BUAYA LAPAR
1990
“O
|
KEY, awak semua
tahu tak kenapa nama-nama awak dipanggil?”
Pelajar senior yang memperkenalkan dirinya sebagai Azli itu mengitari
kelompok kami.
www.memobee.com |
Ramai. Rasanya hampir separuh daripada pelajar junior
yang baru mendaftar semalam, berada di dalam kelompok itu.
Termasuk aku.
Beberapa orang pelajar senior lain yang aku agak AJK Orientasi atau apapun
namanya turut kelihatan di atas foyer di depan bangunan asrama putera tiga
tingkat itu.
Senior
Azli warawiri umpama wakil rakyat menunggu keputusan pilihanraya. Tetapi langkahnya teratur. Tangannya diletakkan ke belakang, dada
bidangnya dibuka dan bahu tegak kemas dengan wajah serius. Pelajar senior lain juga begitu, bertali
leher, sekali imbas seperti jurujual kepala gas dari rumah ke rumah! Ada
juga pelajar senior yang berbaju biru, pengawas kukira turut serta dalam
perhimpunan ini. Tapi seketika, kemudian mereka bersaing-saing berjalan kaki
menuju ke dewan sekolah.
Akal
singkatku gagal mengail ingatan.
Semalam, selepas mendaftar, kami dilepas bebas. Selepas bersalaman dengan emak, aku
ditinggalkan emak dengan teksi sewa berwarna oren hitam itu. Tiada hujan air mata di pipi emak. Hujan air mata emak sudah turun awal sebelum
itu. Lama selepas aku menghulurkan slip
keputusan SRP.
*****
TIADA
kata, tiada bicara, emak membalasnya dengan air mata. Senakal-nakal aku, dapat aku tafsir, air mata
itu air mata kecewa. Tradisi adik
beradik di tanah setinggan ini aku teruskan.
Belajar ala kadar, bermain terlebih kadar. Habis SRP, habis SPM menghambakan diri pada
ringgit. Gah menongkat hidung dengan
gaji sebesar tahi hidung! Gagal
menjarakkan pandangan melebihi setahun dua atau lebih. Memandang lebih sedikit ke hadapan. Menilik, apa yang dapat dilakukan dengan kelulusan
Sijil Am Pelajaran pada jangka masa panjang.
“Kalau
kau sayangkan mak, kau buatlah sesuatu.
Jangan kau teruskan hidup kau macam anak orang lain kat sini.”
Kata-kata
emak kukira sebagai lafaz kebenaran.
Sebenarnya ketika itu, aku belum memberitahu sesiapa tentang
permohonanku ke sekolah vokasional.
Hanya Cikgu Salleh yang tahu.
“Okeylah
tu Boy. Abang sokong. Habis sekolah, kau boleh buka bengkel. Kerja sendiri,” Abang Mus aka pomen pokok
ceri memberikan semangat. Pada Abang
Mus, aku tanyakan pendapatnya beserta ura-ura, bukan juga cerita sebenar.
“Kau
tengok abang ni…ilmu tak ada, minat saja.
Berjaya tu boleh. Tapi
lambat. Macam kau, peluang dah tersedia. Rebut aja.”
Abang Mus terhenti seketika ketika meminta aku menghulurkan tiub baru
kepadanya. Selajur, dia menyambung “Tak ada orang nak mengumpat fasal kau. Janganlah kau bimbang. Kau lulus, kau tak lulus, kau lingkup, kau
terkedang, tak ada siapa yang peduli melainkan mak abah kau. Gembirakan hati mereka,” Abang Mus memberikan ceramah motivasi
perdananya pada petang yang nyaman itu.
Aku
tersengih sahaja mendengar ceramah percumanya itu. Anak-anak kecil berlarian di depan rumah
bujang itu. Bermain tanpa gusar dalam
dunia imaginasi bikinan sendiri. Biarpun
aku sama sahaja dengan orang lain, tidak peduli dengan nista atau tohmahan. Tidak ambil tahu dengan nasihat lebih-lebih
lagi ceramah, tapi kalau kata-kata itu datang dari emak, lambat-lambat aku akur
juga.
Emak
tidak menyebut nama sesiapa. Tetapi
gosip dan khabar angin adalah makanan kejiranan kami. Dalam sepantas kejipan mata, boleh ditangkap
cerita anak siapa menagih dadah, anak siapa berkahwin dulu menikah kemudian,
anak siapa di…dan macam-macam lagi.
Di
kawasan perumahan setinggan Kg Pinang, siapa yang tak kenal aku. Sebut sahaja Boy, semua orang boleh
membayangkan seorang budak lelaki berbadan kecil, bersuara nyaring dan berkaki
pantas. Ahli jawatankuasa masjid sahaja yang mungkin tak mengenali aku. Kerana?
Akupun tak mengenali mereka!
Nama sebenarku, Nazri. Sebenarnya aku boleh dipanggil Nazri. Naz atau Zeri oleh sesiapa juga. Tetapi kawan-kawan sekolah adalah merangkap
kawan ‘setaman’ maka sehingga ke sekolah, nama Boy juga yang terpaksa aku
junjung. Aku ingatkan sekali lagi ya,
Boy. Bukan Boboboi. Ataupun Boboi Maharaja Lawak.
1989,
aku masih anak-anak lagi. Begitupun
sudah pandai mengintai harumnya kembang.
Sudah pandai menghulur salam berbaur cinta. Biarpun kebiasaannya cinta itu dimiliki oleh
monyet dan spesies yang sewaktu dengannya.
Aku
pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Petaling. Sekolahku berhampiran jalan besar, di tepi
susur Jalan Kelang Lama tetapi dihijabi oleh perkampungan setinggan yang
sinonim dengan negeri kelahiranku ini.
Tiada apa yang menarik hendak aku coretkan. Ia menjadi menarik hanya sesudah aku menjadi
pelajar tahun kedua sebuah sekolah vokasional di Bentong. Sekolah itu dibuka pada tahun 1989. Aku adalah pelajar kelompok kedua, bermakna
pelajar junior’yang ulung di situ.
Aku
melempar diri jauh ke perbukitan Bentong bukan kerana alasan-alasan klise. Ingin lari dari masalah. Masalah, mana mungkin dibawa berlari. Tetap akan terus bergayut di kaki sampai
mati. Tipulah kalau sesiapa menjadi
warga vokasional dan kemudiannya semua masalah terkubur. Pada nisannya tercatat ‘Almarhum Masalah bin
Masalah’. Dikebumikan pada sekian-sekian
tarikh. Tiada.
Malah,
di vokasional jugalah aku bertemu dengan dia, dan kami mencipta pula masalah
baru. Masalah apa? Klise lagi?
Tidak, cinta monyet itu lumrah.
Penyeri untuk anak-anak sekolah yang suka berkasih sayang seperti aku.
Satu
perkara yang sedikit pelik dengan diriku, aku memang pantang melihat sesuatu
yang berenjin. Jiran dinding rumah kami
ialah Abang Jack, Abang Mus dan Abang Rahim.
Kesemuanya bekerja sebagai penghantar surat .
Setiap
petang atau hampir malam, mereka akan mula bermesyuarat. Minit mesyuarat dicatatkan dengan deruman
enjin motosikal. Menderum-derum
sehinggakan bunyi yang lemak berkrim dinikmati puas oleh telinga. Hidangan mereka adalah lepasan-lepasan asap
yang berlari-lari keluar berbau petrol dan kemudian hilang disapa angin. Penangguh mesyuarat biasanya ialah Mak Cik
Kiah! Apabila azan Maghrib berkumandang
dan mereka menjawab azan dengan cara kurang wajar itu, tunggulah kedatangan Mak
Cik Kiah.
“Kau
orang ni, nak aku tebas seorang-seorang?
Masa Maghrib nilah nak memekak.
Hormatlah sikit azan tu. Kalau
kau orang tak hormat, tak jawab, kau ingat orang lain nak tolong jawab?” Mak Cik Kiah yang bertubuh rendang biasanya
akan muncul dari belakang rumahku.
Lebuhraya buat kami yang merupakan pintu depan rumahnya.
Waktu
itu, bertempiaranlah ketiga-tiga abang itu mengemaskan peralatan mesyuarat
mereka. Kalau aku ada di situ, aku juga
terlibat dalam operasi mengemas ataupun aku gelar ‘menolak ke tepi dengan
kaki’. Begitupun, mereka tidak pernah
menjawab kata-kata Mak Cik Kiah. Paling
tidak, mereka melarikan diri ke dalam rumah.
Kalau sudah terperangkap, sengihan mengganti kata maaf. Tapi maaf mereka ketika itu sahaja. Esok, aku akan menumpang tenggek lagi melihat
kepakaran mereka mengubahsuai enjin, ekzos, dan segala apa yang berkaitan
dengan motosikal.
Anak
setinggan, jika seusia 10 atau 11 tahun masih belum tahu memulas pedal, menukar
gear motosikal, bukan anak setinggan sejati namanya. Kami anak setinggan tahan lasak. Hidup di dalam suasana kurang selesa,
mematangkan kami. Mengeraskan hati kami. Memejalkan jiwa kami. Rumah kecil, hidup dengan adik beradik yang
ramai berhimpit-himpitan tidak pernah menjadi kudis untuk aku menidakkan
kebolehanku.
*****
“KAU
ni, esok nak SRP. Pergi baliklah!” marah Abang Mus padaku. Agaknya apa yang aku buat sekarang, adalah
ulangan perlakuannya satu ketika dulu.
Waktu itu, esok pagi jam 8.00, kertas soalan peperiksaan pertama bakal aku depani. Bahasa Malaysia .
“Kau
nak jadi apa Boy? Malas belajar. Jadi mat despatch
macam aku. Nak buat apa. Gaji sikit.
Nak bermewah-mewah tak boleh.
Duduk rumah setinggan. Perempuan
pun fikir sepuluh kali nak dekat, tau!”
“Ala , abang ni. Boy bukannya malas. Masalahnya kepala Boy ni dah santak. Dah penuh.
Nak menghafal-hafal. Abang tahu
berapa subjek nak hafal?”
“Yang kau hafal buat apa, cikgu
suruh baca. Fahamkan. Dalam kelas menganga macam buaya lapar. Patutlah
tak pandai-pandai. Engkar. Degil cakap cikgu!” suara Abang Mus meninggi. Tetapi di hujungnya dia ketawa. Mengetawakan dirinya sendiri, agaknya. Dia
mencangkung semula di depan motosikalnya.
“Kalau boleh Boy nak jadi macam
abang. Tak payah belajar. Tak payah kerja. Duduk mengadap enjin sepanjang masa.”
“Ha’ah. Lepas tu bila lapar, kau hadap enjin tu,” tukas Abang Rahim yang
meluruskan kaki. Menarik sedikit seluar
jeans yang rabak lututnya. Ketat
menyentak pangkal nyawa.
“Kasihan kat mak abah kau, Boy. Kau belajar dulu, lepas tu barulah kau fikir
nak buat apa. Kerja kau sekarang
belajar,” Abang Rahim bersuara lagi.
“Abang ni macam mak, macam kakak Boy
lah,” aku tunjukkan muka terberenyot dan
nada yang menurun. Mereka berdua sekadar
tersenyum.
“Terlanjur kau cakap fasal kakak
kau, Boy. Balik nanti, Boy beritahu dia,
Abang
Mus kirim
salam. Abang nak ajak dia tengok
Muzik-Muzik akhir. Abang ada dua
tiket!” Abang Mus bersungguh-sungguh. Bulat matanya.
“Abang cakaplah sendiri,” bicaraku berbaur jauh hati dengan Abang Mus
dan Abang Rahim.
Tiba-tiba. Aku rasakan mereka tak memahami diriku. Otakku memang sudah tidak mampu menghadam
apa-apa yang bertulisan lagi. Formula
matematik, berlebih lagi. Terasa apa
yang aku baca menjelang SRP, tertinggal di pinggir telinga. Atau hanya bergayut di hujung bulu mata. Tidak masuk ke dalam saraf-saraf dan tiada
maklumat yang mendarat di benak.
*****
“APA
nak jadi dengan awak semua ni ha?” Itu
soalan paling popular di dalam kelasku.
Kelas Seni Perusahaan 3. Kelas
corot yang menempatkan kaki ponteng, kaki buli, kaki pukul untuk pelajar sessi
petang. Jika sepuluh orang guru yang
masuk, sepuluh-sepuluh akan bertanya perkara yang sama.
Sepatutnya,
mereka yang menentukan apa yang akan berlaku pada kami. Mereka guru.
Mereka diajar, diberi latihan mendidik.
Sepatutnya kerja mereka mendidik.
Kami mana tahu. Kerja kami
belajar. Bukan ‘berdidik’. Kami belajar apa yang diajar dan bukannya apa
yang dididik.
Ketika kelas-kelas cemerlang lain
semakin giat menggandakan latihan, latih tubi dan kelas tambahan, kelas kami
sudah boleh diumpamakan tongkang pecah.
Cikgu Rafidah cuti bersalin.
Sekolah memang kekurangan guru.
Maka, di dalam kesempatan yang ada untuk dijadikan alasan, jadilah kami
mangsa.
“Semua
pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang,”
“Semua
pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang.”
Ketua
Pengawas sessi petang itu cuma melaung di sepanjang koridor kelas. Mencicit-cicit kami keluar dari kelas. Keriangan.
Bukan kerana berkesempatan tidak belajar. Sebab, sememangnya kami tidak
belajarpun. Tetapi kesempatan menghirup
angin dan mencuci mata dengan pemandangan yang lebih menarik. Daripada yang ada di dalam kelas.
“Tingkatan
3P3, kamu semua duduk barisan depan.”
Melalui pembesar suara, Cikgu Salleh, Guru Kelab Bimbingan dan
Kaunseling memberi perintah.
Pembesar
suara di tangan kanan, dia berdiri berhampiran kerusi yang paling hujung
barisan pertama. Tangan kirinya
melambai-lambai ke arah aku dan rakan-rakan.
Sebaris keluhan seperti ‘alamak,’ ‘apahal pulak’ atau a sahaja
kedengaran. Rupa-rupanya dua barisan
telah dikosongkan khusus untuk perwira bangsa seperti kami.
Dengan
bangga dan malu-malu alah, kami melewati pelajar-pelajar kelas lain, perempuan
terutamanya menuju ke baris hadapan. Aku
seperti biasa, meraup rambut ke belakang dan menarik sedikit longgokan rambut
di depan agar terjuntai di dahi. Baju
dan tali leher aku kemaskan biarpun nampak serba tak kena dengan seluar hijau
yang telah diubahsuai dan diketatkan di bahagian lutut dan ke bawah.
“Hari
ini, saya akan menerangkan tentang peluang belajar sebaik sahaja anda semua
menamatkan pengajian peringkat SRP,” ayat
cikgu Salleh memang tidak pernah gagal merangsang minda kami.
‘Menamatkan
pengajian’ digunakan untuk memberi semangat seolah-olah kami lepasan
universiti. Cikgu Salleh adalah guru
bimbangan dan kaunseling yang bagiku tidak menampakkan sikap pilih bulu seperti
sesetengah guru lain. Senyum sentiasa
bergayutan di bibirnya seperti mana tali leher yang bergayutan di leher dan
terletak di atas perutnya.
“Saya
perturunkan beberapa alternatif selain daripada pendidikan konvensional yang
akan anda semua terima jika anda memilih untuk meneruskan tingkatan empat di
sekolah ini ataupun mana-mana sekolah harian yang ada.” aku masih belum dapat menangkap maksud Cikgu
Salleh. Sehinggalah dia menuliskan di
papan putih, MRSM, sekolah berasrama penuh, teknik, vokasional, agama.
Cikgu
Salleh memberikan risalah tentang keperluan-keperluan yang perlu ada buat
seorang pelajar untuk melayakkan diri pada sekolah-sekolah yang dinyatakan
tadi.
Buat pertama
kalinya, aku memberikan perhatian kepada risalah di tangan. Juga kepada penerangan Cikgu Salleh. Di dalam minda aku menolak kesemua kriteria
kecuali untuk ke sekolah vokasional.
Kursus-kursus yang ditawarkan. Kursus-kursus teknikal seperti Automotif.
Binaan Bangunan. Kerja Kimpalan.
Penyamanan Udara. Elektrik dan Elektronik. Amalan Bengkel Mesin. Perdagangan.
Pertanian. Sains
Rumahtangga. Mataku tertancap pada
perkataan pertama. Automotif. Aku tersenyum. Terima kasih Cikgu Salleh. Kata hatiku.
Kalaulah aku berjumpa dengan cikgu Salleh di mana-mana, akanku cium
tangannya.
No comments:
Post a Comment