1989
AKU kena menulis biodata macam si
dia itukah? Tak perlulah. Malu pula.
Aku bukan siapa-siapa. Lalu,
terpaksalah aku mengenalkan diri yang tampan, berwajah Melayu dan berketinggian
Melayu ini kepada kalian.
Di
kawasan perumahan setinggan Kg Pinang, siapa yang tak kenal aku. Sebut sahaja Boy, semua orang boleh
membayangkan seorang budak lelaki berbadan kecil, bersuara nyaring dan berkaki
pantas. Ahli jawatankuasa masjid sahaja yang mungkin tak mengenali aku. Kerana?
Akupun tak mengenali mereka!
Nama
sebenarku, Nazri. Sebenarnya aku boleh
dipanggil Nazri. Naz atau Zeri oleh
sesiapa juga. Tetapi kawan-kawan sekolah
adalah merangkap kawan ‘setaman’ maka sehingga ke sekolah, nama Boy juga yang
terpaksa aku junjung. Aku ingatkan
sekali lagi ya, Boy. Bukan Boboboi. Ataupun Boboi Maharaja Lawak.
1989, aku masih
anak-anak lagi. Begitupun sudah pandai
mengintai harumnya kembang. Sudah pandai
menghulur salam berbaur cinta. Biarpun
kebiasaannya cinta itu dimiliki oleh monyet dan spesies yang sewaktu
dengannya.
Aku pelajar
tingkatan tiga Sekolah Menengah Petaling.
Sekolahku berhampiran jalan besar, tetapi dihijabi oleh perkampungan
setinggan yang sinonim dengan negeri kelahiranku ini. Tiada apa yang menarik hendak aku
coretkan. Ia menjadi menarik hanya
sesudah aku menjadi pelajar tahun kedua sebuah sekolah vokasional di
Bentong. Sekolah itu dibuka pada tahun
1989. aku adalah pelajar kelompok kedua,
bermakna pelajar ‘junior’ yang ulung di situ.
sengaja dikelabukan utk menjaga hati beberapa pihak - kredit utk tuan Izham Ahmad. |
Aku melempar diri
jauh ke perbukitan Bentong bukan kerana alasan seperti si dia. Klise.
Ingin lari dari masalah. Masalah,
mana mungkin dibawa berlari. Tetap akan
terus bergayut di kaki sampai mati.
Tipulah kalau si dia menjadi ‘ahli’ vokasional dan kemudiannya semua
masalah terkubur. Pada nisannya tercatat
Masalah. Dikebumikan pada sekian-sekian
tarikh. Tiada.
Malah, di
vokasional jugalah aku bertemu dengan si dia itu, dan kami mencipta pula
masalah baru. Masalah apa? Klise lagi?
Tidak, cinta monyet itu lumrah.
Penyeri untuk anak-anak sekolah yang suka berkasih-sayang seperti aku.
Satu perkara yang
sedikit pelik dengan diriku, aku memang pantang melihat sesuatu yang
berenjin. Jiran dinding aku ialah Abang
Jack, Abang Mus dan Abang Rahim.
Kesemuanya bekerja sebagai penghantar surat .
Setiap petang atau
hampir malam, mereka akan mula bermesyuarat.
Minit mesyuarat dicatatkan dengan deruman enjin motosikal. Hidangan mereka adalah lepasan-lepasan asap
yang berlari-lari keluar berbau petrol dan kemudian hilang disapa angin. Penangguh mesyuarat biasanya ialah Mak Cik
Kiah! Apabila azan maghrib berkumandang
dan mereka menjawab azan dengan cara kurang wajar itu, tunggulah kedatangan Mak
Cik Kiah.
“Kau orang ni, nak
aku tebas seorang-seorang? Masa Maghrib
nilah nak memekak. Hormatlah sikit azan
tu. Kalau kau orang tak hormat, tak
jawab, kau ingat orang lain nak tolong jawab?”
Mak Cik Kiah bertubuh rendang biasanya akan muncul dari belakang
rumahku. Lebuhraya buat kami yang
merupakan pintu depan rumahnya.
Waktu itu,
bertempiaranlah ketiga-tiga abang itu mengemaskan peralatan mesyuarat
mereka. Kalau aku ada di situ, aku juga
terlibat dalam operasi mengemas ataupun aku gelar ‘menolak ke tepi dengan
kaki’. Begitupun, mereka tidak pernah
menjawab kata-kata Mak Cik Kiah. Paling
tidak, mereka melarikan diri ke dalam rumah.
Kalau sudah terperangkap, sengihan mengganti kata maaf. Tapi maaf mereka ketika itu sahaja. Esok, aku akan menumpang tenggek lagi melihat
kepakaran mereka mengubahsuai enjin motosikal.
Anak setinggan,
jika seusia 10 atau 11 tahun masih belum tahu memulas pedal, menukar gear
motosikal, bukan anak setinggan sejati namanya.
Kami anak setinggan tahan lasak.
Hidup di dalam suasana kurang selesa, mematangkan kami. Mengeraskan hati kami. Memejalkan jiwa kami. Rumah kecil, hidup dengan adik beradik yang
ramai berhimpit-himpitan tidak pernah menjadi kudis untuk aku menidakkan
kebolehanku.
“Kau ni, esok nak
SRP. Pergi baliklah!” marah Abang Mus padaku. Agaknya apa yang aku buat sekarang, adalah
ulangan perlakuannya satu ketika dulu.
Waktu itu, esok pagi jam 8.00 kertas pertama. Bahasa Malaysia .
“Kau nak jadi apa
Boy? Malas belajar. Jadi mat despatch
macam aku. Nak buat apa. Gaji sikit.
Nak bermewah-mewah tak boleh.
Duduk rumah setinggan. Perempuan
pun fikir sepuluh kali nak dekat, tau!”
“Ala , abang ni. Boy bukannya malas. Masalahnya kepala Boy ni dah santak. Dah penuh.
Nak menghafal-hafal. Abang tahu
berapa subjek nak hafal?”
“Yang
kau hafal buat apa, cikgu suruh baca.
Fahamkan. Patutlah tak
pandai-pandai. Engkar. Degil cakap cikgu!” suara Abang Mus meninggi. Tetapi di hujungnya dia ketawa. Mengetawakan dirinya sendiri, agaknya. Dia
mencangkung semula di depan motosikalnya.
“Kalau
boleh Boy nak jadi macam abang. Tak
payah belajar. Tak payah kerja. Duduk mengadap enjin sepanjang masa,”
“Ha’ah.
Lepas tu bila lapar, kau hadap enjin tu,” tukas Abang Rahim yang meluruskan
kaki. Menarik sedikit seluar jeans yang
rabak lututnya. Ketat-seketatnya.
“Kasihan
kat mak abah kau, Boy. Kau belajar dulu,
lepas tu barulah kau fikir nak buat apa.
Kerja kau sekarang belajar,”
Abang Rahim bersuara lagi.
“Abang
ni macam mak, macam kakak Boy lah,” aku
tunjukkan muka dan nada kurang senang.
Mereka berdua sekadar tersenyum.
“Terlanjur
kau cakap fasal kakak kau, Boy. Balik
nanti, Boy beritahu dia, Abang
Mus kirim salam. Abang nak ajak dia tengok Muzik-Muzik
akhir. Abang ada dua tiket!” Abang Mus bersungguh-sungguh. Bulat matanya.
“Abang
cakaplah sendiri,” aku sedikit jauh hati
dengan Abang Mus dan Abang Rahim.
Tiba-tiba. Aku rasakan mereka tak memahami diriku. Otakku memang sudah tidak mampu menghadam
apa-apa yang bertulisan lagi. Formula
matematik, berlebih lagi. Terasa apa
yang aku baca menjelang SRP, tertinggal di pinggir telinga. Atau hanya bergayut di hujung bulu mata. Tidak masuk ke dalam saraf-saraf dan tiada
maklumat yang mendarat di benak.
“Apa nak jadi
dengan awak semua ni ha?” Itu soalan
paling popular di dalam kelasku. Kelas
Seni Perusahaan 3. Kelas corot yang
menempatkan kaki ponteng, kaki buli, kaki pukul untuk pelajar sessi
petang. Jika sepuluh orang guru yang
masuk, sepuluh-sepuluh akan bertanya perkara yang sama.
Sepatutnya, mereka
yang menentukan apa yang akan berlaku pada kami. Mereka guru.
Mereka diajar, diberi latihan mendidik.
Sepatutnya kerja mereka mendidik.
Kami mana tahu. Kerja kami
belajar. Bukan ‘berdidik’. Kami belajar apa yang diajar dan bukannya apa
yang dididik.
Ketika
kelas-kelas cemerlang lain semakin giat menggandakan latihan, latih tubi dan
kelas tambahan, kelas kami sudah boleh diumpamakan tongkang pecah. Cikgu Rafidah cuti bersalin. Sekolah memang kekurangan guru. Maka, di dalam kesempatan yang ada untuk
dijadikan alasan, jadilah kami mangsa.
“Semua pelajar
tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang,”
“Semua pelajar
tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang.”
Ketua Pengawas
sessi petang itu cuma melaung di sepanjang koridor kelas. Mencicit-cicit kami keluar dari kelas. Keriangan.
Bukan kerana berkesempatan tidak belajar. Sebab, sememangnya kami tidak
belajarpun. Tetapi kesempatan menghirup
angin dan mencuci mata dengan pemandangan yang lebih menarik. Daripada yang ada di dalam kelas.
“Tingkatan 3P3,
kamu semua duduk barisan depan.” Melalui
pembesar suara, Cikgu Salleh, Guru Kelab Bimbingan dan Kaunseling memberi
perintah.
Pembesar suara di
tangan kanan, dia berdiri di kerusi yang paling hujung barisan pertama. Tangan kirinya melambai-lambai ke arah aku
dan rakan-rakan. Sebaris keluhan seperti
‘alamak,’ ‘apahal pulak’ atau a sahaja kedengaran. Rupa-rupanya dua barisan telah dikosongkan
khusus untuk perwira bangsa seperti kami.
Dengan bangga dan
malu-malu alah, kami melewati pelajar-pelajar kelas lain, perempuan terutamanya
menuju ke baris hadapan. Aku seperti
biasa, meraup rambut ke belakang dan menarik sedikit longgokan rambut di depan
agar terjuntai di dahi. Baju dan tali leher aku kemaskan biarpun
nampak serba tak kena dengan seluar hijau yang telah diubahsuai dan diketatkan
di bahagian lutut dan ke bawah.
“Hari ini, saya
akan menerangkan tentang peluang belajar sebaik sahaja anda semua menamatkan
pengajian peringkat SRP.” Ayat cikgu
Salleh memang tidak pernah gagal merangsang minda kami. ‘Menamatkan pengajian’ digunakan untuk
memberi semangat seolah-olah kami lepasan universiti.
“Saya perturunkan
beberapa alternatif selain daripada pendidikan konvensional yang akan anda
semua terima jika anda memilih untuk meneruskan tingkatan empat di sekolah ini
ataupun mana-mana sekolah harian yang ada.”
aku masih belum dapat menangkap maksud Cikgu Salleh. Sehinggalah dia menuliskan di papan putih,
MRSM, sekolah berasrama penuh, teknik, vokasional, agama.
Cikgu Salleh
memberikan risalah tentang keperluan-keperluan yang perlu ada buat seorang
pelajar untuk melayakkan diri pada sekolah-sekolah yang dinyatakan tadi.
Buat pertama kalinya, aku
memberikan perhatian kepada risalah di tangan.
Juga kepada penerangan Cikgu Salleh.
Di dalam minda aku menolak kesemua kriteria kecuali untuk ke sekolah
vokasional.
Kursus-kursus
yang ditawarkan. Kursus-kursus teknikal
seperti Automotif. Binaan Bangunan. Kerja Kimpalan. Penyamanan Udara. Elektrik dan Elektronik. Amalan Bengkel Mesin. Perdagangan.
Pertanian. Sains Rumahtangga. Mataku tertancap pada perkataan pertama. Automotif.
Aku tersenyum. Terima kasih Cikgu
Salleh. Kata hatiku.
No comments:
Post a Comment