MELASTIK CICAK
|
kredit: penpatah.blogspot |
BERSEMPENA
dengan upacara penutupan minggu orientasi, juga dengan tertubuhnya Kolej Vokasional
di sekolah ini, saya mempersilakan bekas pelajar, perintis, tulang belakang
yang berusaha gigih di sebalik semua ini, Dato’ Nazri Rahim. Saya bacakan sedikit biodata Dato’ Nazri,” aku memandang Cikgu Rudziah yang menjadi
pengerusi majlis. Guru yang bertahi
lalat di tepi batang hidung itu sedang membaca biodataku.
Mendengar
satu persatu mengenai latar belakangku dibicarakan, aku teringatkan emak. Senyuman emak yang tidak pernah tertinggal
untukku. Aku memandang pula sekitar
dewan ini. Setiap pintu di tepi dewan
terbuka luas. Memberi peluang
pelajar-pelajar yang kebosanan mencuci mata.
Manakan tahan menongkat mata dan badan yang letih setelah dikerjakan
mental dan fizikal selama seminggu.
Ada yang sedang memegang
getah ilusi, meregang dan mengecilkan sebelah mata. Cicak bertempek yang sedang bermain polis
sentri dengan serangga di tepi dinding dan siling dewan menjadi sasaran. Ditarik tegang-tegang dan, agh! Tak
kena. Kalau tidak pasti menggelitik
cicak itu memohon nyawa. Kalau panjang
umurnya, bergegasan meninggalkan ekornya yang menggelitik tak ketahuan.
Ada juga yang sedang
berkira-kira untuk mengarang ayat yang terbaik untuk menawan hati si dia,
manalah tahu saat berselisihan, boleh disapa.
Si dia yang semalam, nampak ayu ketika menunggu giliran mendaftar. Juga mungkin beberapa hari lepas, si dia yang
tak sengaja memunculkan wajah ketika dalam kelas atau bengkel, kerana disuruh
guru menyampaikan pesanan.
Ada yang sedang membilang
deretan papan yang tersusun di bahagian bawah pentas, menjadi sebahagian
daripada dinding pentas. Dikira-kira,
dan dikira semula, ucapan di atas pentas masih juga belum habis.
Ada pula yang sedang
memberi komen di dalam hati tentang jenis tulisan yang digunakan pada perkataan
‘Majlis Penutup Orientasi’. Kenapa
warnanya merah, tidak biru, tidak ungu dan sebagainya. Hendak diluahkan kepada orang sebelah, tak
berani. Pengawas yang terdiri daripada senior-senior
sentiasa mundar-mandir. Bila terdengar
bisik-bisik, laju sahaja jari telunjuk mereka singgah di depan bibir. Tidak
terkira yang sedang melayan angan, atau melayan pilu mengenang nasib diri. Jauh daripada keluarga. Mengharungi minggu orientasi yang membekam
jiwa.
Minggu
orientasi, minggu ragging. Istilah yang ditiadakan tetapi perlakuannya
masih ada. Minggu memberi peluang kepada
senior-senior untuk membuktikan kejaguhan masing-masing. Kejaguhan di bidang berpidato, sehingga yang
mendengarnya melelapkan mata. Kebolehan
berkreativiti, mereka cipta denda yang membawa dua kesan. Mengingatkan atau menyakitkan.
No comments:
Post a Comment