Diadukan
pada anak yang tinggal di kampung, hanya paku buah keras yang diterimanya
balik. Tak ada penyakit, cari penyakit. Kata anaknya itu.
Dulu, sewaktu anak sulungnya baru
beranak sulung, Su Melah tak sanggup membiarkan menantunya berpantang seorang
diri. Maka, dialah yang bertungkus lumus menjaga menantunya selama berpantang. Sehinggalah
berderet-deret anaknya, Su Melah tidak tergamak membiarkan cucu-cucunya
dipelihara orang lain. Ditinggalkan rumah pusaka, dia pindah ke Kuala Selangor.
Rimas ditinggalkan selalu, akhirnya Long Jali mengikut juga.
Tinggal dengan menantu, anak orang,
banyak pahit daripada manisnya. Berlebihan pula, menantunya tidak dapat sama
setara mengikut ragam Su Melah. Su Melah tak sukakan rumah bersepah. Su Melah tak
sukakan dapur berkincah. Su Melah pantang kalau kain berangkat dari jemuran
terbiar kaku di dalam bakul. Namun, yang itulah perangai menantunya. Pening
dengan ragamnya, Su Melah pindah di rumah anak lelaki keduanya. Ketika itu, dia
masih bujang tetapi sudah pun bertunang.
Selepas mereka berkahwin, Su Melah
mulalah panas punggung dengan gelagat menantu barunya. Masaknya sejenis sahaja.
Kalau kari ayam, kari ayam sahajalah. Tak ada sayur tak ada ulam. Kalau ikan
goreng, ikan goreng sahaja, tak ada gulai atau sambal berlada buat penolak
selera. Kedekutnya tak terkhabarkan. Kalau apa yang dibeli atau dimasak tidak
dimakan Su Melah, mulalah dia menarik muka. Domba aneka rasa diadu pada suaminya.
Bergaduh besar anak dengan ibu disebabkan isteri berpangkat tingginya itu.
Melihatkan itu, anak perempuannya
masuk campur. Berperang mulut adik-beradik. Jelu sungguh hati Su Melah
mengenangkan perkelahian sedarah daging disebabkan oleh orang lain. Su Melah dan Long Jali tinggal dengannya yang
ketika itu sedang mengandungkan anak kedua. Terboyot-boyot setiap hari memanjat
tangga sehingga ke tingkat lima. Mujur juga, rezekinya murah, dapatlah membeli
rumah teres di pinggir bandar ini. Menantu lelakinya, bekerja sebagai drebar
bas. Itu yang menjadi kesukaan Long Jali. Dia boleh ke sana ke mari tanpa
tambang.
**Cerpen tersiar di BH, 9/11/2014
No comments:
Post a Comment