Che’ mon dah nak mula ke bab yang serius
sikit. Mana autobiografi ‘aku sebatang
pen’ tu. Bawa keluar. Kita nak membedah.
Atau che’ bagi satu idea. Anda mungkin sedang menjaki jipang tahan
gaban dengan kawan-kawan sekolah/kawan sepejabat/jiran anda yang gediks, atau terhegeh-hegeh. Luahkanlah rasa hati dan rasa kepala tu.
Sebelum che’ teruskan, che’ nak bagi tahu.
Jangan salah anggap dengan paparan panduan
ini. Che’ nak berkongsi dengan kawan-kawan yang baru nak belajar menulis. SRT yang tak tahu nak buat apa.
Bagi anda yang dah pro, kalau sudi baca, Che’
Mon ucapkan terima kasih. Ini sekadar
perkongsian kerana che’ tahu di luar sana ramai orang yang ingin kisah hidupnya
diteladani ramai orang dan dibukukan.
Mereka mungkin ingin belajar dengan
penulis-penulis terkenal tapi sang penulis sudah kehilangan waktu. Mereka juga manusia biasa. Bukan sombong, tetapi hidup sudah padat
dengan kesibukan dunia penulisan mereka.
Ada kursus-kursus penulisan yang ditawarkan
tetapi menuntut bayaran yang luar biasa lumayan. Maka tips di blog ini, harapan che’ dapat
memberi manfaat. Ilmu milik Allah. Bukan hak che’ untuk meletakkan sekian-sekian
harga. Sama-sama kita kongsi.
Che’ terpaksa juga kenalkan diri kerana che’
tahu kredibiliti che’ sekarang sedang dipertikaikan (walaupun di dalam
hati). Che’ bersangka baik dengan alasan
Che’ Mon yang salah kerana tak perkenalkan diri.
Nama che’ kat atas tu adalah nama dalam ic.
Bukan nama samaran. Che’ mula
menulis pada 1989/90 dengan cerpen che’ yang pertama tersiar dalam majalah Remaja. Tak salah che’ tajuknya ‘bagaimana harus aku
membencimu.’ Masa tu che’ guna nama
Atilla AM.
1991, Che’ mengorak langkah menghantar karya
ke Dewan Siswa. Tahun yang sama che’
terpilih mengikuti minggu penulis remaja
anjuran DBP. Tok guru che’ pada masa tu
ialah almarhum Pak Othman Puteh. Antara
geng-geng kelas che’ masa tu ialah Salina Ibrahim, Uthaya Sangkar, Roslan Jomel
dan ramai lagi, pernah dengar nama mereka kan?
1991, 1992,1993 che’ menang hadiah sastera
siswa kategori cerpen seperti yang anda dapat tengok antologinya kat sebelah
kanan blog ni. Pada tahun 1991 juga Pak
Othman juga menyelenggara dua antologi dan cerpen che’ terlibat sama. Lihat sebelah.
1994, che’ muncul dengan novel pertama bersama
CESB tajuknya Seindah Lukisan Hati dan 1996 sebuah lagi judul juga bersama CESB
bertajuk Dilema Hasrat. Kedua-dua novel
itu tak menjulang nama che’ kerana dangkalnya ilmu che’ dalam pemasaran dan
kesibukan meladeni pengajian di pantai timur tanah air. Dalam pada itu, che’ terus menulis cerpen dan
kadang-kadang ke majalah.
Kemudian che’ mula tenggelam dengan kesibukan
membesarkan keluarga tetapi sempat muncul dan menang dalam pertandingan menulis
cerpen anjuran majalah Jelita dengan nilaian hadiah RM5k (lebih kurang) ketika
itu. Masa tu 2007.
Karya terkini che’ dalam Seri Dewi dan Keluarga,
Januari 2013 – ‘akulah jintan akulah halia.’
Juga di dalam majalah Wanita Januari 2013 – ‘sekeras waris, selembut
sillaturrahim.’ Novel terbaru akan
muncul pertama di alaf baru, insyaAllah. Che’ juga sedang
berjinak-jinak dengan penulisan rencana dan genre non-fiksyen untuk
mempelbagaikan pengalaman.
Oh, ya che’ lulusan sains kesetiausahaan yang
kini menjadi PM di rumah. Sekarang rutin
menulis che’ 3x sehari. Waktu tak tetap
tapi mesti 3x atau maksima 4x. Tak kiralah menulis novel @ rencana@ catatan
merapu. Cerpen pula che’ tulis seminggu
sekali. Sajak sahaja yang che’ belum
tahu nak selit di mana. Sebab bagi che’ antara banyak-banyak penciptaan, proses mencipta sajak lebih memecahkan
tempurung lutut daripada tempurung kepala!
Tekad che’ sekarang menulis untuk cari makan
dan bukan lagi hobi. Sambil itu nak
berkongsi ilmu yang dipinjamkan Allah dengan orang lain gratis di blog ini. Che’
juga ada satu niat yang akan che’ naikkan di blog ini bila dah berjaya
nanti. Sekarang sedang kumpul bahan dan
sedikit modal.
Dah, cukup.
Mari kita berbalik pada tajuk tema tadi.
Pak Othman Puteh (1992:19)
mentakrifkan tema adalah gagasan cerita, idea atau konsep pemikiran yang
menjadi sarang atau jebak yang merangkum jalan cerita sepanjang proses
penciptaan itu berjalan.
Ia boleh dinyatakan dalam satu perkataan
seperti dendam, cinta atau misteri. Tema
boleh dirangkumkan dan difahami sepintas melalui tajuk (eksplisit) atau
tersirat dan hanya dapat difahami bila kita membaca keseluruhan karya
(implisit)
Cuba teka tema bagi novel-novel di bawah:-
Sunan Musafir -
2012 Ramlee Awang Murshid
Harum Che’mpaka - 2009 Norhayati Berahim
A First Bite -2011
Ruth Ames
First They Killed My Father - 2000 Loung Ung
Impossible -
2006 Danielle Steel
Seterusnya, anda dinasihat menggarap tema yang
dekat dengan diri anda. Jangan ambil
risiko bercerita tentang bilik bersalin kalau anda tak pernah masuk atau tak
pernah bersalin. Oleh kerana ramai
pembaca yang dah ada pengalaman bersalin dan pernah masuk ke bilik tu, mereka akan
mengkritik kaw-kaw maklumat palsu anda.
Atau bagi silent reader, they will silenty leave you...
Begitupun, kalau anda memang pantang dicabar,
teruskan. Tetapi lengkapkan diri dengan ilmu.
Mana nak dapat ilmu? Membaca,
meng goggle dan bertanya. Juga kalau anda nak tulis tema yang klise,
pastikan garapan idea anda segar dan panas dari ladang.
Sudah-sudahlah dengan plot berlanggar bahu
lepas tu jatuh cinta, berlaga pintu, tak kiralah di pintu lif, pintu kereta
atau pintu jamban.
Seperkara lagi jika nak buat tema kekeluargaan/cinta yang
ada slot intim-intim, hijabi dengan gaya bahasa yang cantik dan simbolik. Jangan jadikan karya kita karya roman
picisan. Kosong dan tiada nilai. Kalau pembaca menghidu bau lucah dalam karya
kita, tak fasal-fasal kita menyebarkan dosa.
Apa nak jawab dengan Allah nanti.
Penulis wanita suka mengetengahkan tema
keluarga dan cinta kerana itu yang dekat dengan diri mereka. Tapi Faten Annur Abd Wahab sudah melarikan
diri dengan menghasilkan Dendam Ratu Ular yang sedang hangat di blog Alaf21,
Ilham. Penulis lelaki, anehnya
mempunyai pandangan yang lebih tuntas
apabila berkarya. Salleh Kausari
misalnya mengangkat tema cinta berbaur suspen dan banyak elemen kejutan dalam
Roti Sherbetnya. Maaf tajuk penuhnya : Roti Butterscotch Sherbet Strawberi.
Cukup di sini dulu. Kita sambung dalam topik tema – persoalan.
nota ni che' tamatkan di depan masjid As Salam semasa menunggu boyfriend yang paling handsome, Encik Azman.
*Persediaan Menulis Novel, 1992 Othman Puteh, DBP
No comments:
Post a Comment