..yang bernama sahabat

Tuesday, 22 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 2


Hai,
Saya selalu tengok awak semenjak awak masuk ke sekolah ini.  Saya tahu, awak budak baru, tak ramai kawan.  Boleh tak saya jadi kawan awak?

Danish.

            Danish melipat kertas bertulis tangan itu.  Kemas-kemas.  Kemudian diselitkan di dalam buku rujukan Sains.  Buku itu sebentar tadi ditarik dari rak-rak buku rujukan di perpustakaan sekolah.   Dia mengambil sudut yang sedikit tersorok.  Menyiapkan nota ringkas itu sebelum melintas di depan sebuah meja. 

Seorang pelajar perempuan sedang menekuni sebuah novel sementara menunggu loceng rehat berbunyi.  Diletakkan buku itu perlahan-lahan seraya menolaknya sehingga bucu buku itu menyentuh bucu novel yang terlampar.  Pelajar perempuan itu mengangkat muka.

            “Ada surat,”
  Danish bersuara lantas meninggalkan meja itu. 

Di luar perpustakaan, Hazif, Azizan dan Jumadi bersorak.  Lima tapak tangan bersatu, bertukar-tukar tampar. 
           
“Phew!”  Danish menunjukkan isyarat lega apabila langkah terakhirnya menjejak koridor perpustakaan.
           
“Kalau dia beritahu cikgu macamana?”  Si pembawa kontra, Jumadi mula mengasak persoalan.  Bunyi vokal a panjang berserakan dari mulut rakan-rakan yang lain.  Hazif mencekak leher Jumadi dan dibawa ke celah ketiaknya.
           
“Cepat,  seorang sekali.”  Hazif menawarkan pusar kepala Jumadi untuk diketuk.  Cepat sahaja buku tangan tiga sahabat itu sampai ke kepala Jumadi yang berambut lebat itu.
           
“Kau ni, cubalah positif sikit,”  marah Azizan. 
           
“Positif, positif juga.  Kalau kena nanti, semua kena.  Nak…nak dengan Cikgu Amir.  Memang tak ada ampun,”  Jumadi mengingatkan sambil menggosok-gosok kepalanya.
           
“Cikgu Amir kan sifu Danish.  Takkanlah dia nak belasah penjaga gol kesayangan dia pula,”  Hazif mengingatkan.
           
“Diam...diam, dia lalu…”  Jumadi tiba-tiba membuatkan semua orang terdiam.  Pelajar perempuan yang menerima surat daripada Danish tadi sudah kian mendekat.  Bersendirian.   Mereka berdiri mematung di tepi koridor, beratur. 
           
“Siapa Danish?”  Pelajar perempuan itu berhenti di depan mereka. 

Berpeluk tubuh.  Dia membetulkan duduk tudungnya yang sedikit leper.  Dimancungkan semula.  Danish segera menampilkan diri.  Tersengih-sengih.  Tangannya menunjuk ke dada.  Ke arah tanda namanya. 
           
“Ambil balik surat awak ni.  Saya tak berminat!”  Gumpalan kertas yang keronyok dimasukkan pelajar perempuan itu ke dalam poket baju Danish.
           
“Uuuu…”  ketiga-tiga teman Danish Akmal bersuara.  Jumadi menggosok muka dengan tapak tangan.  Danish terkemap.
           
“Tapi…Nadra, saya ikhlas.”  Kerutan di dahi Danish berlapisan.  Wajahnya bertukar mendung.  Nadra meninggalkan mereka.
           
“Apa ni Romeo.  Tu Neelofa campur Anzalna campur Tasha Shila tambah sikit Diana Amir.  Kalau dapat kat Azhar, melepas!” Hazif memprovok.  Menyenaraikan nama pelakon-pelakon cantik yang sedang hangat di Malaysia.  Menambah panas hati Danish.  Sikunya disangkut di atas bahu Danish. 
           
“Azhar, kawan.  Azhar.  Dia aja yang boleh bolos gol kau.  Nak, nak kalau Nadra tahu Azhar tu penghulu exco asrama.  Lagilah jauh kau ditinggalkan kalau Nadra tahu pula Azhar harapan sekolah.  Bekas pelajar terbaik PMR. Pendekata, putihlah mata kau tu!”  Azizan pula menambah perisa sambil tersengih-sengih dan mengangkat kening memandang Jumadi.
           
Danish tidak bersuara.  Cuma menggepal penumbuk.  Matanya tepat merenung tangga yang tadinya dilalui Nadra.  Nafasnya turun naik. 
           
“Agh, aku tak akan benarkan sesiapa rampas Nadra daripada aku!”  Danish menyuburkan azam.
           
“Rampas apa?  Dapatpun belum,” ejek Jumadi. 

Bergerak pantas menuruni tangga ketika loceng sekolah membingit.  Masa kedua persekolahan akan bermula.  Bergerak pantas meninggalkan blok pentadbiran menuju ke kelas masing-masing.
           
“Hai Nadra,”  Jumadi dan Hazif sengaja memanggil nama Nadra sambil melambai ketika melalui kelas 5 UPM itu.

Aksi mereka menarik perhatian Nadra dan sebahagian isi kelas. Yang perempuan berbisik-bisik dengan isi cerita tersendiri.  Yang lelaki berlarian ke bahagian belakang kelas, menuju ke pintu belakang.  Mereka bersalaman dengan Jumadi, Hazif, Danish dan Azizan.  Empat sekawan itu pula bagaikan wakil rakyat dijemput makan kenduri.  Bersalaman dengan bersungguh-sungguh beriring ketawa besar.
           
“Nadra, kenapa tiba-tiba geng Danish tegur kau?”  tiba-tiba soalan terpacul daripada mulut rakan sekelasnya.  Nadra menggeleng-geleng.  Faizah menyangkutkan sebelah punggungnya di atas meja Nadra. 
           
“Kau jaga-jaga dengan Danish tu.  Romeo.  Maklumlah.  Dia perasan muka dia macam Aaron Aziz,” tokok Faizah lagi.  Nadra menjelirkan lidah dan jari telunjuknya mengarah ke anak tekak. 
           
“Dia bagi surat pada aku,” akhirnya Nadra bersuara.  Merasakan cerita itu dapat dikongsi dengan Faizah. 
           
“Iya, dia cakap apa?”
           
Surat tu tak bercakap…”
           
“Yalah, maksud aku, Danish tulis apa?”  Faizah bingkas bangun. 

Menarik kerusi dari meja sebelah yang masih kosong.  Matanya mengerling juga ke pintu.  Mana tahu, tiba-tiba Puan Asmah, guru matematik mereka muncul begitu sahaja.  Puan Asmah akan masuk, membuka buku dan mulut.  Suaranya yang memetir dapat dicami sehingga ke kelas 5 UM.  Kelas yang paling hujung dalam deretan empat kelas di paras tiga itu. 
           
“Dia nak kawan dengan aku,” beritahu Nadra.  Jujur. 

Sepanjang belajar di situ dia  meminimakan kawan-kawannya.  Maka anggapan-anggapan kesat mengitari setiap langkahnya.  Nadra propa.  Nadra bajet bagus.  Tidak dipedulikannya.  Lagipun, dia sudah tidak lama berada di situ.  Tamat SPM, dia akan pergi.  Saban hari dia mencongak saat itu.

“SAYA tak nak masuk sekolah tu, akak!”  Dia ingat lagi perbualan akhir dengan Nadia, kakaknya. Kakak yang baru sahaja meninggalkan rumah anak yatim itu setahun yang lepas. 
“Kau tak ada pilihan Nad.  Macam-macam akak dengar fasal kau.  Jagalah nama baik tempat ni.  Banyak jasanya pada kita.  Jaga nama baik Ummi.  Kau tak kasihan pada Ummi?  Kau tak ingat siapa yang kutip kita masa kita merempat dibuang Mak Cu dulu?”

            “Kau nak kawan dengan dia tak?”  soal Faizah semula. 

Soalan itu tergantung apabila Puan Asmah muncul menjepit buku panduan mengajar dan mengatur langkah terus ke mejanya.  Seisi kelas akur dengan arahan ketuanya mengumandangkan kesejahteraan.  Ungkapan yang tidak akan terdengar lagi selepas kawasan sekolah ditinggalkan.  Hanya di dalam siri kartun Upin dan Ipin dengan lenggok tersendiri bikinan Ehsan.   Danish meninggalkan jelingan sebaik sahaja kelibat Puan Asmah dilihatnya ketika dia berada di bahagian belakang kelas 5 UPM tadi. 
           
“Danish, sila ulas balik penerangan saya tadi,”  suara Cikgu Toha, guru Bahasa Melayunya menggema.  Ah sudah!  Angin tak ada, ribut tak ada, kenapa aku yang menerima tempias.  Danish menyumpah di dalam hati.
           
“Hah! Lain kali, amalkan sikap berangan dan membilang kaca tingkap semasa saya tengah mengajar,” sindir Cikgu Toha. 

Soksek-soksek senada dengung kumbang mengganti suasana senyap sunyi tadi. Ada yang ketawa kecil, tersenyum dan tak kurang juga tanpa malu melambakkan ketawa.

            “Ya, Abang Azizan.  Apa yang lawak sangat?  Ulas balik satu isi yang saya nyatakan tadi,” tanpa belas kasihan, tembakan kata berarah kepada Azizan yang riang-ria mengetawakan Danish tadi.  Ketawanya punah di situ juga.  Mengeliang-ngeliot bangun dan tersengih-sengih.  Danish senyum sinis.  Padan muka.  Agak-agaklah nak ketawa. 
           
“Dua-dua, dipersilakan keluar.  Berdiri kat luar sampai habis kelas,” Cikgu Toha mengundur daripada kedudukannya dan kembali ke kawasan hadapan kelas.  Dia menepuk-nepuk tapak tangannya, membiarkan sisa kapur berterbangan. 
           
“Balik sekolah nanti, kau cari Nadra.”  Danish bersuara separa berbisik.  Matanya mengarah kepada Cikgu Toha.  Mulutnya ke arah Azizan.
           
“Nak buat apa?”
           
“Kau sampaikan pesan aku.  Aku nak jumpa dia,”
           
“Kalau dia tak nak?”
           
“Kau cakap aja pada dia, aku tunggu dekat tangga Blok C, lepas habis sekolah.”
           
“Tak mahulah aku,” Azizan menolak. 

Suaranya sedikit melengking.  Cikgu Toha menoleh.  Rakan-rakan sekelas lainpun memancarkan pandangan kea rah mereka.  Kedua-duanya tersenyum sambil mengangkat tangan.  Malu tidak terkirakan.  Bukannya tidak boleh dikenal oleh sekelian penghuni sekolah.  Didenda begitu, bisa menebalkan muka atau sebaliknya.  Menjadi lebih terkenal. 
           
“Ingat!”  pesan Danish.  Sekali lagi.
             

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...