Cerpen tersiar di akhbar BH pada 9/11/2014
Kalau
selepas dia mati, Su Melah dengan rela diri menjadi penghuni rumah orang
tua-tua pun, Long Jali tidak ralat. Biarlah. Kalau itu yang Su Melah rasakan
boleh menjamin anak-anak merasa mereka berdua tidak berat sebelah. Di sana
tidak, di sini pun bukan. Biar masing-masing meneruskan hidup sendiri tanpa
campur tangan mereka, orang tua.
*****
“Anak
awak ada jumpa awak, abahnya?” suara Su Melah kedengarannya mengah. Long Jali
yang sedang membaca akhbar menoleh. Su Melah baru sahaja menanggalkan tudungnya
menyambung, “dia telefon nak jumpa awak. Nak pinjam duit lagi lah tu agaknya,” teka
Su Melah.
Long
Jali mendengus. Wajah anak keduanya yang seiras Su Melah itu terang di depan
mata. Kelihatannya terlalu lembut. Suami tempatnya tertinggi dalam hierarki
rumah tangga. Tegas menyatakan pendirian, lembut melahirkan perasaan.
“Duit
gaji dia, laki bini, tiga empat kali ganda daripada duit pencen saya. Duit
pencen saya juga yang dikejarnya,” rungut Long Jali. Gesit bangun mencapai
seluar panjangnya di balik pintu. Banyak yang tidak difahami dalam pentadbiran
kira-kira gaji anak-anaknya. Kereta besar dan
rumah besar bukan ukuran akan menyenangkan mata orang tua. Bukan token
penghargaan yang boleh dijulang-julang di depan rakan taulan di kampung. Silap
haribulan, beginilah jadinya.
“Duit
gaji dia. Bini dia tak masuk campur. Sebab dia tak benarkan suaminya tu masuk
campur hal ehwal gaji dia. Duit gaji dia, duit dia. Nanti, kalau dia tolong
nalar, jadilah anak kita tu suami tak bertanggungjawab. Lepas tangan,” ujar Su
Melah, mengingatkan konsep perkongsian hidup yang dipegang oleh menantunya yang
seorang itu.
“Huh!”
Long Jali meluah rasa. “Dia nak buat apa duit tu?” tanyanya lagi sambil mencapai
pula kemeja lengan pendek. Jarum jam di dinding sudah merangkak ke pukul
sepuluh. Waktu biasa untuk Long Jali keluar mengambil angin. Duduk di rumah
hanya mengusutkan otaknya dengan bunyi teriak tangis dan pekik lolong
cucu-cucu.
“Bayar
duit rumah. Dah nak kena lelong.”
“Ai…bini
dia kan bergaji besar?” Long Jali menoleh sebaik mengetatkan tali pinggang yang
hampir sebaya dengan umurnya itu.
No comments:
Post a Comment