..yang bernama sahabat

Friday, 13 March 2015

Kumpulan Warisan Bonda






Gambar : Ehsan FB Hasimah Rahman



Assalamualaikum
Kumpulan Warisan Bonda

Aku nak menulis tentang kumpulan ini semenjak aku nampak gong tembaga buatan tangan kat umah pak cik Abid masa temankan omak ambil beras ‘ori’ – made in Sungai Buluh hari tu. Tapi, macam tak berkesempatan pulak.

Maka, impian aku terlaksana semasa majlis raikan cinta (istilahnya – baca sebagai : majlis perkahwinan) Nurul Aen dan Nizam pada 7/3/2015. Nurul Aen tu, anak kepada Induk Misah, anak Tok Cik/Tok Lang yang merupakan adik kepada almarhum Wan Noriah dan pak sedara kepada adik sebapa abah. Tok sah pening kepala sebab nanti aku akan simpan salasilah keluarga ni untuk rujukan generasi seterusnya.

Ketika aku dan keluarga sampai, kira-kira jam 9 lebih (malam) hari Jumaat, acara Terinai baru bermula. Apalah pulak Terinai tu? Menurut Mak Cik Hasimah, isteri Pak Cik Abid, yang juga pengurus kumpulan Warisan Bonda Sg Buloh ini, Terinai adalah kombinasi tari piring, tari lilin dan silat pengantin.
Jam tu, tari lilin baru nak bermula. Maka, aku tanyalah soalan bodoh. Apa beza tari piring dengan tari lilin. Tari piring guna piring sahaja tanpa lilin, bo…. (mak cik tak cakap, tapi aku rasa dia memang nak cakap macam tu..hahaha)

Kumpulan Warisan Bonda ni dah ditubuhkan 10 tahun yang lalu, di Kg Sungai Buloh, Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Ia terdiri daripada ahli kompang, pasukan tarian yang berjumlah hampir 40 orang termasuklah anak-anak mak cik dan pak cik.

So far, paling jauh mereka pernah buat show sampai ke Kedah. Menariknya ialah tentunya alat muzik yang mereka gunakanlah. Gong tembaga tu ialah gong warisan keturunan Mak Cik Hasimah yang 100%  ‘hand-made’. Macam mana nak tahu gong tu ‘hand-made’? Aku tak tahu sampai mak cik beritahu – permukaan gong tu tak rata sebab dikemaskan dengan jari. Tak percaya? Tak percaya dan nak percaya dan nak menempah pasukan mereka – boleh hubungi Hasimah Rahman(tekan link tu)

*omak dan abah : merujuk kepada emak dan bapa mentua aku, sebab aku gelar ‘parents’ aku :- mak dan ayah
* Pak Cik Abid a.k.a Encik Nasaruddin bin Ahmad ialah adik kandung omak no 8 dan Mak Cik Hasimah adalah isterinya. 

Saturday, 7 March 2015

Penggunaan Bahasa Melayu di Kalangan Pelajar Asing di Malaysia



PENGENALAN
Data enrolmen pelajar antarabangsa di IPTS dan IPTA pada tahun 2010-2011 menunjukkan bahawa berlaku peningkatan kemasukan pelajar asing yang merupakan agen penyebar maklumat mengenai Malaysia, bahasa budaya dan cara hidup komuniti ke seluruh dunia. Kehadiran mereka tidak dapat tidak memaksa mereka memahami bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi Malaysia sebagai wahana atau pemudahcara untuk memudahkan kehidupan seharian mereka.
Kekangan daripada Kamus Dewan Edisi Empat membawa maksud halangan atau had mahupun sekatan yang menidakkan sesuatu itu berlangsung seumpama aliran air sungai yang dibenteng daripada mengalir terus, sudah tentulah menimbulkan masalah di sebelah hilirnya.  Pelajar asing adalah merujuk kepada pelajar daripada luar Malaysia yang mendapatkan ilmu sama ada di IPTS atau IPTA di serata tanah air.

OBJEKTIF
Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti  sejauh mana kemahiran penggunaan kemahiran bertutur bahasa Melayu diaplikasikan oleh pelajar asing di Malayisa.  Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meninjau kekangan-kekangan yang wujud sama ada secara nyata atau tidak yang menjadikan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca di kalangan pelajar asing tidak berjaya.  Hasil daripada kajian ini dapat dijadikan kayu pengukur untuk mengenalpasti faktor-faktor perekat yang menggagalkan pelajar asing untuk menguasai kemahiran Bahasa Melayu iaitu membaca, mendengar dan bertutur di dalam Bahasa Melayu dengan baik.
Di antara faktor yang diperincikan di dalam kajian oleh Fa’izah, Zamri dan Mohamed Amin (2009)  ini ialah faktor dalaman iaitu kemanusiaan dan faktor luaran seperti persekitaran dan teknik pengajaran dan latihan.  Faktor dalaman adalah merujuk kepada keberadaan pelajar itu sendiri yang gagal menyerap ilmu tersebut dengan baik ataupun kegagalan pensyarah atau tenaga pengajar mengaplikasi teknik yang betul dalam menyampaikan pengajaran.  Faktor luaran pula boleh dikatakan ialah lingkungan masyarakat sekitar mereka yang tidak menggunakan kemahairan bahasa Melayu dengan betul sama ada menggunakan bahasa rancu ataupun menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.  Faktor lain, yang juga memberi kesan ialah teknik pengajaran dan latihan yang tidak konsisten atau tidak bersesuaian dengan mereka menjadikan mereka semakin sukar memahami apa yang ingin disampaikan.

DAPATAN
Dapatan daripada kajian ini telah menggariskan sebelas (11) penyebab utama yang menjadi kekangan utama bagi pelajar asing menguasai kemahiran bertutur bahasa Melayu.  Di bawah dua sebab di atas iaitu sebab dalaman dan sebab luaran disenaraikan pula sebab-sebab yang lebih terperinci yang menjadi punca masalah ini. Di antara yang disenaraikan oleh 10 orang responden yang dipilih secara teknik temu-bual itu ialah faktor dalaman seperti sikap, perasaan malu, tiada motivasi, masalah sebutan dan faktor luaran seperti, gangguan bahasa ibunda, budaya, umur tenaga pengajar, kekurangan latihan dan situasi persekitaran.
Pertama, berdasarkan reaksi responden  ialah masalah sikap pelajar asing itu sendiri yang lebih gemar berkumpul di dalam kelompok penutur jati bahasa ibunda mereka sendiri.  Tiada percampuran dengan pelajar tempatan yang berpengalaman bertutur di dalam bahasa Melayu di dalam kelas.  Padahal, percampuran secara sihat di antara pelajar asing dan pelajar tempatan sebenarnya memberi kesan simbiosis buat kedua-dua pihak.  Menurut responden, sikap negatif tersebut mendorong pula untuk mereka bereaksi pasif dan mempelajari bahasa Melayu hanya di dalam kelas dan tidak mempraktisnya di luar kelas.
Berdasarkan dapatan kajian tersebut didapati pelajar asing cenderung merasa malu atau lebih tepat lagi rendah diri dengan pelajar lain yang kelihatannya lebih hebat daripada mereka.  Apabila merasa rendah diri maka keyakinan diri akan menurun menyebabkan pelajar seterusnya hilang motivasi dan berusaha pula untuk mengelakkan diri daripada situasi tersebut. Ini yang dinyatakan oleh responden kajian sebagai pensyarah apabila ada ketikanya apabila tiba giliran mereka membuat pembentangan, mereka meninggalkan kelas.
Dapatan seterusnya memperlihatkan bahawa gangguan bahasa ibunda juga adalah salah satu faktor luaran di mana responden kajian memberitahu bahawa pelajar akan lebih menguasai bahasa Melayu sekiranya terdapat kesamaan di dalam aksara bahasa, mereka lebih mudah menguasainya.
Faktor ketiga yang dikaitkan dengan kegagalan pelajar asing menguasai kemahiran bertutur di dalam bahasa Melayu dengan baik ialah faktor luaran iaitu faktor budaya.  Responden seterusnya memberitahu bahawa pelajar dari Asia Barat lebih cenderung berbahasa Arab atau Inggeris berbanding dengan pelajar dari Asia Tengah seperti India atau Bangladesh. Menurut responden ini berlaku budaya di Asia Barat lebih menekankan pemerkasaan bahasa Arab itu sendiri di samping bahasa Inggeris dan bukan bahasa asing selainnya.
Halangan seterusnya yang dikenalpasti ialah faktor umur. Dapatan ini dikuatkan lagi oleh hujah Maimunah dan Faridah (2003) dalam Atiah dan Ramlah (2003) yang mengatakan salah satu ciri pelajar asing yang boleh menjayakan P&P bahasa adalah umur yang menentukan proses kematangan mereka berfikir.  Kebiasaannya ia berlaku bagi pelajar yang  berumur melebihi 20-an ke atas.  Tambah responden lagi, umur juga boleh merupakan penyebab pelajar sukar menyebutkan konsonan yang tiada di dalam bahasa mereka berikutan faktor sebelumnya iaitu cenderung menggunakan bahasa ibunda.
Berikutan dengan kecenderungan menggunakan bahasa ibunda, maka timbul pula masalah sebutan yang menjadi faktor kekangan yang seterusnya. Responden menegaskan masalah sebutan sangat ketara berlaku di kalangan pelajar asing China yang sukar mengucapkan bunyi  ‘r’ kerana bunyi itu wujud di dalam skala yang sangat kecil di dalam bahasa mereka. Ditambah lagi, skala yang kecil itu pula berbeza fiturnya daripada segi fonetik dengan fitur getaran dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan perbezaan lain seperti /d/ dengan /t/ atau /b/ dengan /p/ yang nyata terlihat di dalam sistem pengejaan kata-kata tertentu.
Beralih pula kepada faktor luaran yang menjadi kekangan kepada pelajar asing iaitu program latihan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa  peruntukan masa atau waktu P&P yang ditetapkan oleh sesuatu program menjadi ban penghalang kerana hanya satu semester dan merupakan masa yang sangat singkat.  Ini diakui sendiri oleh pelajar asing yang mengikuti kursus PHD yang mengatakan bahawa dia memerlukan dua atau tiga kursus sekurang-kurangnya untuk membantu beliau menguasai bahasa Melayu sedangkan satu semester hanya memperuntukkan 14 minggu pengajian sahaja.
Dengan itu dapat dikatakan bahawa faktor latihan yang singkat menjurus kepada sukarnya pelajar asing menguasai kemahiran berbahasa Melayu kerana terikat dengan komitmen pengajian yang ketat. Ditambah lagi mereka tidak mempunyai tempat atau persekitaran yang tepat untuk membuat latihan.  Persekitaran mereka dikelilingi oleh penutur bahasa ibunda ataupun penutur tempatan yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Jadi, tempat latihan mereka terhad hanya di dalam kelas sahaja.
Faktor akhir yang dikenalpasti mendorong kepada kesukaran pelajar asing menggunakan kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu ialah persekitaran mereka sendiri. Responden menyatakan bahawa, persekitaran yang tidak memihak kepada bahasa Melayu sedikit sebanyak melayukan proses latihan pelajar asing untuk bertutur di dalam bahasa Melayu sendiri.
Ia berlaku sama ada masyarakat sekitar menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan mereka ataupun menggunakan bahasa rancu seperti bahasa pasar, bahasa basahan, bahasa dialek yang sudah tentu tidak dapat difahami mereka. Ini dikuatkan lagi dengan kajian Siti Saniah (2012) yang mengatakan bahawa persekitaran pembelajaran tidak membantu para pelajar asing mempraktiskan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu di Malaysia.

KESIMPULAN
Sebagai itlakannya dapatlah dikumpulkan bukti bahawa kekangan yang dihadapi oleh pelajar asing untuk mempelajari atau mempraktiskan kemahiran bertutur di dalam bahasa melayu tidak akan berjaya selagi faktor-faktor dalaman seperti sikap, masalah sebutan, budaya, malu, gangguan bahasa ibunda dan masalah luaran seperti kaedah pengajaran, tenaga pengajar dan persekitaran tidak dicari solusinya.
Sehubungan dengan itu, kelemahan-kelemahan ini harus ditangani demi memastikan matlamat untuk membolehkan pelajar asing menguasai kemahiran asas berbahasa melayu demi memastikan kelangsungan hidup sosial mereka berjalan dengan lebih baik dan tidak menimbulkan masalah lain pula.

Friday, 6 March 2015

Kaitan Di Antara Perkembangan Moral dan Penaakulan Moral



Kaitan Antara Perkembangan Moral dan Penaakulan Moral
Perkembangan moral bersangkutan secara langsung dengan penaakulan moral apabila guru perlu mengaplikasikan kemahiran penaakulan moral yang tinggi untuk mengecam tahap penaakulan moral murid di sekolah. Dengan melakukan proses saringan ini, maka proses perkembangan moral secara positif dan tersusun murid-murid dapat dirangsang peringkat demi peringkat. Di antaranya ialah apabila guru mempunyai kemahiran empati dan bertoleransi dengan murid, kaedah pengajaran yang bersesuaian dapat direncana oleh guru bagi merangsang pemikiran rasional murid-muridnya.

Kajian pakar juga membuktikan wujudnya perkaitan di antara kedua-dua elemen ini. Pakar membahagikan peringkat perkembangan moral kepada beberapa tahap iaitu tahap prakonvensional, tahap konvensional dan poskonvensional. Ketiga-tiga peringkat ini masih mengekalkan keupayaan pengurusan penaakulan moral yang mencakupi  penggunaan minda yang waras dan rasional dalam membuat keputusan tidak kira sama ada untuk mematuhi seperti yang diterangkan di dalam peringkat 1 tahap prakonvensional iaitu orientasi hukuman dan kepatuhan mahupun untuk membela diri atau menjaga kepentingan diri seperti yang diterangkan pada tahap 3 di bawah peraturan orientasi prinsip etika sejagat.

Ini bertepatan dengan konsep penaakulan moral yang menekankan nilai-nilai kepatuhan kepada norma dan susun atur kehidupan bermasyarakat dari segenap aspek. Menurut pakar lagi, para guru perlu mengaplikasi teori perkembangan moral dalam proses taakulan moral murid yang terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat 1 adalah peringkat yang dinamakan orientasi hukuman dan kepatuhan. Guru harus menaakul sejauh mana perkembangan moral murid membantu mereka mematuhi sesuatu autoriti yang lebih berkuasa kerana takutkan kepada hukuman atau denda dan sejauh mana mereka menggunakan penaakulan moral untuk mendepani cabaran itu. Pada peringkat ini, perkembangan moral murid yang mementingkan diri sendiri atau dalam erti kata lain untuk menyelamatkan diri sendiri harus diperhatikan dan dipastikan sejajar dengan aspek penaakulan moral.

Pada peringkat kedua pula iaitu orientasi instrumental relativis, moral murid berkembang dengan keupayaan untuk mengambil berat dan mengambil tahu akan hal persekitaran dan orang lain tetapi dengan motif berkepentingan sendiri. Perkembangan moral murid memberitahu mereka perlu menjaga tepi kain orang lain agar mereka tidak ketinggalan di dalam mata pelajaran misalnya tanpa mempedulikan kawan-kawan lain. Peringkat penaakulan moral secara positif seperti bekerjasama, menghormati hak dan mendengar pendapat orang lain dengan lapang dada mulai boleh diterapkan pada peringkat ini.

Guru perlu mempunyai takah penaakulan moral yang tinggi bagi memberi motivasi dan menjadi idola sosial yang sesuai bagi menangani dilema perkembangan moral yang mungkin timbul tatkala proses di atas berlangsung. Ini dapat dilihat dengan keupayaan guru menangani dan membetulkan sekian banyak masalah berkaitan moral di dalam kelas dan mewujudkan suasana kondusif di dalam kelas yang memungkinkan murid lebih bermotivasi dan mampu mencapai tahap penaakulan moral yang positif dengan lebih cepat. Guru perlu mempunyai empati dan sentiasa berusaha mewujudkan situasi menang-menang di dalam kelas sebagai menunjukkan tahap penaakulan moral yang tinggi demi menyeimbangkan tahap perkembangan moral murid.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...