..yang bernama sahabat

Friday, 1 February 2013

Tip Menulis Ala Koboi 6

Assalamualaikum,
Jumpa lagi.  Hari ini kita berbicara mengenai watak dan perwatakan.

Kriteria yang terpenting.  sebab tak pernah lagi che' baca karya kreatif yang tak berwatak.  tak semestinya manusia.  kadang-kadang haiwan dipersonifikasi dan diberikan 'perasaan' seperti manusia.


Che’ Mon teruskan dengan membicarakan mengenai watak dan perwatakan. (elemen seterusnya kalau ikut buku sastera..
Dr Othman Puteh (1992:29) mendefinisikan watak adalah pelaku, nama atau dipermudahkan dengan persoalan siapa.  Individu ciptaan pengarang yang akan bergerak di dalam karya melalui plot dan dibantu oleh anyaman gaya bahasa beserta konflik-konfliknya.
Umumnya, dalam kebanyakan karya, penulis cenderung menggunakan watak manusia.  Tetapi ada juga watak-watak  bukan manusia yang dipersonifikasikan.  Karya-karya berbentuk satira, simbolik dan alegoris kebiasaannya berbentuk begitu.  Contoh mudah ialah Toy Story atau Transformers.

Che’ perturunkan beberapa istilah yang seorang penulis patut tahu atau pernah dengar setidak-tidaknya.

Protagonis

Watak utama/tumpuan  yang menggerakkan cerita.  Ia dikesan dengan kesungguhan penglibatannya yang dilukiskan oleh penulis.  Mungkin juga jarang muncul tetapi apabila muncul ia meninggalkan kesan.   Kadang-kadang kedudukan watak utama boleh dikesan dengan memerhatikan hubungannya dengan watak lain.  (sentiasa berkaitan dengan banyak watak lain)

Antagonis

Watak utama berlawanan dengan protagonis.  Fungsinya menjadikan karya lebih menarik dengan konflik-konflik yang ditimbulkan.

Watak sampingan

Penyokong watak utama sama ada antagonis ataupun protagonis.  Sangat penting untuk mengukuhkan watak utama dan mewarna cerita.
Ada juga pengarang bijak yang mempelbagaikan permainan watak dengan menaikkan watak sampingan dan menenggelamkan watak utama atau menyelang-nyelikan keutamaan watak.

Daripada ketiga-tiga pecahan tadi – subjek-subjek di bawah pula perlu ada untuk menguatkan watak

Watak bundar (bulat)

Watak 3 dimensi yang kompleks.  Hampir menyerupai manusia dengan sisi baik dan buruk.  Ia dipaparkan beransur-ansur sepanjang cerita.  Dr Othman Puteh (1992:31) mengungkapkan  “untuk menampilkan watak yang demikian, haruslah menyerlahkan konsistensi dalam perwatakan bagi memungkinkan munculnya keruwetan yang padu.”

Watak pipih (datar)

Watak bersifat statik  – kebolehubahannya terlalu tipis.   Ia digambarkan daripada satu aspek atau satu tanggungjawab tertentu sahaja.  Contoh watak ini adalah watak stereotaip ibu tiri atau ibu mertua.  Watak ini juga terdapat dalam cerita-cerita didaktis yang tidak memerlukan perkembangan watak. 

Melukis watak:

Hah!  Di sinilah dapat dibezakan manusia biasa dengan penulis.  Penulis atau pengarang boleh mengamati, melukis dan menyatakan berkenaan perwatakan manusia yang dilihatnya.  Malah kadang-kadang kerana keterbiasaan itu, ada penulis malahan boleh membaca gerak hati seseorang melalui perawakan ataupun tulisannya di facebook/twitter/blog dan yang sewaktu dengannya.  Jangan main-main.
Contoh:
Senaraikan watak-watak dan perwatakan yang boleh anda ekstrak daripada mereka-mereka yang tak berdosa ini... (siapa ni, che’ pun tak tahu)

Lalu berbalik kepada pemahaman manusia bernama penulis terhadap ketajaman pancaindera keenam mereka itu.  Juga tidak pula kepada teknik penulisan yang digunakan; yang telah diperolehi melalui pembacaan dan pengalaman.

Anda dinasihatkan tidak melukiskan watak manusia sebenar yang anda tahu secara terperinci.  Katakanlah anda minat gila dengan Aaron Aziz,  anda boleh menzahirkan mengenai apa sahaja mengenainya.  Hidungnya, matanya, mukanya, tapi setidak-tidaknya tinggalkanlah sedikit ruang untuk watak anda bebas menjadi dirinya dan bukannya Aaron Aziz.   Janganlah namanya pun anda letakkan Aaron Aziz.  Ini untuk mengelakkan implikasi undang-undang seandainya sesuatu yang berkaitannya berlaku.  Contohnya saman fitnah atau saman malu.

Ada baiknya kita mencipta sendiri watak-watak tersebut, diekstrak daripada beberapa orang manusia dan diberikan perangai, latar dan fizikal mengikut acuan kita.
Berat ke topik ni...
Kita rehat dulu....

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...