..yang bernama sahabat

Sunday 22 December 2013

Bertuahnya Yaya (Kabus Rindu)

Assalamualaikum.

Watak Yaya (Zaweeya) dalam Kabus Rindu sebenarnya adalah imbasan watak salah seorang puteri aku. Dia memang sangat rajin tahap tukul The Thor, ketuk di Malaysia boleh terasa sampai ke bulan! Tapi tak bolehlah aku nak sebut selalu ayat negatif tu sebab pakar keibubapaan kata tak baik. Lalu bila kemalasan dia melanda, aku selalu gelar dia menantu sultan Johor.

Nak ambil berkat macam Duli Yang Mulia Raja Permaisuri Agung sekarang. Dalam satu temuramah majalah, baginda pernah bertitah yang bonda baginda menggelarnya permaisuri sebab baginda selalu bangun lambat.

Jadi, apa salah aku gelar anak aku menantu sultan pulak kan?

Ini antara babak aku menggambarkan betapa bertuahnya Si Yaya ni...

Perut yang kelaparan sudah menadah minta diisi.  Dibukanya kabinet dapur sebelah atas.  Manalah tahu, kalau-kalau ada simpanan mee segera.  Nil.  Aduh!  Terasa mahu dibalingnya tin susu bergambar teko yang beratur di depan matanya.  Hendak menggoreng ayam, perlu menunggu ayam umpama batu itu lembut dahulu.  Hendak menggoreng ikan, tidak pula arif dia melihat keadaan ikan yang sudah masak itu bagaimana.  Sebanyak mana minyaknya. 
           
Hendak menggoreng sayur, menyiang kangkungpun Zaweeya tidak pandai!  Bayam apatah lagi.  Ikutkan dia, dimasukkan semua tanpa bersiang.  Apa yang disusahkan benar hendak disiang kalau semuanya masuk ke dalam perut? 
           

“KEEYA, kalau Keeya nak tahu, itu alasan orang terlebih rajin.  Ada-ada saja alasan dia.”  Teringat kata-kata mamanya apabila dia memberi alasan apabila disuakan sebekas bayam untuk dikerjakan.  Sayur paling ringkas dimasak.   Sup bayam bercampur ayam.  Berkhasiat dan menjimatkan. 

Hidayati menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan menjaga aspek pemakanan.  Setiap hidangan perlu ada sayuran atau buah-buahan.  Buah-buahan harus dimakan sebelum makan nasi.  Selain dari salah satu sunnah Rasulullah S.A.W., ia dapat mengurangkan kadar pengambilan kabohidrat dan protein di dalam nasi dan lauk-pauk kerana perut sudah beralas.  Satu kemestiannya yang cuma diikuti Zakeeya sahaja.
           
“Tapi, bila waktu makan, tak payah dipersila, tak payah dijemput, dialah orang pertama yang menyorong pinggan,”  ulas Hidayati lagi.   Zakeeya ketawa mendengar kata-kata mamanya itu.

  Zaweeya memang suka memberi alasan apabila disuruh ke dapur.  Ataupun disuruh membuat apa-apapun.  Jawapan yang paling popular ‘nanti sekejap’.  Membawa makna, ‘saya tak mahu buat’.  Ataupun jawapan biasa, ‘Yaya penat’, ‘Yaya mengantuk’, ‘suruhlah orang lain, asyik suruh Yaya aja’.  Semuanya membawa maksud sinonim dengan yang pertama tadi iaitu ‘saya tak mahu buat.’
           
“Tak baik mama menjatuhkan air muka anak di depan anaknya yang lain tau, ma.  Yayapun anak mama.  Keeyapun anak mama.  Pilih kasih namanya tu…”  Zaweeya membuat andaian. 

Mempamer wajah terluka yang dibuat-buat.  Biarpun dia tahu, mamanya tidak akan terkesanpun dengan teknik psikologi amaturnya itu. Memutar topik agar tiada hentaman kata menujah kepadanya lagi.
           
“Yaya tu tak pilih kasihkah?  Bila mama suruh tolong masak, tolong kemas, Yaya bagi seribu alasan.  Bila tiba waktu makan, waktu makan angin, kenapa Yaya tak bagi alasan.  Kalau mama pilih kasih, mama tak bagi Yaya makan, tahu?”  Zaweeya terkebil-kebil.  Nawaitunya untuk mengelak,  Menamatkan perang kata, tiba-tiba lain pula jadinya.
           

Akhirnya, Zaweeya mencapai dua biji telur.  Dihidupkan api dan telur dipecahkan di dalam kuali tanpa minyak dan dikacau dengan sudip sehingga hancur.  Direnjis sedikit kicap masin dan kicap manis.  Tangannya mencapai majalah Mekar yang berwarna jingga pada tulisan jawinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...