“Awak
nak ke mana?” Bas yang seperti sardin
itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perhentian bas itu.
Danish
bertanya dengan suara yang sedikit tinggi kerana tahu Nadra tidak berhaluan
ketika ini. Diheretnya gadis berkurung
batik itu berlindung daripada terik matahari yang membahang. Danish bercekak pinggang.
Sambil
nafas turun naik menanggung mengah mengejar Nadra tadi. Masih segak memakai t-shirt berbelang dengan
kolar yang dinaikkan. Rambutnya
dibiarkan sedikit kusut tetapi masih segak ala KwangMin. Beg pakaian berwarna hitam itu diletakkan di
atas bangku perhentian bas itu.
“Nak
baliklah.”
“Awak
nak balik mana?” Nadra mengundur sebaik sahaja mendengar soalan Danish itu.
Sememangnya destinasinya masih kabur. Dia ingin terus ke Kuala Lumpur .
Ingin terus memulakan hidup baru di sana .
Tetapi, sebenarnya, dia hanya meredah menurut kata hati. Tanpa perancangan, dia hanya akan
bergelandangan. Duduk di atas kerusi
marmar yang pudar warna. Perhentian bas
itu masih belum sunyi dengan riuh rendah pelajar-pelajar yang datang dan pergi.
“Mari,
kita balik sama-sama.” Danish memutuskan
untuk mengelak sengketa.
Dia
tahu Nadra tidak akan ada jawapan untuk semua soalan yang ditembaknya sebentar
tadi. Beg pakaian Nadra dicapai semula
tanpa bicara. Nadra membuntuti Danish
sehingga ke perkarangan asrama putera.
Beberapa orang penghuni asrama yang sedang duduk-duduk di depan tangga
asrama itu tersenyum padanya.
“Kak
Mia, Danish nak ajak Nadra balik rumah kita.”
Danish membuat keputusan sebaik sahaja melabuhkan punggung di tempat
duduk penumpang.
Nadra
teragak-agak untuk menghulurkan tangan bersalaman apabila melihat raut wajah
Damia yang mencuka. Danish mempunyai empat orang adik beradik. Damia adalah kakaknya yang sulung. Itu sahaja
yang Nadra tahu. Mereka terus dibungkus
sepi di sepanjang perjalanan. Hanya
lagu-lagu Inggeris malar segar di stesen Lite FM sahaja yang mengisi kebosanan
perjalanan mereka menuju ke Kuala
Lumpur .
“Berapa lama dia nak duduk kat rumah kita
tu?” Damia bertanya sebaik sahaja Danish
yang berjalan leweh ke arah kereta membuka pintu kereta.
“Tak
tahu lagilah, kak. Sampai dia dapat
kerja dan rumah lain…” Nadra masih belum keluar dari tandas di stesen minyak
itu. Damia berhenti sebentar untuk
mengisi minyak dan membasahkan tekak.
“Kau
ingat sikit. Rumah tu bukan hotel!”
Damia memberi amaran dan terus menyodor muncung pam minyak itu ke
tempatnya. Damia yang tinggi lampai itu
bergerak cepat meloloskan diri ke dalam kereta dan beredar dari situ.
“Mana
kau dapat idea nak bawa kawan perempuan balik rumah ni? Mana kau nak sumbatkan dia? Aku bagi amaran, eh. Kau orang berdua jangan cuba nak buat benda-benda tak
senonoh dekat dalam rumah tu. Aku
kerjakan dia dengan kau sekali nanti.”
Danish mengorek telinganya dengan jari kelingking dengan muka meluat
mendengar cecehan Damia.
“Alah,
Kak Mia ni bisinglah! Nanti dia dengar,
kecil hati hati dia.” Danish sedikit
membentak.
Dia
melambaikan tangan ke arah Nadra yang tercangak-cangak mencari kedudukan kereta
kakaknya itu. Damia ketawa sinis. Ulah remaja hari ini. Hari orang luar begitu dijaga. Perasaan keluarga ditolak ke tepi.
“Rumah
dia kat mana? Mak ayah dia mana?” Damia mengenakan kaca mata hitam. Soalannya tidak berjawab kerana Nadra
sudahpun meloloskan diri ke dalam kereta.
Menambah
anggun pada gaya. Seketika dia membelek
diri di cermin. Membetul-betulkan
tudung. Sebaik sahaja mendengar pintu
kereta ditutup, dia melajukan kenderaan sebelum bersatu dengan kenderaan lain
di lebuh raya.
“Awak,
awak rehatlah. Nanti bila sampai, saya
kejutkan.” Danish bersuara lembut sambil
menghulurkan sebotol air mineral.
Damia
menjeling ke arah Danish. Kalau boleh dia muntah, memang dia akan muntah
berlambakkan di situ juga. Menyampah!
Dia sendiri tidak tahu apa yang merasuk hatinya. Tetapi, Damia tidak dapat memujuk perasaan
untuk bersangka baik terhadap Nadra buat masa ini.
Ketika
mereka sampai, waktu Zohor baru berganjak beberapa minit. Melihat gelagat emak Danish yang menyalur
rindu pada lelaki itu dengan ciuman di pipi bertalu-talu, Nadra terasa ingin
menangis.
Puan Rohana memeluk Danish erat bagaikan
pertemuan itu pertemuan jejak kasih. Terpaku dia seketika melihat kehadiran
Nadra. Sangkanya, Nadra bersama-sama
Damia. Tetapi apabila melihat Nadra masih
tegak mematung di sebelah Danish, serbuan soalan mula menjengah kepala.
Damia
pula terus masuk ke dalam biliknya.
Mengunci diri dan tidak keluar-keluar lagi selepas itu. Migrain menyerang menyucuk-nyucuk urat
kepala. Bahana tidak melengkapkan jam
tidur. Emaknya sudah mengejutkannya
seawal jam enam pagi. Bimbang benar dia
kesiangan dan membiarkan Danish tertunggu.
Rupa-rupanya, ketika dia tiba di perkarangan
asrama adik lelaki bongsunya itu, Danish
belum lagi bangkit. Meraikan kebebasan
daripada bebanan belajar. Migrain juga
menyerang mengenangkan tingkah Danish yang Damia rasakan tidak wajar. Namun, buat masa ini, dia malas untuk ikut
campur.
Tahu
benar fiil emak dan ayahnya. Biar
bagaimanapun tingkah laku Danish, di mata mereka berdua, Danishlah yang
terbaik. Encik Hashim memberi salam
sebaik sahaja mereka baru melafazkan doa makan.
Dia baru sahaja pulang dari bersolat jemaah Zohor di masjid berdekatan.
“Kak
Damia tak makan ke?” Nadra membuka
bicara setelah sekian lama membisu. Tadi
kata-katanya terkunci melihat keakraban keluarga kecil itu. Kecuali Damia yang sangat mahal dengan
senyuman.
“Tak usah risaukan dia. Kamu tu
makan banyak-banyak. Mesti dah lama
rindu nak makan masakan mak kan ?” Soal Puan Rohana sambil tersenyum.
Menyendukkan
kuah gulai ke dalam pinggan Nadra.
Danish memandangnya dengan perasaan berbunga. Hanya ucapan terima kasih beriring sendu yang
keluar dari mulut Nadra. Semakin lambat
dia menyuapkan butiran nasi ke dalam mulut.
“Mak
ayah kamu orang mana? Kamu dah beritahu
mereka kamu datang sini. Nanti mereka
ingat kau kena culik pula,” kata Encik Hashim dengan nada bergurau.
Danish terkesima. Semuanya salah dia. Semuanya
kerana dia tidak memaklumkan dulu kepada keluarga tentang hasratnya membawa
Nadra balik ke rumah kecil beratap lantai lima
tingkat itu.
Sewaktu
dia melihat Nadra berjalan beriringan dengan Hakimi, dia ingin memanggil tetapi
Kak Damia juga sibuk berleter. Mengingatkan tentang barang-barangnya yang belum
habis diangkut. Dia membiarkan sahaja.
Tetapi
hati diasak curiga, bimbangkan Nadra menyertai Hakimi. Dia mengetahui arah tujuan Hakimi dan sangat
takut kalau Nadra menurutnya. Tambahan
pula, gadis lurus bendul itu mudah percaya dengan cakap kawan-kawannya tanpa
diselidiki dahulu.
“Kau
ni macam kucing nak beranak aje, kenapa?”
Soal Damia apabila melihat Danish warawiri di depannya. Sekejap sekejap memandang ke arah jalan
besar. Sekejap-sekejap merenung ke arah
asrama putera. Bagaikan blok bangunan lima tingkat itu hidangan
yang menyelerakan.
“Danish
pergi jumpa kawan sekejap kak,” putus Danish sebelum kata setuju terjulur
keluar dari mulut kakaknya itu. Damia
hendak bertanya, Danish telahpun membuka langkah seribu. Menuju ke pintu gerbang sekolah yang tidak
jauh dari dewan besar.
Damia
mengeluarkan telefon bimbitnya sambil menempatkan diri ke dalam kereta.
Berlama-lama menyusuri laman sosial terkenal itu sambil membaca pos-post di
dinding muka
buku masing-masing.
Tetapi,
matanya lebih lama tertancap pada satu nama yang sudah lama berada di dalam
senarai tetapi jauh jasad dan hati daripadanya.
Sehingga kini, biarpun si dia mengikrarkan sillaturrahim mereka
berlangsung atas tiket kawan, Damia tetap tidak kohot berharap.
Biarpun
dia tahu, harapannya akan tinggal tergantung di gapura mimpi. Jari telunjuknya menyentuh nama itu. Bagaikan menyentuh hati lelaki itu. Lembut dan berhati-hati. Nik Faridzuan Arif. Selama-lamanya nama itu di hati. Tidak mahu dibuang atau dilapisi yang baru.
“Nadra,
Kak Damia.” Danish memperkenalkan gadis
sekolah yang kelihatan tua daripada Danish.
Wajahnya
murung dan sedikit takut-takut. Damia
hanya memberi respon hendak tak hendak sehinggalah Danish memberitahu cadangan
hilang akalnya hendak membawa Nadra
tinggal di rumah mereka. Dia memang hendak
meletuskan tembakan kata cukup-cukup pada adik bongsunya itu kalau bukan kerana
si gadis itu sudahpun masuk ke dalam kereta.
Membuku rasa di dada.
“Danish
nak ajak dia tinggal di sini. Nadra nak
cari kerja separuh masa. Kalau kat
kampung, susah. Nanti, bila dah stabil
dia carilah rumah lain.” Pengakuan Danish Naqiuddin yang disifatkan berani mati
itu mengundang pandangan yang saling tingkah meningkah di antara Puan Rohana
dan Encik Hashim.
Terasa
nasi yang berkira-kira hendak ditelan bercampur pasir. Danish menikmati hidangan di depannya dengan
berselera. Sudah lama dihadap dengan nasi kawah gulai air. Hari ini menikmati
erti gulai dalam ertikata sebenar.
“Kalau
makcik dan pakcik keberatan, tak apalah.
Saya boleh tumpang rumah pakcik saya,” Nadra tiba-tiba bersuara melihat
reaksi kedua-dua orang tua lelaki yang disayanginya itu.
Nadra
sendiri tidak tahu siapa pakcik yang dimaksudkan. Cuma untuk menutup jejak rasa
bersalah seandainya kehadirannya di situ tidak dialu-alukan.
“Eh
tak… boleh. Boleh. Apa salahnya.” Puan Rohana menghijab gugup dengan jawapan
itu.
Beg-beg Nadra dimasukkan ke dalam
bilik bujang Danish. Pintu bilik Damia
masih berkunci. Puan Rohana tidak pula
bertindak untuk ‘menempatkan’ Nadra di bilik Damia. Anak gadis sulungnya itu mempunyai
peraturannya sendiri yang dia sendiri tidak boleh melangkaunya. Jika dilangkau, dia sendiri sebagai ibu akan
merasa penangan sindiran ataupun letusan kemarahannya.
Bilik kecil tidak berkatil itu
sangat sederhana. Hanya ada dua biji
tilam dan sebuah almari tingkat plastik.
Beberapa keping poster pasukan dan pemain bola sepak antarabangsa
melekat di dinding-dindingnya. Ada juga bekas-bekas pita
pelekat yang mencacatkan rupa asal dindingnya.
“Macam mana?” Soal Danish. Berdiri di ambang pintu bilik.
Dia
masih belum menukar pakaian semenjak tiba tadi.
Nadra cuma mengangkat ibu jari sambil tersenyum. Dia mengeluarkan sehelai track-suit dan baju
t. Danish menyandarkan diri pada tiang
pintu bilik. Memerhatikan Nadra. Masih kabur tentang nasib masing-masing di
hari muka.
“Kenapa
tengok saya macam tu?” Soal Nadra.
Mengeluarkan tuala mandi dari dalam begnya dan beberapa barang keperluan
di bilik air. Nadra mendekati Danish.
“Dah
lama tak tengok awak. Sejak kita sibuk
dengan SPM dulu. Dah lama tak
berbual-bual dengan awak. Tak tengok
muka awak. Hidung awak.” Danish mencuit hidung yang tidak seberapa
mancungnya milik Nadra.
Nadra
sedikit cemas dengan tindakan Danish itu memandangkan kedua-dua orang tua
Danish berada di ruang tamu berhampiran.
Berehat sambil menonton televisyen selepas makan tengahari.
“Jagalah
sikit kelakuan awak,” pesan Nadra sambil tersenyum sebelum melenggang menuju ke
bilik air.
“Danish,”
suara Encik Hashim memalingkan wajah Danish yang baru menukar seluar
pendek separas keting. Dia mendatangi
ruang tamu itu sambil terus duduk di antara kedua-dua orang tuanya itu.
“Kau
nak buat apa sementara tunggu keputusan ni?”
Tanya Encik Hashim menepuk-nepuk peha pejal anak bujangnya itu.
“Danish
nak kerja kot. Tak tahulah lagi,
kenapa Ayah?” Kedua-dua tangan Danish
berada di bahu Encik Hashim dan Puan Rohana.
“Kawan
Danish tu?”
“Nadra
lah, bang,” Puan Rohana
membetulkan.
“Ha,
Nadra tupun sama?”
“Iyalah. Tak tahulah kalau mak nak buka kelas memasak
untuk dia pula. Senang bila dah kahwin
esok.” Danish senyum meleret. Satu cubitan lembut singgah di pipi hitam
manis Danish.
“Dah
gatal sangatkah? Kau jangan nak buat
perkara tak senonoh, Danish! Ingat
sikit,” Puan Rohana memberi amaran. Gementar hatinya dengan gurauan Danish
itu. Doanya, pertalian di antara Danish
dengan Nadra hanyalah sebagai kawan biasa.
Jika
lebih daripada itu, dibimbanginya sesuatu yang tidak pernah melintas di
kepalanya, terjadi pula. Puan Rohana
memejamkan mata. Pantas mengusir
ingatan-ingatan buruk sebegitu. Mohon
diperkuatkan iman anak-anak itu. Biarpun tadi, dengan ekor mata dia melihat
gurauan mesra pada takah yang luar biasa di antara kedua-duanya.
“Danish
tak nak balik kampung jenguk nenek?” Encik Hashim memberi cadangan.
Mereka
sekeluarga juga sudah lama tidak pulang ke kampung menjenguk ibu Encik Hashim
itu. Dia sahajalah tunggak keluarga yang
masih bernafas. Masih sihat biarpun
tinggal sendiri.
Diajak anak-anak tinggal bersama, alasan
terancang orang-orang lama, tak mahu tinggalkan rumah lama-lama. Tidak mahu
tinggalkan ayam itik lama-lama. Walhal ayam itik dan rumah pusaka itu tidak
kisahpun ditinggalkan berlama-lama.
Wanita
berusia awal lapan puluhan itu masih mampu berjalan-jalan mengambil angin
setiap petang di sekitar kampung.
Amalannya semenjak ketiadaan Tok Aki.
Ketika kehadiran Tok Aki, masa banyak diisi di rumah. Berbual-bual, kadang-kadang bertaki,
kadang-kadang bergurau senda seadanya.
Mengisi takungan cinta di hujung usia.
“Boleh
juga. Dah lama juga tak jumpa dia. Tapi biar Danish rehat dulu dua tiga hari.
Nak balas dendam. Nak tidur puas-puas.”
Puan Rohana mengiyakan dengan anggukan.
Dia
sendiri sudah lama tidak pulang menjenguk anak lelaki keduanya itu. Dhanipun
tidak pernah muncul di rumah itu semenjak meninggalkan rumah kos rendah tiga
bilik itu. Jika dia menelefon emaknya,
alasan yang didengar, Dhani tidur. Atau Dhani
keluar Belum pernah sekali dia dapat
bercakap dengan Dhani. Tidak mungkin
anak lelakimya itu jauh hati kerana dia keluar dari rumah itu dengan relanya
sendiri. Ingin menemani Neneknya di kampung.
“Tak
apalah kalau nenek tak nak datang sini. Biar saya tinggal dengan nenek di
kampung.” Puan Rohana masih ingat lagi
tawaran itu.
“Kerja
kau macam mana?” Puan Rohana menyoal.
Cemas kerana Dhani meninggalkan kerjayanya semata-mata untuk duduk di
ceruk kampung menemani neneknya.
“Nak
kerja, kat mana-manapun boleh kerja. Lagipun saya bukannya berkelulusan tinggi.
Lainlah macam anak mak yang seorang tu,”
Dhani bersuara sedikit lantang.
Tangannya mencapai cucur tepung buatan Puan
Rohana. Wajah seiras Danish tetapi
berkulit cerah dan sedikit rendah itu mencemik ke arah Damia yang sedang
berlunjur kaki di atas meja kopi. Di
tangannya memegang kejap alat kawalan jauh televisyen.
“Kau, kalau satu hari tak cari gaduh
dengan aku memang tak sahkan?” Suara
Damia meninggi tetapi pandangannya tidak dialihkan daripada wajah Ceasar Milan
yang sedang meladeni anjing-anjingnya di dalam siri Dog’s Whisperer.
“Eh!
Yang kau sentap apa hal? Kau seorang aja
kah anak mak? Aku tak sebut nama kau kan ?” Dhani turut meninggikan suara.
“Elok
sangatlah kau berambus duduk kat kampung tu.
Jaga nenek tu. Mulut kau dengan
mulut nenek tu lebih kurang sama aja,” Damia melepaskan sebaris kata lagi.
Bangun. Dicampakkan bantal kecil ke lantai tanda protes. Masuk ke bilik dan
menghempas pintu.
“Tengok mak. Usahkan Arif, Dhanipun tak boleh tahan
perangai dia. Cepat melenting. Kepala angin!” Sengaja disebutnya nama Arif itu
sekuat mungkin. Memancing buakan marah yang menggunung di hati perempuan
berbeza tiga tahun dengannya itu.
“Dahlah Dhani. Mak tak suka bising-bising macam ni. Malu orang dengar. Dia dengan Arif tu memang tak ada jodoh. Buat apa kau nak ungkit-ungkit?” Tangan Puan Rohana melambai-lambai. Meminta kehangatan itu diredakan.
“Dia yang jadi puncanya. Kalau tak,
taklah Arif tu lari. Kepala batu. ” Bicara Dhani mendatar.
“Diamlah kau!” Jerit Damia dari dalam bilik. Cukup pantang kalau nama itu disebut di dalam
suasana yang tidak sesuai. Nama yang
menebarkan rindu yang tidak surut saban waktu.
“Kau duduk kat kampung nanti,
tolonglah nenek. Jangan nak makan tidur
aje. Kebun getah nenek tu besar. Elok benarlah kalau kau boleh menoreh. Tak payah upah menoreh tu nak dibahagi
dua.”
Danish
memohon diri untuk masuk ke biliknya setelah perbualan mereka beku. Lagipun mata Puan Rohana lebih tertumpu pada
tangkas aksi dan kata Shah Rukh Khan di dalam filem Hindi di petang Sabtu itu.
Danish
merebahkan diri di atas tilam yang terasa lebih empuk bila dilapik dua. Dahulu,
bilik itu dihuni dia dengan abangnya.
Tetapi pada kebanyakan masa, Dhani mengusung tilam ke ruang tamu. Berdengkur di depan televisyen. Tambahan pula suhu pada waktu malam yang
menitikkan peluh. Bilik itu terasa
terpengap dan berbau.
Harum
aroma floral segar menyucuk-nyucuk hidungnya. Nadra sedang mengeringkan rambut
separas dadanya itu dengan tuala.
Mengantuk yang membawanya melayang sebentar tadi, kini melayang pergi. Gadis berambut lurus bagaikan seorang Nadra
yang baru berdiri tegak di depannya.
Bukan Nadra yang dulu.
Bagaikan
seorang ratu cantik berdiri di depan cermin tidak menyedari ada mata mengintai
di sebaliknya. Danish menelan liur. Cepat-cepat bangun bersila di atas tilam.
Nadra menyidaikan tuala di kerusi buruk di sudut bilik. Pandangan Danish masih lekat pada Nadra.
“Saya
nak berehatlah, wak. Tolong keluar
boleh?” Nadra meminta izin selembut
mungkin. Takkanlah hendak diterjah
melompat ke atas tilam. Biarpun itu
sebenarnya yang hendak dilakukan. Terasa
kepenatan mengigit-gigit di setiap sudut sendi.
suka sangat! :)
ReplyDeleteterima kasih Jue.
ReplyDelete