..yang bernama sahabat

Tuesday, 30 April 2013

Embun Vokey : Cinta Monyet


CINTA MONYET

Ketika aku sampai semula ke sekolah itu, kesemua pelajarnya sedang menikmati hidangan tengahari.  Aku meminta kereta diparkir di tepi jalan berhampiran blok aspuri.  Jalan itu memisahkan Aspuri dengan Dewan Makan.
blog.umy.ac.id

Doaku, aku terserempak lagi dengan pelajar perempuan tadi. 
Biarpun nawaitu asalnya aku ingin menyerahkan janjiku kepada pelajar lelaki tadi.  Terasa waktu begitu malu-malu untuk bergerak.  Udara hangat selepas Zohor sedikit mengigit belakang. 

“tapi…beb…kau dah lambatlah,”  bicara Shaani yang mengait suspen, terngiang-ngiang semula.  Aku menunggu-nunggu kata-kata seterusnya tetapi tetap membalas kata-katanya.

“Lambat apa?  Aku bukannya nak kahwin dengan dia,”  suaraku bergetar menutup debar.

“Lambat tahu.  Dia dah tak ada.  lama lepas sekolah.  Kemalangan.  Langgar lari.  Akupun baru tahu…” ujar Shaani, lirih.  Aku meraup muka.  Lirikan mata dan senyum Atila berada di ruang mataku, sekarang.       

Setiap pelajar yang melintasiku, aku pandang satu persatu.  Seorang demi seorang.  Memang aku tidak mampu mengingat susuk jasadnya.  Tetapi aku mengingat lirikan matanya dan seulas bibir milik pelajar itu.  Bukanlah aku tidak mempercayai kata-kata Shaani, hanya aku mahukan kepastian.  Aku mahu telingaku ini mendengar sendiri cerita sebenar dari mulut pelajar perempuan itu. 

“Nama saya Rizana,” tuturnya lembut, menjawab soalanku mengenai namanya.
Aku mintakan izin khas daripada para warden untuk melepaskannya seketika.  Aku perlukan saat-saat ini.  Sangat perlu.
           
            “Atila tu siapa?”  tanyaku dalam debar yang tak ketahuan hujung pangkal.  Memohon pasti daripada mulut anak gadis itu.

*****

Atila adalah pelajar PPJ, atau nama panjangnya kursus pengurusan pejabat aku temui di belakang pentas selepas kelasku membuat persembahan.  Dia dengan rakan-rakan sekelasnya sedang menunggu giliran.  Dia tidak bersuara, tetapi jarinya mengusik tali gitarku.  Aku yang ketika itu sedang berbual dengan rakan sekelas, menoleh apabila dicuit dan diarahkan memandang ke arahnya.  Bila melihat aku sedang menudaki anak matanya, dia menarik tangannya.  Mungkin merasakan bersalah kerana mengusik harta orang tanpa kebenaran.  Dia kemudiannya tersenyum dan mengangkat tangan.

            “Pandai main gitar?”  Aku berbasa-basi.

            “Tak.  Kena ketuk dengan gitar, pernahlah.”  Aku ketawa mendengar jawapannya.  Dia tersenyum.

            “Siapa yang ketuk awak dengan gitar?”

            “Tak adalah.  Saya bergurau aja.  Pandai awak main gitar.”

            “Terima kasih, biasa-biasa saja,”  aku merendah diri.  Memanglah aku bukan pandai benar.  Tetapi, gitar kadang-kadang menjadi teman pelerai lara.  Abang Mus dan Abang Rahim yang mengajar aku bermain gitar. 

            “Awak kelas mana, eh?”  tanyaku, berusaha menentang keriuhan dari depan pentas.

            “PPJ.”

            “Awak budak ATF.  Saya tahu.  Saya suka lagu Penantian, Black Rose,”  katanya.  Tiba-tiba dia bangun apabila namanya dipanggil.  Aku menanamkan nama itu di sudut kepala yang paling dalam.

*****

            “DIA dah tak ada…”  ujar Rizana.

            “Saya tahu.”  Pantas aku menjawab, biarpun hatiku menjerit-jerit cuba menafikan apa yang aku dengar ini.

            “Kemalangan.  Langgar lari.  Masa tu dia dalam perjalanan nak hantar manuskrip novel dia ke pejabat pos,”  aku berdiam.  Membiarkan Rizana terus bercerita. 

            “Kata emak saya, itu manuskrip yang pertama.  Kononnya nak abadikan kisah cinta terpendamnya masa di sekolah.  Entah betul, entah tidak saya tak tahu.  Tapi kalau dato’ terus baca diari tu, mungkin betul.”

            “Ada dia tuliskan nama orang yang dia suka tu?”

            “Spesifiknya, tak ada.  yang ditulispun semuanya nama kawan-kawan sekelas atau yang satu persatuan dengan dia.  Tapi dia ceritakan secara terperinci tentang orang yang dia suka.  Cara berjalan, cara bercakap.  Cara ketawa.   Maknanya kalau tuan punya badan tu baca, dia fahamlah.”  Aku menahan debar yang menggegar-gegar di dada.  Kalaulah si dia yang dimaksudkan itu bukan aku, alangkah hampanya.

            “Dato’ tahu tak siapa orang tu?  Yalah.  Manalah tahu, masa sekolah dulu makcik saya tu terlebih popular.  Semua orang tahu fasal kisah cinta monyetnya?”  Ketawa Rizana bersisa di hujung kata-katanya.

Atila, kalau mahu aku jeritkan pada dunia, betapa besarnya rasa bersalah ini, begitu besar.  Apabila kenangan terhadap dirimu terpungkis kembali, aku merasakan mukaku tertampar dek beg udara keselamatan di depan stereng.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...