..yang bernama sahabat

Friday, 22 February 2013

Ikut Kata Hati : Budak U2 - Back To Campus oleh Khairy Tajuddin

khairytajuddin@blogspot.com


Alhamdulillah, Budak U2 :Back To Campus buah tangan Khairy Tajuddin selesai saya khatamkan pada 21/2/2013

Keseluruhannya, ia lebih baik daripada naskhah penulis terdahulu.  Plotnya berjalan kemas bertepatan dengan genre novel ini sendiri yang ditujukan khusus untuk para remaja awal dan remaja pertengahan.... (tak ketinggalan remaja kertu dan remaja purba)

Sesuatu yang menarik, penulis menggunakan laras bahasa tinggi.  Laras bahasa sama dalam novel Dalam Mihrab Cinta, HabiburRahman.  Masih lagi sesuatu yang baru, dalam kebangkitan novel-novel remaja menggunakan bahasa mudah dan ringkas.  Sehinggakan di dalam dialog/cakapan juga, laras bahasa sedemikian juga digunakan.

  Agak janggal awalnya, tapi pendapat peribadi saya pembaca harus menyesuaikan diri dengan bahan bacaan.  Terpulang kepada mereka untuk membacanya sebagai bahasa pasar dengan menukarkan ‘kah’ kepada ‘ke’, ‘hendak’ kepada ‘nak’.  Tidak sukar kerana sebenarnya kemahuan datang dari hati.

Watak yang paling memberi impak bagi saya adalah watak Daim.  Biarpun watak antagonis ini digambarkan sebagai tahap ‘dewa kronik’, kehadirannya sentiasa dinantikan dan memberi nilai ‘wow’ dalam karya ini.

Siapa kata protagonis memang hero dalam karya?  Sesiapa boleh menjadi hero di tangan seorang pengarang yang baik seperti yang berlaku di dalam naskhah ini. 

Watak Nuar berlangsung seadanya, sebagai watak putih yang mengimbangi watak Hakimi.  Ketiga-tiga watak ini adalah simbiosis takah-takah nafsu manusia.  Sesuatu yang sinonim dengan kehidupan manusia normal.

Faktor penarik minat pembaca dalam memahami tips-tips yang diperturunkan oleh penulis dikuatkan lagi dengan ilustrasi oleh teman ilustrator yang sama, Faris Mohd Hazmin.

Banyak tips-tips menarik seperti mencari kekuatan dalaman (dalam nasihat-nasihat Nuar) memilih motosikal, memilih komputer riba, mencari pendapatan sampingan, tips motivasi juga panduan menghadapi peperiksaan yang bukan sahaja berguna untuk remaja yang bakal menghadapi peperiksaan.  

Berguna juga untuk mak-mak remaja dalam merancang jadual pembelajaran bagi anak-anak yang bakal mendepani peperiksaan besar.


Sebagai mak remaja aka remaja purba, saya terhibur dengan novel ini.  Bolehlah saya berikan ***** bintang. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...