Wafi Ikhmal pada mulanya tak adalah kuat benar peranannya. Sebab aku tak berniatpun nak 'menjatuhcintakan' dia dengan Zaweeya. Tapi entah macam mana pulak, bila Indera Laksamana yang tampan gunawan tu masuk campur, aku rasa aku perlu selamatkan Zaweeya daripada mimpi dia tu.
Sebab, Zaweeya kalau dapat berangankan Indera Laksamana, dia dah tak pedulikan sesiapa lagi. Sampaikan Wafi pun diserunya Indera Laksamana. Mana tak perasan kawan tu!
Wafi Ikhmal aku gambarkan budak macho sebab dia anak kacukan. Papanya Edward Arie Glas lelaki Belanda berketurunan Indonesia-Belanda yang berkahwin dengan Ungku Izzaidah.
Maklumat tentang Belanda dan sedikit latar ini aku peroleh daripada ipar aku yang berkahwin dengan warga Belanda yang baru dijemput Allah sebulan yang lepas. Almarhum ada beritahu nak hadiahkan aku kamus Belanda-English dan antara penyokong kuat kerjaya aku selain suami dan anak-anak. Tapi itulah, tak sempat nak tunjuk novel ni kat dia.
Dulu, kalaulah ada rezeki, boleh aku minta tolong dia terjemahkan ke dalam Bahasa Belanda sebab profesion terakhirnya ialah penterjemah. Tapi Allah lebih mengetahui kan.
Zaweeya mengangkat muka apabila
merasakan ada pandangan yang sedang menghala padanya. Seorang lelaki berbusana amat berbeza
berbalam-balam bayangannya di belakang Wafi.
Berseluar panjut dengan kilau
kemilau bagai cermin kecil pecah berderai terlekat di setiap sudut seluar. Memancar sinar memanah wajah bertambah
indah. Bajunya daripada sutera baldu
bergelar ainul-banat, indahnya dicabik sikit dijerumat. Berkain tenun dondon
dari tanah besar China. Tengkoloknya bagai pelangi zaman dahulu, tiap sudut
terlipat menyimpan hikmat. Bagai
tersusun hajat tak sampai.
Di pinggangnya tersisip keris sempana gajah
rias. Dikata orang retak diturut dek
panjut putih, besi dititik besi lalu ditinting dari keratan tongkat Nabi Adam
berasal daripada serpihan khersani.²
“Putera,” terpacul sepatah ayat dari
mulutnya. Dia semakin mendekati Wafi.
“Putera Indera Laksamana,” panggil Zaweeya. Berada betul-betul di depan Wafi
sekarang. Wafi menoleh ke kiri dan ke
kanan.
“Yaya,” dipanggilnya nama Zaweeya. Berkali-kali.
Haikal juga mendekat dan memanggil-manggil nama Zaweeya. Jerit-pekit Zakeeya bermain air mati
tiba-tiba setelah diarah diam oleh mamanya.
Wajah sempurna milik Putera Indera
Laksamana itu terus memukau pandangan Zaweeya.
Bagaikan mahu diusap kulit mulus bagaikan telur baru berkupas itu.
Pipinya bagai pauh terlayang dengan hidung kuntum bunga serayu. Telinga bagai telepuk layu dengan dahi cantik
bagai sehari bulan.
Semuanya serba sempurna dengan
kening lengkuk taji dan lehernya jinjang bagaikan buyung Petani. Segala-galanya serba sempurna dan
mengasyikkan. Putera Indera Laksamana menghulurkan jemarinya. Mereka masih bertatapan. Bagaikan dialah Kembang Dahlia yang melagukan
‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’.
“Yaya,” jerit Hidayati melihat Zaweeya
terkulai di dalam dakapan Wafi yang menyambutnya sebaik sahaja dia mulai
kehilangan tenaga dan hampir terkulai di pangkal pokok getah tua itu.
No comments:
Post a Comment