..yang bernama sahabat

Wednesday, 30 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 5


“Ada Dhani jumpa Damia?”  soalan nenek terus menampar pendengaran Dhani sebaik sahaja Dhani sampai.

 Sepulangnya dari rumah Maimon tadi, dia terus menekan pedal minyak.  Motor buruknya itu dipaksanya mengerah tenaga tuanya dengan kudrat yang ada untuk pulang ke kampung.  Membiarkan motor selaju kura-kura itu bersaing di lebuh raya untuk sampai kepada nenek.

“Ada, nek.”  Puan Zaiton menghulurkan air kosong. 

Dhani tidak terus naik memanjat tangga.  Ditenggekkan punggung di atas pangkin batu di depan rumah neneknya itu. 

“Dia duduk dengan siapa?”  kurang sabar wanita awal 80an itu bertanya.


“Dengan kawan dia,”  Dhani mengurut dada.  Mengah belum hilang.  Tetapi, nenek memang macam ni.

“Kawan dia tu lelaki ke perempuan?”  Dhani berpaling.  Mencari makna daripada kata-kata itu.  Dipandangnya wajah berkedut Puan Zaiton.

“Ha, kenapa tengok nenek macam tu?”

“Pandai-pandai aja nenek tanya macam tu.  Kak Mia tu memanglah pengasar.  Tapi dia tak jahat,”  bela Dhani.

“Nenek tak cakap Damia jahat. Nenek risau.  Zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi.  Orang tak letakkan agama sebagai pegangan.  Zaman millennia…”


“Millenium la, nek.”  Dhani ketawa mengekek.  Kaki seluar denimnya dikibas-kibasnya.  Berterbangan debu-debu menyerbu.  Puan Zaiton masih bersimpuh di muka pintu.  Sisi kanan tubuh gempalnya disandarkan pada pangkal daun pintu. 

“Kau tak balik rumah dulukah.  Jumpa mak.  Jumpa abah kamu?”  Puan Zaiton bertanya. 

Rasanya sudah diingatkan berkali-kali .sesampai di Kuala Lumpur nanti, sampaikan salam nenek pada mak dan abah.  Jumpa mak abah.  Cium tangan mereka.  Daripada tampang wajah Dhani yang terkulat-kulat itu, dia tahu Dhani mengengkari perintahnya. 

“Nenek suruh cari Damia.  Dhani dah jumpa Damia, Dhani baliklah,” ujar Dhani membela diri.  Puan Zaiton ketawa kecil.  Lurus benarlah tu!

“Apalah yang ada dalam hati perut kamu ni, Dhani.  Tak boleh kamu biarkan hati berlama-lama marah kat abah dengan mak kamu tu,” gesit Dhani bangun. 

Pantang lubang telinganya mendengar syarahan perdana mengenai kedua orang tuanya.  Memanglah ketika Puan Zaiton membuka tabir kata, dia tidak memberi komen.  Tetapi perlahan-lahan, dia akan menjauh.  Sapu punggung dan menghilang.

Neneknya itu arif.  Tetapi sebagai orang tua, tempat rujuk orang muda, dia perlu mempertahankan kredibilitinya.  Mesti teguh menjadi penegur pada sesuatu yang dirasakan tidak kena di mata, menggaru di telinga dan biadap di mulut. Apa nak jadi dengan cucu-cucu aku ni.  Puan Zaiton terus berleter di dalam hati.  Damia dengan panas barannya.  Dhani dengan dendamnya.  Diney dengan pendiamnya.  Danish dengan manja tak tentu arahnya.  Baru empat!

Dhani muncul semula dengan pakaian rasminya.  Parang terikat di pinggang.

“Nak ke mana ni?’

“London.  Nenek nak ikutkah?”  Dhani ketawa. 

Seloroh Dhani membuatkan Puan Zaiton tergeleng-geleng. Dhani dengan karekter serabainya masuk dalam dunianya sendiri.  Dunia ikan patinnya.  Entah apa yang ingin dibuktikannya, Puan Zaiton sendiri tidak tahu.     

“Eh, kamu belum beritahu nenek pasal Damia,” kata-kata Puan Zaiton bagaikan tegahan untuk Dhani menghidupkan motosikalnya. 

“Dia sihat, nek.  Dia siap kirim salam lagi kat nenek.  Dia kata dia rindu dekat nenek,”  Dhani melepaskan kata.  Bosan dengan soal siasat neneknya yang belum habis-habis.  Puan Zaiton melebarkan senyum sinisnya.

“Macamlah nenek ni bodoh benar.  Tak mahunya Damia tu berkirim salam pada nenek ni.  Dia bukan suka pada nenek,”  Puan Zaiton pula melepaskan perasaan. 

Walaupun Damia cucu sulung, pernah dipeliharanya dengan tangan tuanya, Damialah yang paling jauh.  Damia mampu pulang ke kampung setahun sekali menjenguknya.  Itupun kadang-kadang balik hari.   Walaupun Damia cucunya yang paling berjaya.  Baik di dalam pelajaran mahupun kerjaya, Damia jugalah yang paling lokek berkongsi cerita.  Senyumpun payah.  Rungut Puan Zaiton di dalam hati.

“Dia beritahu kenapa dia lari dari rumah?”  asak Puan Zaiton lagi.  Dhani menongkat motosikalnya dan kembali ke atas kerusi batu.

“Tak.”


“Kamu tak tanya,”  Puan Zaiton mengasak lagi.  Dhani kadang-kadang terlalu lembut hati.

“Nek, Dhani nak pergi ke sungai.  Semalam Ai janji nak ambil ikan, nanti lambat dia marah dekat Dhani pula.” Kali ini Dhani menghulurkan tangan.  Menyalami Puan Zaiton menandakan dia serius untuk menamatkan perbualan mereka.

“Bukankah Ai kerja hari ni?”

“Cuti.  Nak tolong Mak Teh kat gerai tu.  Entah apa pula mimpinya.  Dia kata nak bil cuti seminggu.  Nak buat survey,” terang Dhani biarpun dia tahu, Puan Zaiton sudah kehilangan haluan cerita. 

“Kenapa lambat, naik longgar lutut aku tunggu,” marah gadis berkulit cerah berbaju merah yang berdiri di bawah pokok besar di tebing sungai. 

“Allah, tunggu sekejap pun tak boleh.  Aku sengaja bagi peluang kau tunggu.  Nak suruh kau berzikir banyak-banyak,”   seloroh Dhani.  Menyifir muka gadis itu.  Kemerah-merahan menahan kepanasan petang. 

“Nek Ton kata kau pergi ke KL, bila balik?”

“Tadi.”

“Tadi?  Ikan aku macamana?”

“Bukannya kau nak tanya perjalanan aku.  Selamat ke tidak.  ikan-ikan kau juga yang kau sibukkan,”  Aishah ketawa mendengar omelan Dhani. 

“Kau dah terpacak kat sini, maknanya selamatlah.”  Dengan berhati-hati, dia membuntuti Dhani menuruni tebing sungai.  Lincah Dhani menyusuri susunan papan yang dibuat jambatan kecil itu.  Melandut-landut papan yang terentang di antara tebing sungai dengan rumah sangkar itu dilalui Dhani.  Kepungan-kepungan yang menempatkan ikan-ikan patin berbeza umur teroleong-oleng disapa olak sungai.  Sesekala Dhani menoleh ke belakang.  Aishah jauh ketinggalan.  Dia berpaling. Bercekak pinggang.

“Kau ni dah macam ratu cantik baru dapat mahkota.  Terkedek-kedek.  Dah, tak payah ikut.  Tunggu kat situ.  Nanti aku dengan Abang Mubin bawa naik,”  arah Dhani. 

Topi hitam menutupi kepalanya.  Memberi sedikit kekemasan pada wajahnya.  Aishah menarik muka.  Tetapi akur.  Tebingan itu nampak terlalu licin untuk diteruskan perjalanannya biarpun takah tangga menjadi lekukan tempat meletak kaki.   Abang Mubin mengangkat tangan sebaik keluar dari rumah sangkar  di atas sangkar umpama rakit itu itu.

“Kau seriuskah dengan rancangan ni, Ai?”  Jerit Dhani dari atas titian sangkarnya.  Di tangannya kejap terpegang sauk besar.

“Apa, kau pernah nampak aku nak main-main,”

“Ucu Dollah tak marahkah?”

“Mak dah bagitahu dia.  Ucu tak ada halangan.  Cuma mak culah bsing sikit.”  Dhani menggeleng-geleng. 

Ucu Dollah itu adik sepupu mak teh.  Emak Aishah.  Mak teh pula anak saudara sepupu Nek Ton.  Neneknya dengan nenek Aishah bersepupu. Sedang mak cu datang sebagai menantu dan orang luar dari keluarga besar itu.  Apa perlunya dia masuk campur.  Bentak hati Aishah.  Tetapi tidak disuarakan kepada emaknya.  Emaknya nanti akan berkata, biarlah.  Harta dunia.  Bukan boleh bawa mati. Maka matilah kata-katanya.



“Kau tahu, nanti aku nak masukkan gerai aku tu dalam blog.  Gerai masak asam tempoyan ikan patin liar di tebingan Sungai Pahang.  Dengan pemandangan yang indah.  Dengan aroma sungai yang klasik,”  Aishah mendepangkan tangannya.  Dhani ketawa.

“Aku tak marah kalau kau nak berangan, Ai.  Tapi janganlah jauh benar.  Gerai mak teh tu, orang sesat aje singgah.  Semua orang kat kampung ni boleh masak gulai ikan patin.  Buat apa nak beli dekat gerai kau?”

“Aku tak beranganlah.  Kau tengoklah nanti.  Memanglah orang kampung ni tak makan gulai patin mak aku.  Bumi Allah ni kan luas.  Kalau sesuatu produk tu baik, sampai ke hujung duniapun orang cari, kau tau!’  Aishah meneruskan keyakinan sambil terangguk-angguk. 

Menyokong pendapatnya sendiri.  Dua bekas stryoform berisi patin buah yang masih mengelitik di dalamnya didaratkan oleh Dhani dan Abang Mubin.  Dhani mencapai air galian di dalam raga motosikalnya.  Abang Mubin duduk melepaskan lelah di pangkal pokok besar bersebelahan pondok kecil menjual ikan patin secara terus di tepi jalan menghala ke bandar Temerloh itu. 

Kenderaan yang lalu lalang melatam jalan Triang bagaikan dikejar hantu.  Laju-laju belaka.  Pemadangan indah laluan di tepi sungai terpanjang di semenanjung itu tidak menarik lagi apabila masa tidak memberi izin.  Walhal, tanpa sedar jika kelajuan melampau, ada yang akan kesasar ke dalam sungai menjadi tukun buat temoleh ataupun patin liar!

“Buat apa nak tumpang tanah orang.  Kenapa kau tak buka gerai kat depan gerai aku ni.  Senang.  Nak ikan, bila-bila masa boleh tangkap.  Kalau nasib baik, dapat temoleh dapat tenggalan kah, lagi murah rezeki kau dengan mak teh,”  pujuk Abang Mubin yang mendekati mereka.  Kedua-dua bekas tadi dimasukkan ke dalam bonet kereta Viva Aishah.


“Terima kasihlah, abang.  Buat masa ni, modal kami belum cukup lagi.  Ni yang Aishah nak buat kecil-kecilan dulu.  Susahpun susahlah.  Janji usaha Aishah sendiri.”  Aishah menolak baik sambil tersenyum memandang kedua-dua saudara lelaki berkongsi moyang dengannya itu.  Dhani tidak bersuara.  Mengurut-ngurut dagunya yang dipenuhi jambang liar.

Aishah meminta diri setelah menghulurkan wang kepada Dhani.  “Kalau abang ada bekalan patin liar, beritahu Ai ya,”  pesannya sebelum berlalu.  Beserta ucapan terima kasih dan meninggalkan asap berbau petrol.

“Kenapa tiba-tiba aja dia balik kampung?” tanya Abang Mubin.

 Dhani menjongketkan bahu.  Memanglah dia rapat dengan Aishah.  Tetapi, selagi Aishah tidak membuka mulut bercerita, dia tidak akan bertanya.  Dia masuk ke dalam pondok dan melepaskan lelah di atas kerusi malas plastik berpilin putih merah itu.  Patin dan tilapia yang berenang riang di dalam kolam kaca bersebelahan.   Tangannya di atas dahi.

“Sekejapnya kau ke KL, dah selesaikah kes Damia tu?”  soalan Abang Mubin menceburkan kantuknya ke dasar sungai Pahang.

“Dia tak ada apa-apa.  Nenek aja yang risau tak tentu fasal,”

“Cucu dia.  Mestilah dia risau,”

“Nenek aja ingatkan dia, dia mana nak ingatkan nenek.  Sombong!”  kutuk Dhani tanpa sedar.  Berbeza dengan budi bahasa kawan serumahnya itu.  Wajah sederhana, manis mulut, senyumpun tidak terpaksa.  Dhani tersenyum.  Tiba-tiba. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...