..yang bernama sahabat

Tuesday, 29 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 4


            LAMA Maimon Haiza merenung wajah Damia.  Mencari-cari warasnya permintaan itu.  Garis desakan tertulis di dahinya yang berkerut.  Ya, dia mengalu-alukan kehadiran Damia.  Rumahnya memang sepi sesepinya.  Umpama hotel tempat mandi dan makan.  Tidurpun tidak ketentuan.  Kadang-kadang di sofa, kadang-kadang di katil.  Kadang-kadang dalam tab mandipun boleh terlelap. 
           

Sebagai manusia yang berpegang pada praktikal dan teknikalnya sesuatu perkara, dia perlukan penjelasan.  Dia perlukan rasional yang mengukuhkan permintaan itu.  Tidak mahu kecelaruan belakang hari menganggu hidupnya.  Dia bukan kedekut, tetapi berhati-hati.
           
“Ada tak kak?”  tanya lagi Damia tentang rumah sewa yang berdekatan di rumahnya.
           
“Mia tinggal di rumah akak sajalah,”  dia memutuskan.  Daripada memutar perkiraan memeningkan kepala, solusi terletak di hujung telunjuk.  Diterjah sahaja solusi terdekat.  Tambahan pula, Damia adalah kakitangannya.  Kerisauannya sedikit menyurut.
           
“Bolehkah kak?”
           
“Kenapa pula tak boleh?”  Maimon bertanya balik.

 Damia menggaru kepalanya yang tidak berapa gatal.  Rambutnya hitam melebat disebak.  Berkongsi rumah dengan Regional Manager?  Salah seorang VIP dalam carta organisasi konglomerat perbankan di Malaysia.  Gila.  Dia menyumpah sendiri.  Kenapalah mulut terdesaknya gatal benar membuka kata.
           
Tugasan rutin gadis akhir tiga puluhan itu.  Tawaf setiap lima puluh cawangan di bawah seliaannya.  Segala masalah berbangkit akan minta dipungkis dan digali semasa kehadirannya.  JIka tidak mampu menyelesaikannya, dibawanya untuk perhatian atasan.     
           
“Nanti apa kata orang, Kak Mai?”
           
“Orang kata apa?”
           
“Yalah.  Nanti saya dikatakan mengampu Kak Mai.  Bila dah duduk sekali, lagi senang nak naik pangkat.  Senang nak dapat kemudahan itu dan ini,”  panjang lebar Damia menerangkan.  Maimon mencapai pen.  Fail-fail yang melambak di atas meja pengurus cawangan itu, ditolak ke tepi.
           
“Kalau awak nak terus dengar kata orang, takut orang cakap itu.  takut orang cakap ini, terpulanglah.  Saya nak tahu, masa awak susah sekarang, orang-orang yang bermulut tu ada buka mulut tolong awak tak?  Atau mereka tambah mengumpat lagi?” 

Tujahan kata Maimon tepat membenam di dada Damia.  Selama ini dia berhabis untuk menjaga mulut orang.  Menjaga rapi agar tiada mulut mengatakan yang buruk-buruk.  Walhal yang buruk itu juga harus diambil sebagai pedoman.  Bukanlah selamanya terpuruk buruk.

Maimon mengitar wajah gadis akhir dua puluhan itu.  Disuruh duduk di depannya, tak mahu.  Banyak kerja katanya.  Tetapi, dia sudah berdiri hampir lima belas minit.  Kalau mengikut hukum Queue Time, 15 minit sudah tidak membawa makna apa-apa.  Pelanggan yang menanggung resah menunggu lebih daripada 5 minit sudah boleh membuat aduan.  Sudah boleh mendakwa, perkhidmatan yang diberikan sangat lambat.  Pengurusan juga tidak boleh mempertikaikan dengan mencipta pelbagai alasan.

“Tak ada pelanggan, Puan.” awal-awal tadi dia sudah memberitahu. 

Maimon senyum sinis.  Fail Branch Health Checklist di depannya ditutup.  Pen biru di tangannya dihalakan ke arah Damia.

“Awak panggil saya Puan lagi, saya gagalkan portfolio awak,”  ugut Maimon tetapi tersenyum.

  Damia mengemudi unit Current Account.  Unit yang paling kritikal.  Nadi perjalanan sesebuah cawangan.  Current Account atau akaun semasa merupakan aset bank yang memegang kukuh kepentingan pelanggan-pelanggan perniagaan yang kadang-kadang mencecah jutaan ringgit.    

“Takkan nak panggil kakak pula…”  Komen Damia. 

Di kepalanya buntu dengan ugutan itu.  Kegagalan satu-satu portfolio dalam mematuhi garis panduan syarikat akan menggagalkan pencapaian sesebuah cawangan.  Natijahnya, ganjaran kewangan dan motivasi diri akan menyusut. 

“Saya tak selesa dipanggil Puan.  Terasa macam Gabenor Bank Negara pula,”  Maimon menutup mulut.  Terasa lucu dengan lawak sendiri.

“Baguslah tu.  Ramai orang sebut. Nanti jadi doa,” usik Damia.  Angin yang menyusup perlahan keluar dari pendingin udara itu terasa mengeringkan muka Damia.  Maimon kembali kepada kertas di depannya. 

“Petang nanti awak ikut saya.  Tengok rumah.  Kalau sudi awak masuk terus,”  Maimon tidak mengangkat muka.  Helaian itu di depannya kembali menjadi fokus.

“Sewanya, kak?”

“Seribu sebulan.  Api air kira lain.”  Maimon tidak mengangkat muka.  Damia yang hendak berganjak setapak mematikan niatnya.

“Seribu puan?”


“Sebab panggil saya puan, naik seribu lagi.  Dua ribu.”  Wajah Damia berubah.  Memerah bagai dipugar bunga ros.

“Biar betul ni…”

“Damia, tak payah awak sibuk-sibuk pasal sewa.  Awak duduklah dulu.  Dah, pergi buat kerja.  Nanti bos awak ingat cawangan dia dah gagal.  Lama sangat pula saya temuramah Current Account Officer dia,”  Maimon mengangkat muka.  Manis wajahnya.  Lega mengembang di hati Damia.

Terasa masalah yang menyesak dada dalam dua minggu ini dibawa terbang begitu sahaja.  Kalau tidak difikirkan sedang berada di kawasan pejabat, mahu dia memeluk erat si penyelamat berwajah manis itu.   Panggilan puan pula yang menjadi isu besar buat dirinya.  Usai ucapan terima kasih, ditutupnya pintu bilik berbau haruman lavender itu.

Maimon memandang kelibat Damia yang hilang di sebalik kaca pintu itu.  Bagaimanapun, bilik itu mendepani ruang lobi bank.  Pelanggan boleh melihat dengan jelas kelibat pengurus di dalam bilik itu.  Metafora bahawa tiada lagi halangan di antara pengurus dan pelanggan.  Dia kembali ke helaian audit dalaman peringkat kawasan yang mesti dilakukan untuk setiap cawangan. 

Bukanlah kepantangan mendapat panggilan ‘puan’.  Puan juga tidak merujuk kepada takah umur ataupun status perkahwinan.  Puan juga panggilan hormat untuk wanita yang berjawatan tinggi.  Tetapi dia takutkan rasa ujub halus yang menyalur daripada panggilan itu. 

Dia juga takutkan rasa riak yang mencanak-canak seandainya dibiarkan.  Tidak mahu, kesemuanya itu merosakkan ikhlasnya pekerjaannya kerana Allah yang satu.  Dia juga kurang selesa kerana belum bertuan.  Dia mahukan rasa positif dengan panggilan ‘cik’.  Cik membawa rasa muda dan aroma bertenaga.
Permintaan Damia merupakan satu permintaan yang pelik buat dirinya.  Pertama kali.  Tetapi mengenangkan bobroknya dunia sekarang dengan kudis sosial, dia menawar diri menjadi penyelesai.  Bimbang, wanita bujang itu akan hilang haluan.  Kesesatan solusi lantas menyerah diri pada takdir yang dilukis untuk orang lain.  Setidak-tidaknya, walau sementara, dia menjadi sandaran buat gadis muda itu. 

Dia tidak mahu memaksa Damia.  Tidak ingin menjaga belahan kain orang lain.  Tetapi, wajah-wajah serius Damia mendepani Dhani, adik lelakinya bagai menyeret rasa ingin tahu kian jauh ke lubuk hati.  Dia berkira-kira, ayat yang paling baik untuk mneyelak tabir hati Damia. 

Dhani berwajah tenang biarpun dalam keadaan fizikal tidak terurus.  Tetapi Damia nampak rusuh mendepani adik lelakinya.  Tapi, benarkah adik lelakinya.  Entah-entah bekas kekasihnya.  Entah-entah bekas suaminya.  Damia itu gadis misteri.  Terlalu banyak rahsia di dalam tangan kanan.  Di dalam genggaman tangan kiri.      

“Pendapat umi macamana?”  Maimon sempat menghubungi uminya.  Setiap keputusan perlukan pengesahan dan pengetahuan uminya.  Ada kalanya membuatkan uminya rimas.

“Dah tua bangka, buatlah keputusan sendiri.  Semua nak tanya umi,”  marah uminya.  Marah-marah sayang.

“Umi, Mai bukan tak boleh buat keputusan.  Kan Mai cakap, segala keputusan Mai, umi kena tahu.”  Gelak kecil Uminya kedengaran riang dan bahagia.  Maimon Haiza, anak yang membahagiakan.  Selain daripada bujang, gadis itu juga pemurah.  Rezeki untuk berumahtangga sahaja yang masih belum murah.

“Biarlah Umi.  Mungkin jodoh Mai di syurga nanti,” Maimon Haiza memujuk hati. 

Puan Zabedah mencium ubun-ubun Maimon yang terbaring manja di atas pehanya.  Setiap kali balik ke rumahnya.  Di situlah tempat awal dicarinya.  Kata-kata itu acap terucap apabila uminya mengungkitkan hal-hal sebegitu.  Akhirnya Maimon mangli memujuk hati.  Bila ada kesempatan, biarpun seketika dia akan pulang ke kampung.  Menghargai waktu yang sedetik melayari kemanisan kasih seorang ibu.

“Tanyalah hati dan mata Mai.  Kalau Mai rasa dia ikhlas, Mai tolonglah.  Kalau dia tak ikhlaspun tak apa.  Allah ada.  Mai nak takut apa,”  kata Puan Zabedah tanpa ragu sedikitpun.  Bicara uminya itu  melegakan hatinya.  Keputusan tergesa-gesa dibuat berdasarkan pandangan Puan Zabedah dan kata hatinya sendiri. 

“Umi nak tengok Ustazah Asni kat TV9  ni. Jangan kacau umi.  Malam nanti Mai telefon lagi,”  gesa-gesa uminya memutuskan talian.  Umi, umi.  Maimon memandang telefon bimbitnya.  Gambar wajah anggun dan mesra Puan Zabedah terpapar sebagai kertas dinding.

Uminya selama-lama di hati.  Tiada dua, tiada galang ganti.  Hatinya memuji-muji.  Di saat sukar, selain baba, umilah pembimbing hati.  Jauh di sudut hati syukur memantul bertalu-talu.  Dikurniakan umi dan baba.  Dikurniakan adik beradik yang memahami.  Ramai dan permai.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...