..yang bernama sahabat

Tuesday, 30 April 2013

Embun Vokey : Naga Kepala Tujuh


NAGA KEPALA TUJUH

T
UAN pengetua terangguk-angguk ketika biodataku dibacakan.  Apa yang hendak dihadamnya daripada biodataku itu, akupun tak tahu.  Atau sekadar mengambil hati kerana aku di sebelahnya, aku juga tidak tahu.  Malas mengambil tahu.  Tak penting. 
           
Bertan-tan biji mata yang memandang ke arah pentas cuba aku pandang satu-persatu.  Malangnya, mataku bukan mata Wolverine.  Walaupun aku jangka, wajahku sebaris tampan dengan pemegang watak utama siri X-Men itu.  Cuma yang terdekat, mampu aku raih pandangannya.
           
blog.ub.ac.id
Apa yang hendak aku buat selepas ni.  Takkan nak menari Gangnam Style pula.  Walaupun pentas ini pernah menahan kakiku yang ketar ketika  menggoreng gitar ketika Minggu Orientasi 1991.  Pentas ini juga aku huru-harakan dengan dentang dan  dram pada setiap konsert-konsert sekolah.  Pernah menyaksikan teman-teman lain, satu sekolah mengadakan persembahan. 

Goreng hangus sampai sumbang, ketuk tengkuh hingga tenggelam irama, lagu memanjat bukit, suara terjun ke sungai terus ke laut, gaya saja yang belum kalah.  Mana-mana yang berkebolehan, benar-benar meraih populariti.  Mengalahkan yang di pertua asrama, mahupun ketua pengawas sekolah.  Ketua kelas apatah lagi!  Yang lelaki dikerling senior perempuan.  Yang perempuan diintai-intai senior lelaki.  sebulan dua akan terpecah berita, pasangan terhangat dan terhangit.  Sama ada di antara junior dan senior ataupun sesama junior.  Aku terbayangkan sepasang mata. 

            “Dato’…”
            Suara Cikgu Rudziah mengejutkan aku.  Tersipu-sipu aku dibuatnya.  Sisi lipatan kenangan silam aku tutup.  Kembali berdiri di alam nyata.  Aku menurunkan sedikit letak mikrofon di astaka.  Seperti yang biasa dilakukan oleh pengetua kami dahulu.
           
“Guru-guru, pelajar-pelajar, selamat pagi…”  ucapan wajib yang menjadi ikut-kutan kami kala membuka gelanggang mengumpat guru-guru.
           
“Guru-guru, pelajar-pelajar selamat pagi…”  aku menyebutnya spontan mengikut arahan minda segar.  Ketawa membuak di sebelah atas pentas.  Beberapa orang guru kanan di situ memandangku.  Agaknya teringatkan Mr. Param, bekas pengetua.  Pelajar-pelajar di bawah menumpang sekaki.  Walaupun hanya sebahagian. 
           
“Perkara pertama yang saya nak tanya dan nak tahu.  Berapa ramai yang datang ke sini kerana terpaksa…” akupun menyanyikan rangkap lagu Kerna Terpaksa yang dipopularkan Francesca Peter. 

Ada yang ketawa.  Ada juga yang ketawa terpaksa.  Tak kurang juga terus melempar respon negatif, boo kedengaran di sana sini.  Aku tersenyum.
           
“Hidup lagi rupanya.  Saya ingat dah mengantuk semuanya.  Sila angkat tangan, saya nak tengok.”

Tiada.  Aku tahu bukan tiada kerana memang tiada.  Tiada tangan di udara kerana tiada yang mahu mengaku. 
           
“Cepat, siapa mengaku, saya bagi iPad!” tawarku. 

Amboi, kalau buatnya semua mengaku, masak aku!  Barulah perlahan-lahan, dua tiga, empat, lima seterusnya sepuluh tangan daripada ratusan kelompok putih biru dan putih hijau itu lurus menghala ke siling dewan.  Mataku menangkap tangan yang mula-mula kelihatan.  Agak jauh di belakang, daripada kelompok pelajar lelaki.
           
Aku meninggalkan pentas.  Berjalan menuju ke arahnya.  Pelajar-pelajar juga membuat pusingan u melihat arahku.  Ada yang berdiri.  Bunyi seretan kerusi dan hingar pelajar memenuhi dewan.

“Nak perkenalkan diri?” dia menggeleng, perlahan-lahan bangun berdiri. 

Berdirinya tidak lurus.  Sebelah kaki disengetkan.  Bahunya jatuh.  Aku kerling tag nama yang tergantung di lehernya.  Baju putihnya bergosok kemas.  Rambutnya disisir kemas dengan potongan pendek di belakang kepala  Aku merasakan gelombang rendah diri, aksi menyampah, meluat sedang mengitar dirinya sekarang.  Wajahnya masam menandakan dia membenarkan aura negatif merajai dirinya.
           
“Siapa?”  aku tidak mengulang soalan yang sama ketika di atas pentas. 

Dia tidak menjawab.  Buat-buat aku tidak wujud di sebelahnya.  Aku tahu, guru-guru di atas pentas kegelisahan.  Kebimbangan meledaki suasana, risaukan aura negatif itu menjalari pelajar lain ketika itu.  Aku bertanya soalan yang serupa.
           
“Mak suruh…”  jawabnya leweh dan mendatar. 
           
“Mak suruh sebab…?”
           
“Selalu ponteng sekolah…” 
           
“Dah masuk sini nak ponteng lagi?”
           
“Tengok keadaannlah…”  jawapannya mengundang tawa.

Aku teringatkan pagar belakang kantin yang roboh.  Sebelum tertegaknya kawasan perumahan di situ, kawasan bersebelahan kantin sekolah itu adalah tapak pembinaan.  Rumah-rumah kongsi menghiasi juga besi-besi dan batu.  Aku juga teringatkan pagar di belakang asrama putera.  Ingatanku menjalar pula ke tangki air, di tingkat lima.  Boleh ditembusi melalui bilik air dan di situlah kami menikmati pemandangan indah, seperti dari mata helikopter layaknya.    Menikmati kepulan asap, muntahan nikotin sambil memandang terus ke arah rumah pengetua.
 
            Setiap inci dormitari asrama itu membawa kenangan.  Libas sepak warden adalah makanan biasa.  Sama ada libas kosong ataupun menggunakan perantara.  Getah paip, rotan, kayu, hanya pedang samurai sahaja yang belum digunakan.  Paling ramai merasainya pada hujung minggu, melayan mimpi sehingga matahari mencolok mata.

 Eksperimen mengejar naga kepala tujuh, empat belas mahupun dua puluh satu.  Ataupun membuka kedai judi kecil-kecilan selepas lampu bilik dimatikan tepat jam 11.00.  Lebih mencabar lagi, ada yang berani meneroka ke alam roh tanpa bekal.  Bila roh itu seakan-akan jatuh cinta pada pemanggil, enggan pulang, semuanya bertempiaran lari.  Semuanya adalah rencah kehidupan yang mewarnai duniaku ketika itu. 

            “Senior okey?”  Tanyaku, kembali ke 2013, dia senyum senget.

            “Warden okey?”  senyum sengetnya bertambah senget.  

“Tiada istilah okey dalam kehidupan berasrama buat seorang budak lelaki, kan?”  tambahku. 

Asrama dan remaja penjodohan yang seiras dengan perkahwinan sepasang kekasih di alam realiti.  Di luarnya manis.  Setelah terlafaz ijab dan kabul, warna, bunyi dan pandangan sebenar pasangan akan terpapar. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...