..yang bernama sahabat

Tuesday, 19 February 2013

Pawaka Bab 7





“HA?” Puan Zaiton  yang sudah memutih uban di kepalanya bertanya lagi. Nadra menutup mulut menahan tawa.  Puan Rohana dan Encik Hashimpun begitu. Damia sudah awal-awal lagi menghidupkan enjin sebaik sahaja barang-barang dari dalam bonet dipindah masuk ke dalam rumah Nenek.

“Nadra… anak angkat mak!”  Danish meninggikan suara.

Walaupun mulutnya diletakkan di pinggir telinga Puan Zaiton.  Puan Zaiton mengangguk-angguk sebelum meludahkan cairan merah ke hujung kakinya. Bersempelat sisa sirih pinang  itu di merata-mara tempat di halaman.  Biarpun dia mempunyai satu tin susu khas untuk menabung sisa yang bercampur air liurnya itu.

            Nenekpun ketawa.  Meski pendek, bagai meraikan kepulangan mereka. Encik Hashim satu-satunya anak lelaki Puan Zaiton.  Lima yang lain, semuanya perempuan. Cuma apabila cuti sekolah ataupun musim perayaan, rumah tua itu bertambah seri.  Anak cucu bergilir ganti datang dan pergi.


“Ayah tak ada, nenek.  Mak aja yang tinggal…”  Nadra menjawab jujur apabila ditanya Puan Zaiton tentang dirinya.  Tetapi tidak jujur mengenai ibunya.  Kerana dia sendiri tidak tahu siapa dan di mana ibunya.

“Kalau dah baligh, tak dipanggil anak yatim lagi. Rasulullullah sangat memuliakan anak yatim.  *Sabdanya, kedudukan baginda dengan pengurus anak yatim di syurga esok macam ni….” Puan Zaiton merapatkan dua jarinya.  Lantas terus melagukan surah Ad-Dhuha dengan Tarannum Baiyati. Selesai melagukan ayat yang ke 11 Nenek terbatuk-batuk.

“Dahlah tu,  nek…” Danish menyapu punggung.  Motosikal yang masih kelihatan baru tersadai di depan rumah.  Melihat pintu bilik yang tertutup, dia mengagak Dhani mesti sedang tidur.

“Dalam Al Quran banyak Allah ingatkan supaya menjaga kebajikan anak-anak yatim.  Sebab anak-anak itu amanah.  Nak-nak pula anak yatim.”  Puan Zaiton kelihatan segar apabila memulakan tazkirahnya.

 Puan Rohana sudahpun meninggalkan mereka.  Memulakan tugasannya di dapur. Encik Hashim pula menyarung selipar sambil terus menuju ke belakang dapur.  Tinggal Nadra yang masih bersila menghadap wanita yang merasa jerit perih hidup di zaman Jepun itu.  Nadra terus membisu.  Tidak tahu mana hendak dicelah.  Tetapi setiap patah kata Puan Zaiton itu djawab dengan senyum dan anggukan.

            “Mak kamu tahu tak kamu datang ke mari ni?”  Puan Zaiton terus menyoal siasat.

Nadra menggeleng.  Respon tubuh adalah lebih baik daripada mengeluarkan anak tekak menjerit-jerit.  Silap haribulan, dikata orang kurang ajar di depan orang tua.          Nadra menoleh apabila bunyi hon motosikal memantak-mantak telinganya.  Danish sudahpun bersedia menukar gear dan menggamitnya.  Berlari-lari dia mendapatkannya dan terus membonceng.
           
Danish menekan pedal minyak dan motosikal itu mengeluarkan asap serta bunyi yang membingitkan.  Sekejap sahaja, ia hilang di balik rimbunan hutan kecil sepanjang jalan menuju ke rumah Puan Zaiton itu.
           
“Anak siapa yang kau angkat ni Ana?”  Puan Zaiton masih tidak berpuas hati dengan soal siasat tadi.  Dia berjalan lambat-lambat ke dalam rumah.  Menempatkan diri di kusyen leper di tepi pintu masuk bahagian dapur.

            “Kawan sekolah Danish, mak.”
            “Mana maknya?”

            “Saya tak tahu, mak.”

            “Hah?  Macam mana kau boleh tak tahu?  Danish tu jantan.  Budak tu perempuan. Kalau jadi apa-apa hal, siapa nak menjawab?  Kau ni tahu ke tak tahu hukum-hakam agama?”  Jerkah ibu mertuanya.

Puan Rohana menggaru-garu kepala.  Apa yang dilangkahnya sebelum keluar rumah tadi. agaknya.    Atau lupa membaca doa musafir.

            “Tahu, mak.”
           
“Kalau tahu, apa hukumnya lelaki dan perempuan bukan mahram duduk serumah?  Apa pulak hukumnya kamu berdua sebagai mak ayahnya?”
           
“Berdosa.”
           
“Dahlah Ana oi..!  Janganlah buat macam ni.  Anak-anak ni amanah Allah.  Kalau terpesong, kita sebagai orang tuanya wajib tegur.  Jangan pandang.  Jangan biar.  Kau tak takut ke baca dalam surat khabar?  Hah?  Budak-budak perempuan ni buang anak macam buang modes.”  Puan Rohana meleret senyum.

Geli hati mendengar perkataan terakhir itu.  Perkataan paling popular di kalangan orang-orang lama sebagai ganti tuala wanita. Perkataan yang merujuk kepada jenama yang popular di awal tahun 70an dulu.
           
“Mereka bukannya buat apa-apapun, mak.  Saya sentiasa ada kat rumah.”  Puan Rohana memberi jaminan sambang.  

Dia sendiri tidak menyakini jaminan itu.  Di matanya dia melihat perlakuan itu sebagai sumbang tetapi lidahnya kelu untuk menegur.
           
“Kalau syaitan tu terpogok terpacak depan kau bolehlah kau halau dengan penyapu. Ni, dia ada kat mana-mana.  Ghaib pulak tu.  Dalam darah dalam badanpun dia boleh masuk… tak lut kalau kau setakat tengok aja…”
           
Nenek mencapai bakul sirihnya semula.  Sekotak bungkusan berwarna emas yang belum dibuka bungkusnya dicapai.  Dirobekkan bungkus itu. Dikeluarkan sebatang rokok yang syarikatnya beribu pejabat di Petaling Jaya itu.
           
“Dhani mana mak?”  Puan Rohana cuba menukar tajuk.

Walaupun tahu perbincangan tadi belum sampai ke peringkat hujah penggulungan.  Pintu bilik terdengar berkeriut setelah Puan Zaiton menggunakan pembesar suara maksimanya.

            “Apa nek?  Petang nanti saya pergilah beli rokok nenek tu…”  Dhani bersuara sambil menggosok-gosok mata.   Dia tertegun melihat susuk Puan Rohana mengisi ruang dapur.  Dia mendekati dan menyalam hormat wajah yang dirinduinya itu.

            “Abah kau kat belakang tu…”  Puan Rohana memberitahu apabila Dhani bertanyakan Encik Hashim.  Dhani menghampiri pintu dapur sambil menguap-nguap. Tetapi terhenti melihat buah hatinya tiada di tempatnya.

            “Nenek, nampak tak girlfriend saya?”  Dia berpusing.  Dhani menggosok-gosok dadanya yang telanjang.

            “Dalam bilik dekat tepi dinding tulah.  Mana lagi nenek nak letak.”  Nenek tersandar menghembus asap rokok.  Bagaikan satu kepuasan melihat kepulan asap itu terbang pergi.
            “Apa yang dekat tepi dinding?”

            “Minyak angin.”  Ketawa Puan Rohana berderai.  Dhani mengusut masaikan rambutnya.  Bengang.
            “Bukan minyak angin.  Motorlah.  Motosikal saya mana?”  Dhani menggengam kedua-dua belah tangannya.   Menunjukkan aksi membawa motor.
           
“Danish bawa pusing-pusing kampung.”  Puan Rohana menjawab bagi pihak nenek.  Untuk mengelakkan jawapan yang bukan-bukan keluar lagi.

            “Aduh, habis minyak karang, siapa nak tuang balik?”  Dhani merungut sambil menyarung selipar.

Mendapatkan Encik Hashim yang sedang membelek pokok langsat di belakang rumah.  Sebuah Proton Persona menjalar masuk ke halaman luas di depan rumah Nenek itu.
            “Wah, orang kaya sudah tukar keretalah.  Bolehlah aku pinjam,” selanya sebaik sahaja Damia terjengul keluar dari kereta.
           
“Tak ada maknanya.  Calar balar kereta aku kau ada duit kah nak baiki?”  Damia membalas kasar sambil meletakkan barang-barang yang dibelinya ke atas simen luar di bahagian tepi dapur itu.
           
“Sombong nak mampus!”  Kutuk Dhani dan terus ke belakang rumah.

            “Tak boleh ke kau orang dua beradik ni kalau bertemu bersalam-salaman. Bermaaf-maafan?  Kenapa asyik nak bercekau?  Aku yang pekak nipun sakit telinga tau!”   Lontaran kata-kata nenek pula memetir di telinga Damia.  Damia menarik muka empat belas.

            “Bukannya hari raya, nak bermaafan.”  Damia membalas kasar.
            “Kalau mati salah seorang daripada kau orang berdua malam ni, tersangkut roh kau tahu tak?  Tak naik ke langit pasal tak bermaafan.”

            “Alah, nenek ni, cakaplah pasal benda lain.  Cakap pasal mati pula. Macam tak suka aja orang balik ni…”   Damia menutur kata rajuk.  Tetapi lantunan kata tetap kasar dan tinggi.

            “Mia, dahlah.  Tolong mak masak nasi ni,” arah Puan Rohana.  Tidak mahu pertemuan yang tidak berlaku selalu itu dicemari dengan rasa hati yang memijar.

            “Mak ni, orang penatlah.  Bukan susah sangat masak nasi. Periuk nasi elektrik tu  kan ada.”  Puan Rohana menggeleng-geleng mendengarnya.

Anak daranya yang seorang ini memang terkenal dengan vitamin Mim nya yang sudah mencecah tahap ‘dewa’.  Sangkanya, perangai buruk itu biarlah setakat di rumah sahaja.  Tidak perlu meleret-leret sehingga ke tempat lain.  Tetapi sangkaannya meleset.
           
“Hah!  Eloklah tu.  Belum habis lagi mak tu bercakap, dah menjawab.  Apa nak jadi dengan kau ni Damia?”  Puan Zaiton bersuara pula.  Damia Farhana dengan Zaiton Abdullah memang tidak sebulu semenjak dulu.

Padahal, semasa dilahirkan, dia dilahirkan di kampung itu. Neneknya yang bersengkang mata menjaga anak sulung Puan Rohana itu.  Adik-adik Damia tidak pula begitu.  Malahan baik Dhani, Diney dan Danish, semuanya sangat manja dengan Puan Zaiton.  Biarpun dia sudahpun menambah profilnya dengan kehadiran tiga orang cicit. Waris daripada anak-anak saudaranya.

            Damia mematikan diri di depan televisyen.  Duduk bersandar di pangkal tiang seri  Alat kawalan jauh di tangannya ditekan-tekan sambil merungut-rungut.  Puan Zaiton masih memerhati dengan ekor matanya.  Sedikit terbakar hatinya melihat kelakuan biadap cucu perempuannya itu.
            Perhatian mereka teralih kepada gelak ketawa Danish dan Nadra yang baru sahaja memarkirkan motosikal di bawah pokok rambutan di tepi halaman.

            “Dari mana ni?  Merayap aja.  Tak reti nak duduk rumah tolong mak?”  Damia melampias amarah sebaik sahaja pasangan itu melangkah naik ke atas rumah.

Nadra yang baru menyinsing bahagian bawah baju kurungnya untuk melabuhkan punggung, membatalkan hasratnya.  Pukul anak sindir menantu.  Danish memekakkan telinga, terus duduk di sebelah Nenek yang bersambung puntung semenjak tadi.
           
“Dahlah tu nek.  Tadi Danish dengar nenek batuk-batuk.  Merokok ni tak baik untuk kesihatan, nenek.”  Danish berlagak memberi nasihat sebelum dia mencapai sebatang rokok.  Nadra yang tegak berdiri di sebelah Puan Rohana di dapur mencerlung pandang.  Tidak diendahkan oleh Danish.

            “Pandailah kau…kalau iya, buat apa kaupun merokok sama?”
           
“Danish muda lagi. Paru-paru merah lagi.”  Nenek mengetuk kepala Danish dengan bucu bakul kecil berwarna biru itu.  

Bertaburan daun sirih dan bekas kapur serta gambir jatuh.  Danish yang tidak sempat mengelak menggosok-gosok kepalanya sambil ketawa.
           
“Woi! Budak sekolah mana boleh merokok.  Nanti cikgu rotan.”  Dhani menarik bakul kecil puan zaiton itu.  Dicapainya sehelai daun sirih dan dikutilnya pangkal sirih tersebut sebelum menyapu kapur dan meletakkan serbuk gambir.  Dilipat dan dikunyahnya laju-laju.

            ‘Itu masa kau sekolah.  Zaman dinasour,” kutuk Danish dan ketawa lagi.  Nadra menggerakkan bibir menunjukkan muka ngeri melihat Dhani mengunyah sirih dengan selamba.  Kunyahan Dhani terhenti seketika melihat gadis berambut lurus itu.  Mereka berbalas senyum.

            “Kau dah pandai makan sirih ya.”  Danish bersuara dalam kekaguman.

            “cara yang praktikal menggosok gigi.  Pagi-pagi kat sini sejuk.  Nak gosok gigipun sejuknya sampai ke tulang rahang.”

            “Awak tu yang boyak!”  Nenek memotong kata sambil ketawa.  Dhani menarik muka. Tetapi tersenyum kembali apabila pandangannya bertembung dengan pandangan Nadra.

            “Nenek, cantik tak anak angkat mak tu?”  Tanya Dhani tiba-tiba apabila sudah pasti kelibat Nadra tiada di ruang dapur.

Damia sudah terlena dengan alat kawalan jauh di atas perutnya.  Fungsi penonton dan yang ditonton sudah bertukar.  Siri American Pickers pula sedang menontonnya di ruang tamu.   Danish tersedak air liur mendengar soalan berani Dhani itu.
           
“Eh! Setahu Nenek, itu girlfriend Danish?”  Dhani ketawa mendengar sebutan girlfiriend Nenek di dalam dialek tempatan itu.
           
“Dia kecil lagi. Sekolahpun tak habis lagi.  Mana boleh ada girlfriend.  Tak boleh fokus nanti.”   Semakin galak dia menyakat melihat muka Danish yang memerah.
           
“Dah dia gatal nak berbini.  Kau belum gatal.”  Nenek mematah kata Dhani. Disambut ketawa Dhani yang berlambakan.
           
“Sekarang dah gatal.”   Dhani bangun meninggalkan Nenek dan Danish.

Tidak mahu menyiram minyak pada api yang sedang marak.  Meski niatnya tadi cuma bergurau.  Di matanya, dia melihat Nadra seperti Diney.  Sudah lama Diney tidak memunculkan diri di depan matanya.  Terasa rindu menjentik pada adiknya yang seorang itu.   Sudahlah jauh membawa diri di bumi penjajah.  Tetap terpisah biarpun mereka hidup di dalam lautan kecanggihan teknologi.

            Hanya sekali Diney mengirimkan berita gembiranya bersama teman-teman seperjuangan di tanah Lambeth.  Dia sendiri tidak pasti Diney sudah pulang ke tanah air atau belum.  Seingatnya, Diney dihantar menyambung pelajaran di Universiti Lim Kok Wing kampus London.

Danish juga bangun membawa hati yang sedikt tergarit.   Cuma sedikit.  Dia tidak mahu mengambil serius benar kerana tahu Dhani memang suka bergurau.  Akibat tabiat suka berguraunya itu, Damia memendam rasa. Sentiasa ada sengketa yang menjengah hati.  Menjadikan amarah bagaikan peluru penabur yang mahu dihamburkan pada setiap sudut tubuh Dhani.
           
            Dilihatnya Nadra sedang bersendirian di bawah pondok di hujung halaman.  Betul-betul menghadap ke arah jalan besar.  Santai menghayun kaki sambil matanya memerhatikan ayam-ayam nenek yang terkurung di dalam reban di sebelah pondok itu.

            “Awak dah pandai merokok ya?”   Nadra menyerbu dengan soalan yang disimpan sekian lama sebaik sahaja melihat kehadiran Danish.

            “Kenapa?  Awak igat saya bukan orang kah?”  Danish tergelak kecil mendengar ayat yang baginya menggambarkan kenaifan gadis itu.  Nadra membisu.  Malas melanjutkan pertakian yang tidak memberi kemenangan kepada dirinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...