..yang bernama sahabat

Friday, 15 February 2013

Aku Anak Vokey 4


1990
“OKEY, awak semua tahu tak kenapa nama-nama awak dipanggil?”   Abang senior yang memperkenalkan dirinya sebagai Azli itu mengitari kelompok kami.  Ramai.  Rasanya hampir separuh daripada pelajar junior yang baru mendaftar semalam,  berada di dalam kelompok itu.  Termasuk aku.  Beberapa orang abang senior lain yang aku agak AJK Orientasi atau apapun namanya turut kelihatan di depan bangunan asrama putera tiga tingkat itu.  Dewan makan sudahpun kosong selepas waktu sarapan berakhir. 
           
Abang Azli warawiri umpama wakil rakyat menunggu keputusan pilihanraya.  Tetapi langkahnya teratur.  Tangannya diletakkan ke belakang, dada bidangnya dibuka dan bahu tegak kemas dengan wajah serius.  Abang senior lain juga begitu, bertali leher, sekali imbas seperti jurujual kepala gas dari rumah ke rumah!  Ada juga senior lain yang berbaju biru, pengawas kukira turut serta dalam perhimpunan ini. Tapi seketika, kemudian mereka bersaing-saing berjalan kaki menuju ke dewan sekolah.
           
Akal singkatku gagal mengail ingatan.  Semalam, selepas mendaftar, kami dilepas bebas.  Selepas bersalaman dengan emak, aku ditinggalkan emak dengan teksi sewa berwarna oren itu.  Tiada hujan air mata di pipi emak.  Hujan air mata emak sudah turun awal sebelum itu.  lama selepas aku menghulurkan slip keputusan SRP.

            Tiada kata, tiada bicara, emak membalasnya dengan air mata.  Senakal-nakal aku, dapat aku tafsir, air mata itu air mata kecewa.  Tradisi adik beradik di tanah setinggan ini aku teruskan.  Belajar ala kadar, bermain terlebih kadar.  Habis SRP, habis SPM menghambakan diri pada ringgit.  Gah menongkat hidung dengan gaji sebesar tahi hidung!
           
“Kalau kau sayangkan mak, kau buatlah sesuatu.  Jangan kau teruskan hidup kau macam anak orang lain kat sini.” 

Emak tidak menyebut nama sesiapa.  Tetapi gosip dan khabar angin adalah makanan kejiranan kami.  Dalam sepantas kejipan mata, boleh ditangkap cerita anak siapa menagih dadah, anak siapa berkahwin dulu menikah kemudian, anak siapa di…dan macam-macam lagi.
            *********     *************     *************
“AWAK!  yang paling handsome tu.  Yang rambut tegak tu…siapa nama awak?”  Telunjuk senior berbibir merah itu lurus ke arahku.
           
“Booooy…”  belum sempat aku memperkenalkan diri, suara-suara sekitarku tolong menyambutkan.
           
“Siapa?”
           
“Nazri, bang.  Nak panggil Ayie pun boleh.  Naz pun boleh.  Panggil Boy lagi boleh…”  aku tersengih-sengih. 

Masih belum menangkap niat senior yang tertulis Azli ENK di dadanya itu.  ketawa kecil di sekitar meraikan kata-kataku.  Masing-masing sudah kegelisahan dikelompokkan begitu.  Dengung kumbang jantan berbilang frekuensi kedengaran. 
           
“Nazri?”
           
“awak daripada kursus mana?”  dia melaung dari atas foyer.  Entah bila dia memanjat tangga, tiba-tiba sudah berada di celahan pokok bunga perkarangan foyer itu. 
Aku membelek tag kertas di dada.  Gantangan biji mata menyuluh ke arah aku.

            “ATF, bang!”

            “Yong…anak buah kau!  Azli menjerit ke satu arah.  Semua mata bertumpu ke arah seorang senior lelaki yang berbadan tegap berwajah garang.  Berdiri di belakang kami berhampiran simpang ke jalan besar.  Gulp.

            “Siren yang nyaring berbunyi setiap pagi tu, tujuannya mengejutkan awak semua bangun.  Bangun solat subuh, bangun pergi sekolah ya, saudara Nazri.”  Sekali lagi namaku disebut.  Aku menggaru-garu belakang telinga dengan senyum senget.

            “Bukan bangun kencing lepas tu tidur balik.”  Lambakan ketawa kedengaran terpecah-pecah.  Daripada kelompok aku dan kelompok satu lagi.  Bila aku jeling, kebanyakan yang ketawa itu adalah rakan-rakan dormitari aku.  Matahari sudah tersenyum menampakkan sinarnya. 

            “Di sekolah ni, solat subuh disempurnakan secara berjemaah.  Itu suraunya.” Azli menunjukkan bangunan surau yang tidak kelihatan sepenuhnya oleh bentuk bukit yang sedikit menganjur.  Betul-betul di depan dipisahkan oleh jalan besar.
 
            “Mulai esok, kalau awak buat macam tadi lagi, Nazri…saya akan suruh awak azan subuh sepanjang seminggu ni.  Awak nak?”  aku tersengih.  Apa yang dah aku buat?  aku masih tertanya-tanya. 

            Rasanya aku bermimpikan hon penjual ais krim yang tidak berhenti-henti berbunyi di pinggir telinga.  Aku terjaga.  Melepaskan hajat dan kembali ke katil.  Aku terperasan ada cahaya, sangkaku matahari.  Iyalah, takkanlah orang jual ais krim tengah-tengah malam bolong!  Aku terdengar-dengar namaku dipanggil, aku marahkan kerana aku memang tak makan ais krim di tengah malam.  Rosak gigi, kata emak. 

            “Baik.  Yang kelompok ini, saya nak bagi hadiah.  Hadiah fasal seronok sangat tidur, tak ingat dunia.  Siren dah berbunyi, dah bergegar seluruh alam maya ni, masih tak sedar.  Tak solat subuh.  Sekarang semuanya mencangkung!”  suara senior Azli semakin tegas dan pejal. 

            ala’, ‘a’, ‘ish’ semuanya bergema di dalam kelompok di sebelah kiri itu.  semuanya menurunkan jasad perlahan-lahan. 

            “Cepat!  Jangan ingat saya main-main.  Ini asrama.  Bukan tempat nak bermanja-manja!”  perintah senior Azli itu, diperkuatkan lagi dengan perintah daripada konco-konco bawahannya. 

Maka mencangkunglah kami semua dalam debaran.  Walaupun hati tertanya-tanya, kalau setakat denda mencangkung sampai ke petangpun aku sanggup!  Dia nak berceramah, berpidato di depan tu, buatlah.  Setakat, lenguh betis, kejang peha, bukan masalah besar.  Dibawa berbaring, akan baiklah ia.
           
“Sekarang, saya nak awak semua jalan itik dari sini ke dewan besar!” hah?  jalan itik!  Hampeh punya senior! 

            “Pap..pap…pap…kuak…kuak…kwek…kwek…”  kelompok yang satu lagi tanpa disuruh mengalunkan lagu-lagu latar menyakitkan. 

Ketawa bertaburan di sana sini.  Ada yang menghulurkan wajah simpati pura-pura menutup mulut.  Ada juga dari kelompok kanan itu sudah tertunduk-tunduk menekan perut.  Ada yang tidak segan-silu ketawa terbahak-bahak.

kredit : sukacuka.blogspot.com
            “Tak acilah macam ni, bang…”  suaraku tenggelam dalam suara protes yang lain.
           
“Cepat! Jalan.  dalam barisan.  Beratur…”  satu suara garau datang dari arah tepi bangunan asrama blok D.  Seorang guru lelaki berbadan gempal berkaca mata dengan misai membengis memejalkan kata. 
           
Berdedai-dedailah kami berjalan itik diiringi bunyi-bunyian ‘pancaragam’ di belakang.  Segala sumpah maki berbakul-bakul bertukar-tukar di antara kami. 
           
“Anak itik tok wi mandi dalam kolam…pap..pap…kwek…kwek.  Cikgu, bisnes itik pulak ke…”  tanya beberapa pelajar berbaju t hijau yang berebutan keluar dari bengkel masing-masing.  Melihat pertunjukan ‘itik pergi sekolah’ yang tak disangka-sangka. 
“Anaklah ayam…anak ayam…turun sepuluh…”

“Apa pulak anak ayam…anak itiklah…”  Ketawa berderai lagi.  Bagaikan seluruh bumi yang menakung persekitaran sekolah ini sedang mengetawakan kami. 
           
“Aku kalau jumpa senior ni kat luar, memang aku tubi-tubi dia!”  sumpah Ameer di sebelahku. 
Orangnya tinggi lampai dan tentulah sukar mencangkung sambil berjalan itik.  Terpaksalah dia mengangkat punggungnya dan meninggikan badannya. Dalam marah, aku tergelak.  Ada juga yang cuba mengambil kesempatan berdiri.  Tetapi, pengawal-pengawal itik di kiri dan kanan itu sudah bersiap sedia untuk bertempik. 
           
“Macam-macam gaya itik ada ya.  Itik panjang.  Itik pendek.  Itik senget pun ada!”  sela satu suara di belakangku.  Sedikit tinggi.  Aku menoleh.  Dia sekadar menjeling tajam.  Siap kau! 
           
Sesampai di dewan, kami ‘direhatkan’ di perkarangan dewan tetapi tidak dibenarkan berdiri.  Baju putih yang baru dibeli emak untuk hari pertama sekolah ini basah lencun dek peluh.  Pinggangku terasa dipatah-patahkan.  Kakiku terasa tidak boleh diluruskan lagi.  Betis terasa membengkak tiga kali ganda.  Lidahku terus mengalunkan maki hamun sebagai zikir. 

            “Kalau esok, awak semua buat lagi.  Saya nak suruh jalan monyet pulak!”  ugut senior Azli.  Terasa mahu kutinju-tinju mukanya.  Apabila kami masuk ke dalam dewan, ketawa-ketawa kecil dari kelompok pelajar perempuan di sebelah kanan dewan kedengaran.  Sudah pecah berita tentang ‘itik pergi sekolah’
 Aku mencari-cari mata si dia...tapi kesakitan di belakang peha lebih membius daripada rinduku pada mata itu....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...