DENGAN firasat Dato Nakhoda Tajam Batu, Putera Indera Laksamana segera
menitahkan bahawa diturunkan perahu menyusur tebing kerana baginda mahu
bertukar sarung menyamar diri menjadi jelata.
Ditukar juga gelarnya kepada Awang Deli dan Awang Gagah tetaplah dengan
gelar asalnya. Awang Gagah yang sesekala
tersasul menyeru nama baginda, dimurkainya tetapi cuma seketika. Tatkala dilihatnya ada desa berorang,
merekapun menyinggah melepas lelah.
Maka jelata yang ada
tiadalah terperasan akan mereka. Manakan
tidak, ke istana tidak dijejak. Manalah
tahu rupa sebenar anak raja itu. Hanya
mendengar cerita disampai orang tentang
muluk paras rupa dan elok laku sehingga menjadi igauan dara desa.
Arakian, setelah lama
berdayung haripun petang. Maka
berkatalah Awang Deli kepada Awang Gagah supaya sekali lagi merapatkan perahu
ke tebing. Maka dirapatkan perahu ke
tebingan dan Awang Gagah terjun ke dalam sungai. Air sungai separas pinggang orang tua itu
diharungnya dan menarik perahu ke tebing.
Dicarinya kayu buat mengikat tali perahu.
Indera Laksamana, satu lagi watak 'keras' dalam Kabus Rindu. Keras macam mana? satu memang dia berhantu sebab dia memang hantu, dia wujud di dalam minda Zaweeya aje. Kedua, saya gunakan era Indera Laksamana untuk menyerap elemen syair dan bahasa klasik. Walaupun Indera Laksamana nampak sempurna saya garapkan sikap manusia pada dirinya.
Indera Laksamana dalam era kini adalah Wafi Ikhmal dan Kembang Dahlia, perawan desa yang diburunya yang suka mengidung serta malas ke dapur adalah Zaweeya. Kembang Dahlia dan Zaweeya, di mana-mana zamanpun memang memeningkan kepala bondanya. Aduhai...
No comments:
Post a Comment