“Orang
lain, dah tua-tua boleh duduk-duduk di kampung. Bersenang-senang. Bertenang-tenang.
Menumpukan amal ibadat. Awak masih main kejar-kejar dengan cucu.” Suara Long
Jali memecah sunyi lagi.
Su
Melah senyum tawar. Betul kata Long Jali. Tapi, bukan cucu sahaja yang
dikejarnya. Sarapan, makan tengah hari, makan petang, makan malam, semuanya
perlu dikejar sama. Padahal, kalau diikutkan, ibu kepada cucu-cucunya boleh
mengambilalih kerja-kerja itu sebaik pulang bekerja. Itu belum termasuk
berbakul-bakul baju kotor cucunya. Juga baju-baju anak menantu, laki bini.
Baju-baju kerja anak perempuan yang turut meninggalkan anaknya di situ. Belum
termasuk kain baju mereka berdua.
“Dunia dah nak kiamat. Nabi sendiri
cakap. Kita beranakkan tuan. Nak balik kampung,
kena minta kebenaran. Kena minta kelulusan. Padahal kita ni, mak bapak
mereka.” Long Jali terus melahirkan rasa tidak puas hati. Su Melah diam. Long
Jali cuma sakit di hati melihatnya. Su Melah yang merasa sakit badan sekali,
keletihan sekali, lebih siksa menanggungnya.
“Sudahlah. Tak payah awak
membebel-bebel. Anak-anak tak suka dengar,” pujuk Su Melah. Dibandingkan dengan
dia, Long Jali lebih kuat menceceh. Membebelkan anak-anak tetapi anak-anak
tidak mahu mendengar kata-katanya. Apabila lelaki tua pesara Telekom itu
bermukadimah, maka masing-masing mulalah angkat punggung.
“Ikutkan sangat anak-anak macam
awaklah kita jadi begini,” marah Long Jali.
“Saya tak suruh awak ikut saya kan.”
“Habis? Awak nak suruh saya mati
kering seorang kat kampung. Tempat isteri di sisi suami Cik Melah. Kalau awak
belum tahu, ni saya nak beritahu. Saya suami awak, hidup lagi. Kebajikan saya
sepatutnya awak utamakan. Bukan anak-anak, bukan cucu,” bebel Long Jali. Su
Melah merangkak naik ke atas katil, tarik selimut, berpaling menghadap dinding.
Tidur lebih baik. Long Jali mengeluh sendiri. Harapnya selepas dia mati nanti,
keadaan akan pulih seperti sedia kala. Doanya.
Kalau selepas dia mati, Su Melah nak
memondok, biarlah dia pergi memondok. Kalau itu kehendak dan kemahuan yang
membahagiakan dia. Tinggal dengan anak-anak pun amal ibadat tunggang langgang
jadinya. Adakalanya solat pun tergelincir. Adakalanya juga, terpaksa diqada
bila yang di dalam buai dihenjut tak mahu tidur. Yang masih berjaga sibuk
berkejaran melanggar buai. Yang meraung geli-gelemankan isi di dalam lampin
mendudu-dudu menyerbu bilik air.
No comments:
Post a Comment