..yang bernama sahabat

Tuesday, 30 April 2013

Embun Vokey: Itik Pergi Sekolah


ITIK PERGI SEKOLAH


 “AWAK!  yang paling handsome tu.  Yang rambut tegak tu…siapa nama awak?”  Telunjuk senior berbibir merah itu lurus ke arahku.  Hampir kesemua pelajar yang sedang beratur itu berpaling memandangku.
           
“Booooy…”  belum sempat aku memperkenalkan diri, suara-suara sekitarku tolong menyambutkan.
           
“Siapa?”
           
“Nazri, bang.  Nak panggil Ayie pun boleh.  Naz pun boleh.  Panggil Boy lagi boleh…”  aku tersengih-sengih. 

kitamanusiakelana@blogspot.com
Masih belum
menangkap niat senior yang tertulis Azli ENK di dadanya itu.  ketawa kecil di sekitar meraikan kata-kataku.  Masing-masing sudah kegelisahan dikelompokkan begitu.  Dengung kumbang jantan berbilang frekuensi kedengaran. 
           
“Nazri?”
           
“Awak daripada kursus mana?”  dia melaung dari atas foyer.  Entah bila dia memanjat tangga, tiba-tiba sudah berada di celahan pokok bunga perkarangan foyer itu. 
Aku membelek tag kertas di dada.  Gantangan biji mata menyuluh ke arah aku.

            “ATF, bang!”

            “Siren yang nyaring berbunyi setiap pagi tu, tujuannya mengejutkan awak semua bangun.  Bangun solat subuh, bangun pergi sekolah ya, saudara Nazri.”  Sekali lagi namaku disebut. 

Aku menggaru-garu belakang telinga dengan senyum meleret.  Sengaja aku maniskan.  Sedikit demi sedikit aku mengerti kenapa namaku ditanya tadi.

            “Bukan bangun kencing lepas tu tidur balik.”  Lambakan ketawa kedengaran terpecah-pecah.  Senior Azli menambah.

 Daripada kelompok aku dan kelompok satu lagi.  Bila aku jeling, kebanyakan yang ketawa itu adalah rakan-rakan dormitari aku.  Matahari sudah tersenyum menampakkan sinarnya. 

            “Di sekolah ni, solat subuh disempurnakan secara berjemaah.  Itu suraunya.” Senior Azli menunjukkan bangunan surau yang tidak kelihatan sepenuhnya oleh bentuk bukit yang sedikit menganjur.  Betul-betul di depan dipisahkan oleh jalan besar.  Dia menunjuk dengan ibu jari.  Semua yang menghadapnya menoleh ke belakang. 
 
            “Mulai esok, kalau awak buat macam tadi lagi, Nazri…saya akan suruh awak azan setiap lima waktu sepanjang seminggu ni.  Awak nak?”  aku tersengih.  Apa yang dah aku buat?  aku masih tertanya-tanya. 

            Rasanya aku bermimpikan hon penjual ais krim yang tidak berhenti-henti berbunyi di pinggir telinga.  Aku terjaga.  Melepaskan hajat dan kembali ke katil.  Aku terperasan ada cahaya, sangkaku matahari.  Iyalah, takkanlah orang jual ais krim tengah-tengah malam bolong!  Aku terdengar-dengar namaku dipanggil, aku marahkan.  Menolak pelawaan makan ais krim kerana aku memang tak minat makan ais krim.  Rosak gigi, kata emak. 

            “Baik.  Yang kelompok ini, saya nak bagi hadiah.  Hadiah fasal seronok sangat tidur, tak ingat dunia.  Siren dah berbunyi, dah bergegar seluruh alam maya ni, masih tak sedar.  Tak solat subuh.  Saya tak tahulah kalau asrama ni terbakar.  Silap haribulan ada orang ingat  ada orang bakar lemang!  Sindirnya. “Sekarang semuanya mencangkung!”  suara senior Azli semakin tegas dan pejal. 

            ‘ala’, ‘a’, ‘ish’ semuanya bergema di dalam kelompok di sebelah kiri itu tetapi   semuanya menurunkan jasad perlahan-lahan. 

            “Cepat!  Jangan ingat saya main-main.  Ini asrama.  Bukan tempat nak bermanja-manja!”  perintah senior Azli itu, diperkuatkan lagi dengan perintah daripada konco-konco bawahannya. 

Maka mencangkunglah kami semua dalam debaran.  Walaupun hati tertanya-tanya.  Tetapi setakat denda mencangkung sampai ke petangpun aku sanggup!  Dia nak berceramah, berpidato di depan tu, buatlah.  Setakat, lenguh betis, kejang peha, bukan masalah besar.  Dibawa berbaring, akan baiklah ia.
           
“Sekarang, saya nak awak semua jalan itik dari sini ke dewan besar!” Hah?  jalan itik!  Hampas kelapa komeng punya senior! 

            “Pap..pap…pap…kuak…kuak…kwek…kwek…”  kelompok yang satu lagi tanpa disuruh mengalunkan lagu-lagu latar menyakitkan. 

Ketawa bertaburan di sana sini.  Ada yang menghulurkan wajah simpati pura-pura menutup mulut.  Ada juga dari kelompok kanan itu sudah tertunduk-tunduk menekan perut.  Ada yang tidak segan-silu ketawa terbahak-bahak.

            “Tak acilah macam ni, bang…”  suaraku tenggelam dalam suara protes yang lain.
           
“Cepat!  Jalan.  dalam barisan.  Beratur…”  satu suara garau datang dari arah tepi bangunan asrama blok D.  Seorang guru lelaki berbadan gempal berkaca mata dengan misai membengis memejalkan kata. 
           
Berdedai-dedailah kami berjalan itik diiringi bunyi-bunyian ‘pancaragam’ di belakang.  Segala sumpah maki berbakul-bakul bertukar-tukar di antara kami. 
           
“Anak itik tok wi mandi dalam kolam…pap..pap…kwek…kwek.  Cikgu, bisnes itik pulak ke…”  tanya beberapa pelajar berbaju t hijau yang berebutan keluar dari bengkel masing-masing.  Cikgu Hashim yang mengiringi kami menyusun langkah ala komando, serius dan tidak berpaling.  Melihat pertunjukan ‘itik pergi sekolah’ yang tak disangka-sangka.  “Itik gantung ke itik panggang, cikgu?”  sambung mereka lagi.  Aku mendengarnya dengan telinga yang terbakar. 

“Anaklah ayam…anak ayam…turun sepuluh…”

“Apa pulak anak ayam…anak itiklah…”  Ketawa berderai lagi.  Bagaikan seluruh bumi yang membetungi persekitaran sekolah ini sedang mengetawakan kami. 
           
“Aku, kalau jumpa senior ni kat luar, memang aku tubi-tubi dia!”  sumpah Ameer di sebelahku. 

Orangnya tinggi lampai dan tentulah sukar mencangkung sambil berjalan itik.  Terpaksalah dia mengangkat punggungnya dan meninggikan badannya. Dalam marah, aku tergelak.  Ada juga yang cuba mengambil kesempatan berdiri.  Tetapi, pengawal-pengawal itik di kiri dan kanan itu sudah bersiap sedia untuk bertempik. 
           
“Macam-macam gaya itik ada ya.  Itik panjang.  Itik pendek.  Itik senget pun ada!”  sela satu suara di belakangku.  Sedikit tinggi.  Aku menoleh.  Dia sekadar menjeling tajam.  Siap kau! 
           
Sesampai di dewan, kami ‘direhatkan’ di perkarangan dewan tetapi tidak dibenarkan berdiri.  Baju putih yang baru dibeli emak untuk hari pertama sekolah ini basah lencun dek peluh.  Pinggangku terasa dipatah-patahkan.  Kakiku terasa tidak boleh diluruskan lagi.  Betis terasa membengkak tiga kali ganda.  Lidahku terus mengalunkan maki hamun sebagai zikir. 

            “Kalau esok, awak semua buat lagi.  Saya nak suruh jalan monyet pulak!”  ugut senior Azli. 

Terasa mahu kutinju-tinju mukanya.  Apabila kami masuk ke dalam dewan, ketawa-ketawa kecil dari kelompok pelajar perempuan di sebelah kanan dewan kedengaran.  Sudah pecah berita tentang ‘itik pergi sekolah’. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...