“Kan
saya kata. Bini dia tu lain fahamannya.” Su Melah seperti melepaskan geram.
“Bukankah
isteri tu tugasnya menyenangkan hati suami? Masa suami susah ni, bantulah.
Reda. Memanglah ganjarannya tak nampak sekarang. Tapi, Tuhan balas dalam bentuk
lain. Kalau tak nak susah, cari suami kaya,” bebel Long Jali.
“Kalau
bini dia tu, anak saya, senang saya cakapkan.”
“Huh!
Nak anak beli beras pun awak tak berani,
lagi awak nak cakap pasal tanggungjawab? Pasal hak? Lupakanlah Cik Melah oii..”
Long Jali menempelak lagi.
Jeritan
di luar bilik mengalih perhatian mereka. Su Melah gesit bangun menjenguk. Si
adik sedang mengangakan mulut seluas-luasnya dengan tangan menutup mata. Si
abang pelat bersuara membela diri.
Su
Melah bercekak pinggang. Telunjuknya mengarah kepada dua buah buaian yang meregang,
berat mengandung isi. Dua jasad di dalamnya menggeliang-geliut. Si adik, dalam
ngongoi menuduh abangnya. Su Melah mendekati kedua-dua buai dan dienjutnya
perlahan-lahan. Su Melah menggeleng-geleng apabila dilihatnya Long Jali sudah pun
membuka pintu, meninggalkan dia seorang diri, tunggang terbalik meladeni cucu.
*****
“Aku
ni dah macam Quran buruk. Anak-anak semua jauh. Balik jarang-jarang sekali,”
adu Kak Limah, jiran setaman yang suka bertandang pada waktu petang. Pantang
kalau didengarnya suara budak-budak di depan rumah teres setingkat itu, akan
muncullah dia menatang buah tangan. Kalau kuih, kuihlah. Kalau buah, buahlah
dibawanya. Tak pernah bertangan kosong.
“Sama
aje kita, kak.” Su Melah melunjurkan kaki. Kak Limah bersandar di tiang wakaf
bersebelahan dengan Su Melah. Su Melah mengosok-gosok kepala lututnya yang
sengal.
“Anak-anak kau baik, Melah. Ajak kau duduk
sekali. Aku ni kalau ikut hati, diam-diam aku nak lari pergi memondok.” Kak
Limah melampiaskan perasaannya. Mungkin dia sunyi amat di rumah besar
peninggalan suaminya itu, fikir Su Melah.
“Kenapa
sampai begitu sekali, kak. Kesian pada anak-anak.”
“Kita
kesian pada mereka. Mereka ada kesian pada kita? Ada tak mereka telefon tanya
khabar kita? Zaman sekarang, anak ramai ke, anak sikit ke, tak menjamin
apa-apa.” Kak Limah meluah kesal, kelihatannya tegas, tetapi sepasang matanya
digenangi manik-manik jernih.
“Kenapa
kau tak nak ikut duduk dengan mereka Limah? Kan senang,” sela Long Jali yang
sekadar menjadi pendengar semenjak tadi. Dia menolak sedikit hujung kaki Su
Melah dan bertinggir di situ. Sebelah kaki dilipat dan sebelah lagi terjulur
menyentuh lantai simen. Sesekali kaki berselipar coklat yang terayun itu
menggeser simen.
“Tak
kuasa aku. Kalau setakat nak jadikan aku orang gaji, nak basuh kencing berak cuc-cucu,
tak payah. Tajuknya konon nak menolong anak, kesian kat anak. Takut terbeban
nak bayar taska lah, takut kena dera dengan pengasuhlah. Akhirnya aku nanti
yang kena dera.” Kak Limah spontan melepaskan perkataan tanpa berlapik. Su
Melah dan Long Jali berpandangan. Seakan memukul kedua-dua belah pipi mereka.
Kiri dan kanan, berulang-ulang kali.
*****
“Maknya.
Kalau saya tak ada, awak nak pergi memondok ke?” soalan Long Jali yang
tiba-tiba saat mata Su Melah tidak dapat ditongkat lagi itu mengundang tawa
hambar daripada bibir tuanya.
“Kenapa?”
“Kalau
awak teringin, pergilah. Saya izinkan,” kata Long Jali perlahan. Kemudian
menelentang, menghela segerombolan nafas. Long Jali mengqiamkan tangannya dan
terus diam. Su Melah turut melebarkan layarnya ke alam mimpi. Mimpi merdeka
seorang ibu tua.
Cerpen tersiar di dalam akhbar BH edisi 9/11/2014. Terima kasih editor Sanggar Kreatif.
No comments:
Post a Comment