BAB LAPAN (8)
MATA-mata
asing yang menudak wajah mereka berdua ternyata merimaskan. Setelah
berbasa-basi mereka berdua kembali ke meja masing-masing. Cawangan ini agak kecil berbanding dengan
cawangan tetapnya di Kuala Lumpur
tetapi antara cawangan terawal dibuka di antara 300 cawangan yang ada. Selain daripada Nayla seorang lagi kakitangan
dari cawangan lain juga ditempatkan di situ. Bermakna dua kakitangan cawangan
ini bertukar tempat dengan mereka.
Seakurnya
hari pertama, Isnin pula, kehadiran mereka cuma meraih kepedulian ketika waktu
operasi bank belum bermula. Selepas itu
masing-masing dengan hal sendiri. Arif dengan kesibukan itu, Nayla mencelah
masuk ke dalamnya biar praktis sedikit berbeza.
Sesekali
dia menyembulkan wajah di perbatasan kaunter dan mengutip slip-slip untuk
diperiksa. Tidakpun, pegun sahaja di mejanya membuka emel dan menjawab
panggilan telefon. Mudah sahaja. Pelanggan
di mana-mana cawangan lebih kurang sahaja dari segi jumlahnya.
“Macam
mana?” Tegur Sheikh Saad, pengurus operasi saat Nayla melintasi lelaki
pertengahan empat puluhan itu ketika hendak keluar makan tengahari. Matanya melirik nakal pada gadis itu. Sylvia, kakitangan
dari Melaka yang dipinjamkan ke cawangan ini telahpun mengambil gilirannya pada
jam 12 tadi.
“Ok lah kot” Pemegang pintu dalam genggaman. Tapi sesampai di perkarangan bank, dia hanya
tercegat. Sekejap ke kanan, sekejap pula
menoleh ke kiri.
“Hah!
Kenapa?” Suara Sheikh Saad bergema di belakangnya.
Nayla
membetulkan rambutnya yang diusik angin nakal sambil menggeleng-geleng. Menyembunyikan kegugupannya membuat keputusan
destinasi makan tengaharinya.
“Okeylah.
Saya balik dulu. Nanti bising pula orang rumah saya.” Terang
Sheikh Saad tanpa diminta.
Nayla
membawa langkahnya ke blok bangunan bersebelahan. Manalah tahu ada restoran. Untuk hari pertama ini dia mengajar diri untuk
tidak terlalu memilih. Nasibnya baik
kerana kedapatan restoran makanan Melayu di hujung blok dan tidak ramai benar
pelanggannya.
Seleranya
kurang terbuka tetapi memilih menu ala kadar untuk mengalas perut. Ketika tiba
di pekan ini Ahad lalu, dia sudah mengitar pekan kecil ini tetapi tidak pula
ternampak restoran ini.
Hotel
yang disewa pengurusan terletak di tengah pekan, jadi masalah lokasi tempat
kerja dan tempat tinggal bukan lagi menjadi kegusarannya. Jeritan nada dering yang sinonim dengan
telinganya tiba-tiba lebih menyentap fokusnya daripada hidangan di depannya. Dibawanya ke telinga dengan susah payah
menggunakan tangan kiri.
“Orang
tak tukar. Pindah sekejap saja.” Nadanya bertukar serius.
“Kan
Eza dah bagi tahu?”
“Hotel.”
“Seorang
je”
“Tak
payahlah, Mak. Sebulan je orang dekat sini.”
“Mak
selalu sangka macam tu. Kalau orang ada di
depan mata Mak, Aizat nak telefon, dia
telefon juga. Tak payah nak tunggu
sampai orang lari ke Mentakab ni!” Lagi-lagi
soal Aizat. Lagi-lagi soal Aizat.
“Dia
yang telefon orang. Bukan orang telefon dia.”
“Orang
bukan degil, Mak… tapi…okeylah. Orang
tengah makan ni. Nanti malam Mak
telefonlah…assalamualaikum.” Pantas sahaja
Nayla memutuskan talian. Sirap limau di
sebelah kanan nasi berlauk yang tinggal separuh itu dihirupnya.
Mati selera aku terus. Ada
sahaja tuduhan. Ada
sahaja irama baru daripada cerita yang sama. Selagi aku hidup, selagi Aizat
hidup, agaknya mereka akan terus dicurigai.
‘Ma ada call
tak?.’
Eza,
biarpun boleh mendail dan bercakap terus dengannya, masih mahu menggunakan
teknologi.
‘Ada .’
‘Haruk
tak?’
“Apa
kau cakap kat dia?’
’Aku cakap apa yang kita bincanglah.’
‘Kenapa nama Pak Tam masuk sama?’
‘Pak Tam macam sambal belacan. Penambah
perisa. Tak ada dia tak hangat la korang
2 beranak…’
‘Fire
stone! Macam mana life kat sana ?’
‘Okey. Seronok tolong Mak Lang. Dekat sini banyak mamat2 eksekutif yang menyewa. How Leng’
‘Asal pakai tie aje, eksekutiflah. Entah-entah orang jual kepala gas je.’
SMS
tidak berbalas lagi. Malam baru memindah
ke angka sembilan. Nayla meneleku bosan
di tingkap hotel tiga tingkat itu. Memandang
ke bawah dengan wajah pekan yang semakin reda kesibukannya. Wajah Anne Hathaway dan Meryl Streep dalam
filem ‘Devil’s Wear Prada’ di saluran
Star Movie sesekala mengalih perhatiannya. Tetapi, dia kembali ke tepi tingkap
itu kemudiannya.
Dada
malam yang suram tak berbintang berada dalam tatapannya. Kosong dan menerawang akal fikirnya tatkala
ini. Jika hendak memikir memang akan
gugur rambut lurusnya satu persatu. Memikir telatah emaknya yang penuh telahan
dan prasangka. Memikirkan Aizat yang seakan-akan semakin sirna warna kasihnya
semenjak mereka berjauhan.
Meja
rotan ditolaknya sedikit dan diluruskan kaki ke atas meja itu. Jemari kanan kiri yang bersilang celahannya
diletakkan di atas perut. Terdesakkah
dia saat menyambut untaian perkenalan Aizat dahulu? Dia di dalam kategori gadis sederhana,
tidaklah menarik benar. Tidak juga menjengkelkankan.
Cuma
penampilannya agak selekeh dengan baju kurung sepanjang masa dan agak gedobos.
Itu semua citarasa emak. Hari pertama dia mendaftar, Puan Mariam memaksanya
menyarung baju sekolah. Menjadikan dia
badut sarkas. Bukan kerana baju kurung
tetapi kerana dia sendiri yang kurang rapi dan merasakan tiada yang teratas
letaknya selain tumpuan pada pelajaran.
Aizat
pula, tidak pernah mengabaikan ketrampilannya. Sentiasa dengan slack dan kemeja, berdasi bersesuaian dengan jurusan yang diambil. Dalam acara santaipun masih dengan slack dan t-shirt berkolar. Maka
bertemulah mereka di perhentian bas.
Pulang dari Pasar Ramadhan saat Nayla
terhegeh-hegeh menjijit pesanan rakan-rakan sebilik. Aizat membantu, biarpun
selalu terserempak di dalam kuliah, mereka jarang bersapaan atas prinsip Nayla
sendiri. Tambahan pula dirasakan
kebanyakan pelajar lelaki di kelasnya memang kaki mengutuk tahap dewa!
“Kalau
hari-hari macam ni boleh build up muscle
ni… tak payah susah-susah pergi gim,” usik Aizat sambil tangannya menyelitkan
satu lagi bungkusan di celah jarinya.
“Kawan-kawan
awak ni kuat makan ya.. saya tengok semuanya keding.. tapi hah! Sekali buka
puasa. Punyalah banyak.”
“Ni
pakej sahur sekali,” terang Nayla membetulkan beg guni yang melondeh dari
bahunya. Nayla senyum sendiri mengingatkannya.
Eh!
Yang awak hantar saya sampai depan kolej ni kenapa?” Soal Nayla buat-buat bertanya. Padahal dia sendiri maklum Aizat menyewa
bersama rakan-rakannya di luar kolej. Mereka
sudahpun tiba di depan pintu pagar.
“Kasihan
saya tengok awak sorang-sorang bawa
semua ni. Pengsan pula nanti, batal puasa, saya juga yang susah.” Aizat melempar senyum penuh makna. Nayla merasakan ada simbahan darah menyerbu ke
muka. Memerah wajahnya.
“Esok
saya tunggu awak kat Pasar Ramadhan. Kita balik sama-sama.” Aizat berpusing
sebaik menyerahkan kesemua bungkusan itu kepada Nayla.
“Esok
bukan giliran saya!” Nayla separuh menjerit melihat Aizat sudah menjauh. Lelaki itu berpaling.
“Bila?”
“Tak
tahu lagi.”
“Nanti
awak bagi tahu.” Dia mengangkat tangan sebelum memasukkannya ke dalam poket
seluar slacknya.
“Ada inang pengiring pula
hari ni,” komen Zahra sebaik sahaja dia menjongol di muka pintu.
Rakan-rakan
satu lantai akan memenuhi bilik mereka sebaik sahaja masuk waktu berbuka nanti.
Begitulah adatnya berjauhan. Ikhtiar
untuk memeriahkan Ramadhan demi melapik rindu terhadap keluarga.
“Aizat
tu kan ?” Nayla mengangguk di dalam mengahnya. Banyak perkara di antara mereka berdua tidak
pernah menjadi rahsia.
“Ada apa-apa yang kau nak kongsi?”
Zahra tersenyum simpul. Kongsi?
Nayla menyinsing kaki seluarnya sebelum ke bilik air.
“Ya..kongsi.
Aku tengok muka kau merah. Berseri-seri. Ada
apa-apa yang aku tak tahu?”
Nayla
mencermin wajahnya pada cermin kecil yang tersangkut pada pintu almari.
“Biasa je. Aku memang berseri-seri setiap hari.”
Nayla
senyum sendiri mengingatkan teman baik yang seorang itu. Bila tuntutan kerjaya mengatasi masa, maka
masa menjadi tirai menabiri hubungan mereka. Maka rengganglah mereka tanpa rela. Komputer ribanya masih terlantar sepi di atas
meja. Tidak pula terlintas untuk dia membaca post-post menarik di laman sosial malam ini.
Ketika
dia cuba
melelapkan mata dan percubaan yang tidak pernah berjaya itu diganggu lagi
dengan nada mesej beserta getaran yang begitu menjengkelkan.
‘Sayang… maafkan saya. Tak terniat nak
melukakan hati awak.’ Mesej
ringkas itu tidak pula ingin dibalasnya. Apa-apa
sahajalah. Aku mahu tidur.
“CIK
Nayla Nasir siapa?” Nayla mendekati
pemuda yang berdiri mematung di kaunter hujung memegang sejambak bunga.
“Cik
Nayla?” Dia menghulurkan resit akuan
penerimaan untuk ditandatangani dan sudah tentu sejambak bunga itu menarik
perhatian pelanggan, tambahan pula kakitangan di bank. Ada
yang berbisik sesama sendiri dan tersenyum-senyum.
Sayang, sudi maafkan saya….
Biar
tidak terkesan benar, tetapi ada ria yang mengenjut pangkal hati. Jambangan itu diletakkan ke tepi biarpun
sesekali hidungnya gatal mencium kuntuman ros merah yang mengharum itu.
“Hai…
bertuahnya badan. Baru tiga hari di sini
dah dapat bunga. Saya ni dah tiga puluh tahun kat sini, pasu bungapun tak
pernah dapat,” usik Sheikh Saad. Seri senyuman sang gadis mendapat bunga itu
makin melebar. Ketawa teman-teman lain menyambut kata-katanya.
Terima kasih, bagi bunga. Cantik dan wangi.
Mesej
ringkas diutus sebaik butang send
ditekan. Tiada balasan segera dari Aizat
membuatkan cuak menekup cepu kepala. Entah-entah bukan dia. Tetapi kalau bukan dia, buat apa si pengirim itu memohon
maaf? Ditambah perkataan ‘sayang’ lagi. Selama ini, hanya Aizat yang suka menggunakan
perkataan ala dialog iklan kicap itu. Takkanlah
ada orang lain pula yang tiba-tiba menjadi penambah watak dalam drama hidupnya
ini. Cukuplah watak emak sebagai
antagonis buat masa ini. Cukup.
‘Sewangi
kasih saya pada awak.’ Mesej
balasan membuatkan senyuman terukir lagi.
“Oi..
mahu kerja, tak mahu kerja?” Ajarkah
Sylvia dengan bahasa yang tunggang langgang.
Sylvia
mencucuk pinggangnya membuatkan dia terkejut lantas melatah. Gadis Serani itu menekup mulut menahan tawa. Terhenjut-henjut bahunya. Nayla mematikan telefonnya dan menyimpannya di
dalam laci pertama.
Pura-pura
menidakkan insiden tadi dengan wajah yang menyala menahan malu dan marah. Ketika rembang petang, tugasan di mejanya
masih belum juga mahu selesai. Kebanyakan kakitangan sudah meninggalkan ruang
kerja. Apatah lagi kakitangan
perkeranian yang tertakluk kepada bayaran lebih masa.
“Awak
dengan dia tu dah kira jadi kah? Suara
Sheikh Saad bergema. Sylvia yang tekun
di mejanya turut menoleh. Hari ini Nayla
berjanji dengan Sylvia untuk makan malam bersama-sama.
“Siapa?
Saya?”
Nayla menuding diri sendiri
selepas menoleh kiri dan kanan.
“Ya.
Awak dengan penghantar bunga tu.”
“Tak
tahulah Encik Saad. Kenapa?”
“Saya
ni lelaki. Nasihatkan saja. Orang lelaki ni kalau betul-betul dia sayang,
tak dapat cara baik, cara jahatpun dia guna.” Meremang bulu tengkuk Nayla mendengar
perkataan ‘cara jahat’ itu.
Aizat tidak begitu. Nayla membujuk hati. Sepanjang perkenalan mereka, Aizat tidak
pernah pula mempamerkan sikap ‘mengambil kesempatan’. Mungkin juga kerana dia terlalu berhati-hati
kerana mengingatkan penentangan keluarga.
“Jaga
diri awak baik-baik. Solat jangan tinggal!” Lirih lelaki itu berpesan umpama
seorang ayah. Meleraikan segala
prasangka Nayla selama ini.
“Awak
kena kuatkan hati. Jangan cair dengan
ayat-ayat cinta dia. Itu semua dengan
niat nak memikat awak je.”
“Ayat-ayat
cinta? Itukan tema filem Indonesia ?” Tanya Sylvia tiba-tiba.
“Awak
Sylvia?” Soalannya beralih pula pada gadis
Serani yang fasih berbahasa Melayu dan berwajah Pan Asian itu.
“Saya
ada ramai kawan lelaki. Sampai tak tahu
nak pilih.” Sylvia membalas selamba.
Nayla memandangnya dan mereka masing-masing ketawa.
“Susah nak cari lelaki baik zaman sekarang tau. Jangan memilih sangat. Lelaki, apa bangsapun tetap memiliki ciri-ciri
yang tak jauh beza.” Sela Sheikh Saad
sambil matanya tak berganjak daripada skrin komputer. Suasana bungkam kembali.
Cuma kedengaran bunyi pencetak utama yang mencetak laporan harian yang dikawal
oleh bahagian IT di ibu pejabat.
“Encik
Saad memang selalu balik lambat? Orang
rumah tak marah ke?” Sylvia membuka semula
gelanggang kata.
“Dah
biasa… nak buat macam mana. Kena
terimalah. Masa mula-mula kahwin dulu,
dia marah jugak.”
“Sekarang?”
“Sekarang
tak lagi. Kadang-kadang dia pula hairan
kalau saya balik awal.” Sheikh Saad ketawa menampakkan baris giginya yang
kekuningan dikeronyok nikotin.
Malam melabuhkan
diri saat Sylvia mencuit Nayla. Penat
sudah menjalar ke seluruh tubuh. Tetapi
mereka berhasrat menikmati makan malam sebelum balik ke hotel.
“Saya
belanja tom yam malam ni, Jom!” Ajak Sheikh Saad. Mereka berpandangan meminta setuju. Nayla
menjungkit bahu. Menurut sahaja jika Sylvia setuju. Mereka masuk ke dalam perut Proton Perdana
Sheikh Saad yang meluncur laju meninggalkan pekan Mentakab menuju ke gerai
makan di tepian lebuh raya.
No comments:
Post a Comment