..yang bernama sahabat

Friday, 25 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 3


            “Siapa tunggu kau di lapangan terbang?”  Diney berpaling.  Beg yang mengisi baju yang terlipat kemas ditutup.  Dizipkan.  Dia menghempaskan diri di atas tilam.  Melantun-lantun tubuhnya.   Soalan teman sebilik yang mundar mandir itu tidak dipedulikan.  Matanya mencacak ke siling.   Sekejap lagi bumi London akan ditinggalkan.  Masa berlari pantas. 

            “Diney, tak payah nak berangan.  Aku tanya, siapa jemput kau?”  Soalan Mich yang tergantung diulang balik.


            “Entah.  Tak ada sesiapa kot?”  Diney menggigit kuku.  Selamba. Kedua-dua tapak tangan disorokkan ke belakang kepala.  Kedinginan masih terasa. 

            “Kalau tak ada, aku boleh suruh abang aku hantar kau.  Boleh tak?”

            “Tak payahlah.  Nak buat apa.  Aku boleh balik sendiri,”  Diney menarik-narik rambutnya.  Diangkat tinggi sehelai demi sehelai.  Jatuh ke atas muka sendiri. 

            “Abang aku nak kenal dengan kau sebenarnya,” perjelas Mich.  Diney ketawa kecil.  Aku dah agak.  Pasti ada udang menjalar-jalar di sebalik mee!

            “Tak payahlah Mich.  Nak buat apa?”

            “Nak buat apa.  Nak buat apa.  Menyampah betul aku dengar perkataan tu.  Cubalah positif sikit.  Kau ni, dah sampai ke London, perangai tak berubah-ubah.  Pesimis!”  Diney bangun dari pembaringan.  Bersila.  Memandang Mich yang berlapis-lapis selendangnya. Wajah Syed Hasnol menari di sebalik selendang.

            “Jangan beritahu aku kau masih ingatkan cinta monyet kau tu…”  telunjuk Mich menggawang-gawang di depan muka Diney.  Biarpun dia tahu, itulah alasan Diney untuk tidak membuka hati atau ruang untuk orang lain.

            “Cinta pertama. Cinta..”

            “cinta setia…sudahlah Diney.  Berbulu telinga kanan aku ni.  Entah-entah kawan tu dah berbahagia raya dengan isteri dia.  Kaulah yang bodoh menunggu berita.  Macam tunggu buah durian masa musim cempedak.”  Meledak ketawa Diney mendengar perumpamaan Mich itu.

Mich, pembawa nama Ramishah.  Malas dipanggil dengan nama yang panjang, Diney memendekkan.  Pandai-pandai.  Orangnya pun bukanlah tinggi benar.  Padanlah dengan nama Mich itu. Wedge dan sepatu tumit tinggi yang menambahkan inci, buat penambah yakin.  Jika tidak, Mich di paras ketiak Diney sahaja.
           
Bumi Lady Diana itu bakal ditinggalkan.  Bersama kenang-kenangan yang singkat tetapi padat.  Kedatangan dan kepulangannya bagaikan pelarian.  Tiada siapa peduli.  Memang dia menjadi kebanggaan keluarga.  Kebanggaan emak dan abah sahaja.  Damia, Dhani malah Danish, tidak menampakkan keterujaan.  Biasa-biasa sahaja.  Malah, Kak Damia tidak menunjukkan riak sedih ketika emaknya berjemban air mata.  Kak Damia sibuk dengan telefonnya ketika di KLIA.  Lalu, tiadalah juga keterujaan dari pihak dirinya. 
           
“Mak kau dah tahu, kau nak balik ni?”  Diney menggelengkan kepala sebagai menjawab pertanyaan Mich itu.

 Mich tidak menyambung kata.  Dia mendekati sahabat baik semenjak belajar di universiti swasta itu.  Mich sendiri tidak mengerti susur galur aliran keluarga sahabatnya itu.  Ultra luar biasa.
           
“Tak apalah.  Aku kan ada,” pujuk Mich dengan nada mesra. 

Bahu Diney berada dalam rangkulannya.  Diney menggosok-gosok lengan Mich.  Perjalanan dari kampus ke lapangan terbang mengambil masa dua puluh tujuh minit, lebih kurang.  Dengan tambang empat pound menaiki teksi, mereka mengheret bagasi masing-masing.  Diam memeluk mereka.  Kumpulan mereka melebar apabila beberapa teman satu kursus ikut campur dalam perjalanan itu.
           
“Aku rasa, lepas ni tak mungkin aku jejak tempat ni lagi…”  Diney bersuara memecah kebekuan.  Asap nipis mengiringi kata-katanya.   Aku, anak pemandu bas awam di kota Kuala Lumpur.  Ada rasa bangga dan sedih berbaur. 
           
“Kita tak tahu.  Itu rezeki,”  Mich mahu juga bersuara.  Tangannya yang disarung dengan sarung tangan hitam kejap memegang pemegang beg.  Menyelitkan diri dalam kelompok manusia yang lalu lalang di dada lapangan terbang itu.  Pengumuman mengenai penerbangan mereka menggema membuatkan mereka bergegasan.  Di dalam kumpulan kecil.
           
“Mari kita minum dulu,” ajak seorang rakan sebaik sahaja mereka melepasi pemeriksaan imigresen.  Mencari-cari kedai makanan segera atau outlet yang berkenaan dengan selera.  
           
“Aku tak sabar nak jumpa keluarga aku.  Rindu sangat,” ucap teman tadi.  Mich menjuihkan bibir.  Diney buat-buat tak dengar.

            “Anak emak.  Kenapa dulu kau terima tawaran belajar di sini.  Duduklah bawah ketiak emak,”  ejek Mich.

Rakan tadi ketawa.  Sekadar itu.  Tiada sambutan tawa dari Diney atau Mich.  Diney masih asyik melayan lamunannya yang entah apa-apa.  Pandangan Diney sudah jauh merayau sehingga ke luar kawasan lapangan terbang.  Suara manja Syed Hasnol dan senyum manisnya masih hangat di ingatan.  Mereka tidak berjanji kata.  Sekadar bersumpah mata.  Pelajar lelaki bertahi lalat tepi mata itu mengukir senyum semanis tebu.
           
Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir mereka.  Talian komunikasi secanggih manapun tidak dapat menghubungkan mereka.  Cinta, tanpa izin Allah tidak akan ke mana.  Terkapa-kapa dia kelemasan dalam lautan cinta rekaannya sendiri.  Bersendirian dan bertarung sendiri. 
           
Semenjak itu, dia membodohkan diri (kata Mich) menunggu dan menunggu.  Mengharapkan keajaiban berlangsung di depan mata.  Mengharap susuk gunawan itu berdiri mendepang tangan menantinya berlari dalam dakapan.  Membawanya pergi di dalam kereta seperti mimpi si manis Preity Zinta dalam filem Chori Chori Chupke Chupke. 
           
“Aku dah beritahu mak kan…?”  dia membalas balik.  Damia menghujam kata tanpa ampun sebaik sahaja mendengar suaranya.
           
“Siapa nak jemput kau?  Kau ni menyusahkan orang betul.  Beritahu awal-awal.  Jadi satu kerja pula aku nak ambil cuti jemput kau,” marah Damia.  Diney mengeluh.  Begitulah Damia.  Tidak pernah elok perkataan dengan adik-beradik. 
           
“Kau tak nak jemput tak apalah.  Aku balik dengan kawan aku,”  Diney mengendurkan suara.
            “Sudah! Jangan nak mengada-ngada.  Bila sampai nanti telefon aku.  Nanti kalau kena culik, kena apa, aku juga yang susah.  Kau tu kesayangan mak,”  Damia menamatkan kata sebelum memutuskan talian. 

Damia suka mengungkit ayat itu.  Kau tu kesayangan mak.  Kau tu kesayangan abah.  Dia terasa ingin menjerit.  Menjadi kesayangan, bukan kehendaknya.  Menjadi kesayangan juga tidak mudah dan tidak digemarinya. 
           
Kalau Damia menjadi mangsa pilih kasih, kenapa dia yang mendapat balanya.  Kalau Damia yang suka memetir kata itu merasa tersingkir, kenapa dia juga harus meminggir. 
           
Damia dan Diney, tidak jauh berbeza dari segi perawakan.  Rupapun hampir seiras dan jika disandingkan banyak yang akan termangu.  Memikirkan mana Damia, mana Diney.  Hanya, Diney memiliki tubuh berisi dan lebih manis wajahnya kerana rajin tersenyum.  Kulitnya juga putih melepak.

            Selain itu, jalaran hidup mereka penuh dengan liku onar yang memeningkan kepala.  Emak yang terlalu memihak, bagai menyiram air garam pada luka yang memarah merah.  Menggelepar hati dibuatnya menahan kepedihan.  Mujur juga, peluang melarikan diri terbuka luas apabila dia ditawarkan ke sekolah berasrama penuh semasa di tingkatan empat.  Secepat mungkin dia ingin terbang dan pergi.  Jauh.  Asalkan tidak menghadap dan berkongsi bilik dan ruang dengan Damia. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...