuh benci.

Ayah?  ayah masih cuba berbaik denganku. Aku rasa.  Bertanyakan sekolahku.  Bertanyakan debar ketika menghadapi SRP.  Aku?  Jika dilihat daripada rambutku yang mencacak tegak dengan satu pusar di atas kepala, pantas orang tua memberi komen sebegini.

“Budak ni handal esok ni…pusar satu…tegak-tegak rambutnya.  Awak kena jaga betul-betul budak ni.  Kuat melawan, degil, keras kepala, semuanya ada…” 

Ya, doa-doa negatif untuk aku yang ketika itu masih bayi. ( emak yang ceritakan semula, semasa kami masih berbaik).  Maka itulah yang kalian dapat!

Akhirnya permohonanku diterima.  Pastilah diterima.  Keputusan SRP yang cemerlang gemilang dan membilang-bilang.  Aku ke mana?  Chembong?  Tidak!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...