inilah akibatnya kalau menulis nak berpelan-pelan, berdraf-draf, akhir kalamnya, memang pelan betul. Lantaklah apa orang nak kata, janji aku tahu apa aku buat. Sekarang, pelan entah ke mana, aku tulis ikut kata hati... sepatutnya akhir Disember dah siap....
BERMULA 1 MUHARRAM 1433 15/11/12
RUMAH
teres setingkat itu bagaikan tersenyum.
Mengalu-alukan kehadirannya.
Damia menarik beg troli yang hanya sempat diisi pakaiannya sahaja. Barangan lain ditinggalkan terus. Maimon Haiza, sedang berdiri di muka pintu. Tersenyum manis menyambut kedatangannya. Berseri-seri wajah bak disimbah cahaya
purnama. Maimon terus sahaja menunjukkan
bilik kedua yang telah disiapkan seadanya.
“Betulkah Kak Mai tak kisah ni?” tanya Damia masih ragu-ragu.
“Betul. Akak
lagi suka Mia duduk di sini.
Sekurang-kurangnya tak adalah akak bercakap dengan ikan puyu aja.” Seloroh Maimon. Telunjuknya mengarah ke akuarium kecil yang
terletak di atas almari tempat kasut.
Seekor ikan puyu sedang berenang-renang santai.
“Mia minta maaf Kak Mai. Bila keadaan dah reda nanti, Mia keluar dari
rumah akak. Mia janji,” Damia menggenggam tangan Maimon.
“Mia, tak payah berjanji-janji. Duduk aja.
Akak tak kisah,” Maimon
meyakinkan.
Bimbang kalau Damia merasakan dia tidak ikhlas. Damia juga bimbang kalau Maimon merasakan dia
tidak ikhlas. Walhal, dia memang
betul-betul terdesak ketika ini. Dia
memang tidak mahu menunggu lama di rumah itu.
Biarpun rumah itu didiami keluarganya. Ibu dan bapa. Adik-adik. Kandung. Bukan angkat, bukan tiri. Semuanya berhubung dengan hubungan darah yang
totok.
Damia mengekori Maimon. Sempat juga dia mengitar pandang
menyeluruh. Ruang tamu itu hanya termuat
sepasang kerusi sahaja. Berhampiran dengan
pintu masuk terdapat tiga rak buku yang penuh dengan buku-buku. Sekali imbas seakan-akan perpustakaan. Disebelahnya terdapat meja dan kerusi mungkin
digunakan Maimon untuk bersantai sambil membaca buku.
Tiada televisyen, tiada bunga, seadanya seperti hiasan
dalam rumah yang sering dilihatnya di dalam majalah. Pasti inilah hidup Maimon Haiza. Membosankan.
“Maaf, rumah akak tak ada tv. Tak ada masapun nak tengok tv.” Maimon menatang minuman dan sepiring cucur
ikan bilis yang digorengnya sebentar tadi.
Damia mendekati Maimon dan cepat-cepat menuangkan
sirap itu sebelum dilakukan Maimon.
Nampak bagaikan mereka sedang berebut-rebut untuk membuat kerja. Mungkin juga Maimon tiada masa untuk diri
sendiri. Fikir Damia. Maimon sentiasa bergerak dari satu cawangan
ke satu cawangan. Kalau tidakpun, dia akan
berada di ibu pejabat. Sebab itu, rambut
Maimon sudah berwarna kemerahan, menandakan uban yang ditutupi dengan inai. Mereka berdua dibungkus kebisuan.
“Kak Mai, Mia...”
Damia cuba
meneruskan kata-kata setelah berjeda.
“Mia, kalau Mia tak bersedia nak bercerita. Tak perlu dulu. Akak cuba faham. Tapi, akak akan sentiasa ada untuk mendengar
cerita Mia,” Maimon memotong kata-kata
Damia dan menjelaskan duduk perkara.
Damia melarikan lafaz syukur yang tertunda-tunda di dalam dada tadinya.
Maimon bingkas bangun mendapatkan telefon bimbitnya
yang menjerit nyaring. Kemudian
meninggalkan Damia sendirian melayani layaran hati. Damia bangun meninggalkan ruang tamu. Dia menempatkan diri di luar rumah. Di atas buaian besi yang sudah berhabuk. Cawan berisi teh yang masih bersisa, kejap di
pegangan. Kereta mewah 4 siri berwarna
hitam terparkir angkuh mendepani Damia sekarang.
“Damia!” Suara
Maimon kedengaran dari dalam rumah.
Damia hanya sempat menoleh apabila sesusuk tubuh
Maimon Haiza sudah berada di muka pintu gelangsar itu.
“Cantiknya Kak Mai, nak ke mana?” Ramah mulutnya bertanya melihat Maimon sudah
mengenakan tudung oren bertingkat yang menyematkan kerongsang berbunga besar
berjurai-jurai di dadanya.
“Ish, tak adalah.
Akak keluar sekejap. Kalau Mia
nak makan, tengoklah apa yang ada kat dapur tu ya,” Maimon bersuara seraya tergesa-gesa
menyarungkan sepatu kulitnya.
Menghidupkan penggera kereta dan seketika kemudian
enjin kereta itu mengaum dalam susunan bunyi yang kemas. Sebaik sahaja badan kereta itu keluar
sepenuhnya, Damia cepat-cepat menutup
pintu pagar dan menguncinya.
“Mia!” Langkah
Damia terhenti. Segera berpaling mencari
arah suara itu.
“Hah, kau! Kenapa?”
Lelaki sederhana tinggi itu berlenggang santai mendekati pintu pagar
berwarna hitam itu. Helmet masih di
tangannya sedang motosikal buruknya ditinggalkan di seberang jalan. Diteduhkan di bawah angsana yang merimbun.
“Apa dah jadi?”
Tangannya memegang besi pagar.
“Tak ada apa-apalah.
Kau tak payah nak sibuk-sbuk!” Damia
menjawab tidak bersungguh.
“Mak risaukan engkau!”
“Aku dah besar, aku tahu jaga diri aku.”
“Mak suruh kau balik,”
kata lelaki itu sambil meraup jurai rambutnya yang terjuntai jatuh
menutupi dahi.
“Aku tak nak balik.
Kau jaga diri kau. Jangan sibukkan
aku. Cermin diri kau. Dengan misai, janggut, tak terurus, apa kena
dengan kau ni?” Suara Damia terus
meregang. Menyatu dengan hangatnya
bahang matahari waktu Dhuha.
“Kaupun jangan sibuk fasal aku. Aku dah besar. Aku pandai jaga diri aku sendiri...” Lelaki itu tiba-tiba memejalkan suaranya.
Tetapi tidak berganjak. Perbualan mereka yang penuh emosi itu
tercantas apabila ngauman enjin kereta tiba-tiba bagaikan berlabuh di kaki
lelaki itu. Maimon Haiza membrek mengejut
dan tergesa-gesa keluar dari kereta.
“Mia, awak okey?”
Wajahnya cemas memandang Damia.
Sesekala kerutan dahinya berlapis-lapis dan menukar pandang di antara
kedua-duanya.
“Awak siapa?
Awak nak ganggu Mia kah?” Maimon
meninggikan suara. Melihat keadaan
fizikal lelaki itu memang menakutkan.
“Maaf, saya abang dia.
Dhani.”
Dhani menggaru-garu belakang kepalanya. Mengerti dengan riak cemas di wajah perempuan
itu. Jika tidak diterangkan duduk
perkara, mahu ada yang bermalam di lokap tanpa sebab.
“Abang?
Betulkah?” Maimon bertanya dan
menekan kata-kata. Tangannya menolak
pintu pagar dan memberi laluan kepada Dhani untuk mendahuluinya. Teragak-agak, Damia mengangguk-angguk.
“Kenapa awak biarkan abang awak berdiri di luar
aja? Kenapa tak jemput dia masuk. Tak baik tahu,” Maimon terus melepaskan
kata-kata. Seadanya, sudah terbiasa
dengan sikap suka menegur.
“Tak apalah. Di
sinipun tak apa,” Dhani menolak
baik. Merasa senang dengan budi bahasa
perempuan itu berbanding dengan adiknya.
“Kalau tak mahu masuk ke dalam rumah, duduk di buaian
itupun tak apa. Asalkan jangan di pintu
pagar ni. Tak manis dipandang
jiran-jiran.” Nasihat Maimon, lembut. Damia membisu. Maimon masuk ke dalam rumah. Keluar tidak lama kemudian dengan menatang
sedulang minuman sejuk.
“Jemput minum Encik Dhani. Damia, akak nak keluar semula. Tadi tertinggal telefon. Kalau ada apa-apa, bincang baik-baik ya,” Maimon menunjukkan telefon pintar di
tangannya.
Dia bertukar senyum dengan Dhani sebelum berlari anak
ke keretanya yang diparkir di luar pagar rumah.
“Siapa dia tu?
Baik sungguh budi bahasa. Tak
macam kau!” Di dalam memuji, sempat lagi
Dhani menyindir. Damia menarik muka
empat belas.
“Tuan rumah ni.
Kau sibukkan aku kenapa? Mak tahu
aku keluar dari rumah tu. Abahpun tahu.”
Damia berpeluk tubuh.
”Kalau
mak tahu, kenapa mak telefon aku, suruh cari kau,” Dhani ketawa kecil. Semenjak dahulu Damia memang tidak pandai
menipu.
“Kau cakap aja pada mak. Aku baik-baik saja. Nanti, bila tiba masanya, aku baliklah.”
“Apa yang dah jadi sebenarnya?” Dhani melunakkan suara.
Bangku plastik kecil yang diam pegun di tepi dinding
ditarik dengan kaki. Sebelum dia duduk
di atasnya. Serba tak kena
kelihatannya. Bagaikan dia terapung di
awangan. Kerusi kecil itu hilang di bawah badannya. Damia tidak menjawab. Hanya keriut buaian diayun semakin kuat
kedengaran.
“Aku nak tahu, apa cerita
sebenarnya,” Dhani meluruskan kedua-dua
kakinya. Jedanya pecah.
“Malaslah aku nak ingat-ingat
balik. Kau tanyalah mak!”
“Aku dah tanya, mak cakap, makpun
tak tahu. Tiba-tiba aja kau ambil
keputusan keluar dari rumah tu. Setahu
aku, rumah tu rumah kau. Kalau tanpa
sebab yang kukuh, takkanlah kau sanggup keluar dari rumah sendiri.” Pandangan Damia menjurus ke hadapan. Menembusi segala apa juga yang ternampak di
depan mata.
Semenjak dahulu dia dengan Dhani memang pantang
bertemu roma. Ada-ada sahaja yang hendak
ditekakkan. Takkanlah sekarang, dia
hendak berkongsi cerita. Tak perlu. Hasut hatinya. Lagipun, apalah yang boleh dilakukan oleh abangnya
itu.
“Aku tahu, kau tak nak kongsi dengan aku. Yalah, aku ni bodoh. SPMpun tak lepas. Lain macam kau. Lepasan universiti. Tanggung keluarga lagi. Aku ni menyusahkan keluarga lagi ada,” Dhani bersuara separa merajuk separa
menyindir. Damia mencemik.
“Tahu tak apa!
Biarlah aku selesaikan sendiri. Bukan
besar sangat. Tahulah aku nak
selesaikan. Kau tu, jaga diri. Lepas tu, jangan datang sini lagi. Malulah aku.
Nanti Kak Mai halau aku fasal engkau,” Damia terus membebaskan kata-kata
tanpa lapiknya.
Dhani ketawa kecil mendengar kata-kata sombong kakak
sulungnya itu. Dhani gesit bangun.
Menyapu-nyapu punggungnya dengan tangan.
Seretan selipar jepunnya menyakitkan telinga Damia. Segala-galanya mengenai Dhani memang
menyakitkan hati.
“Eh, tunggu sekejap,”
Damia menahan ketika Dhani sudah berada di luar kawasan rumah itu. Damia masuk ke dalam rumah sebelum
tergesa-gesa keluar semula. Sekeping not
lima puluh yang
renyuk dihulurkan. Dhani senyum
sinis.
“Ambillah,” not lima
puluh itu masih di tangan Damia.
“Sombong pula tu.
Tak sedar diri,” Damia menarik
tangan Dhani. Dengan wajah mencukanya,
wang tadi diletakkan di telapak tangan Dhani.
“Jangan kau gunakan duit tu untuk beli benda haram
jadah tu pula,” pesannya berbaur
ugutan. Dhani tidak menoleh lagi.
Ikutkan hati, memang terguris
mendengar hentaman kata Damia itu.
Tetapi telinganya ini sudah lali dengan tohmah maki sebegitu. Bukan daripada orang lainpun. Adiknya sendiri. Bukan sekali dua dia meninggikan suara.
Semenjak kecil, letusan permusuhan berentetan.
Kadang-kadang dengan sebab yang tidak boleh diterima akal.
Keluhan kecil terluah sebagai
rumusan daripada pertemuan itu. Dia
masih tidak mendapat jawapannya.
No comments:
Post a Comment