“Mana
kita nak lari?” Long Jali memandang Su Melah. Su Melah yang baru selesai
bersolat Isyak itu memandang wajah suaminya. Dia berdiri, menarik tali yang
terbuai dari bawah perut kipas di dinding, sebelum menanggalkan telekung.
“Kita pergi memondok nak bang?” usul
Su Melah. Suara cucu-cucunya yang berlarian di luar bilik tidak menarik lagi di
birai telinga. Seharian, menguruskan mereka menjadikan Su Melah lelah sendiri.
Mahukan masa untuk diri sendiri.
“Tak naklah saya. Tak selesa.” Mentah-mentah
Long Jali menolak. Dalam hati, Su Melah memanjatkan doa. Long Jali duduk di
atas kerusi berhampiran tingkap. Angin malam menangkap rakus asap rokok yang
dihembus keluar olehnya. Marah dengan langsir yang asyik membuai-buai dan menampar
pipi tuanya, Long Jali bangun, dikilas dan digulungnya langsir biru tua itu.
“Dah…kalau begitu, kita ke rumah
orang tua-tua ajelah,” cadang Su Melah. Tenang.
“Hish. Kita ni berharta. Bukannya
papa kedana. Kenapa nak pergi ke rumah orang tua-tua pulak?” sanggah Long Jali.
“Ya, berharta. Tapi apa guna harta
kalau anak-anak tak pedulikan kita?”
“Sebab harta kitalah, mereka pandang
lagi kita, Melah ooi. Kalau tak dah lama masing-masing tu tendang kita macam
anjing kurap.”
“Sekarang pun, lebih kurang aje,”
balas Su Melah. Ada air bergenang di tubir matanya. Dia menggosok-gosok batang
lehernya yang terasa tegang. Bisa-bisa terasa menyengat di seluruh badan. Sendi-sendi
tangan dan kaki dirasakan mahu luruh. Entah pada siapa nak diadukan lenguh dan
sengal ini pun dia tak tahu**Cerpen tersiar di akhbar Berita Minggu 9 Nov 2014
No comments:
Post a Comment