“KALAU
ikutkan hati, saya pancitkan tayar kereta awak ni. Dahlah parking
block kereta orang. Tarik pula hand break. Awak ingat awak duduk rumah banglo. Boleh park
sesuka hati dalam garaj. Awak ingat parking lot ni awak bayar sewa bulan-bulan?” Aku terkesima.
Mulutnya
mencelidau. Kata-katanya keluar bagaikan
dalam satu helaan nafas. Bagus kalau
dihantar menuntut tarannum Baghdadi! Telunjuknya
memanah-manah ke arahku.
Pagi yang
hening itu diserikan dengan alunan komentarnya. Berlari-lari keluar daripada
ulas bibir merekahnya yang terpalit gincu berwarna pastel. Aku memandang ke kiri dan kanan. Aku,
makhluk manusia yang sedang berdiri di dalam kelompok aj-jin.Maka aku seorang sahaja yang kelihatan di matanya, berada di situ!
Memang
sah kata-katanya itu ditembak tepat kepadaku.
Tanpa menggunakan penyenyap.
Jiran-jiran membesarkan bukaan tingkap masing-masing untuk menyaksikan
slot Saranghaeyo di pagi hari.
Seterusnya menjadi bahan di laman sembang mereka di pangkal tiang
bendera di bahagian depan blok rumah pangsa lima tingkat ini. Tak padan dengan
wajahnya yang lembut. Agaknya
kesabarannya sudah menyurut. Wajahnya
memerah dan pandangannya tajam menikam mataku.
Aku mendail nombor yang sudah tertulis di dalam minda.
“Jang,
lagi lima minit kalau kau tak turun ni, sey raso
keto kau tinggal rangko yo. Ado
orang nak sodokah breakfast petrol kek keto kau ni...” sengaja aku menambah perisa. Menakutkan-nakutkan lagi tuanpunya Wira Sedan
yang menyekat laluan keluar kereta gadis itu.
Toing. Wajahnya yang memerah tadi memudar
kepucatan. Aku tersenyum. Tahupun takut. Sesedap rasa melepaskan tembakan kata. Seperti ketumbukan Israel menyasarkan roket
ke arah penempatan awam di Hebron.
Tengoklah kiri kanan dahulu. Ternyata, ugutanku berkesan. Jejaka Melayu terakhir itu kelihatan tidak
lama selepas itu dengan seluar sampaknya dan kunci kereta yang tergenggam. Dia termengah-mengah. Manakan tidak. Berlari turun dari tingkat lima untuk
menyelamatkan keretanya daripada dibakar oleh panahan mata Ultraman Taro versi
perempuan ini.
“Maaf
kak long. Nak cepat malam tadi...tak
perasan dah tertarik hand-break,”
Zaini mencatur alasan. Wajah pemanah hatiku itu memasam semula. Automatik.
“Suka
hati kau nak minta maaf. Aku punya elaun
kedatangan sebulan dah lebur fasal kau, kau tahu tak?” Dia menyinga kembali. Memang agaknya gadis ini keturunan singa.
TOING. Alamak, sangka aku Wira Sedan hidup segan
mati tak mahu ini kereta dia! Malu!
Malu! Suka hati tujuh keturunan aku nak
menghambur maki di pagi penghulu segala hari ini. Tetapi,
sesiapapun tak dapat bersabar menghadapinya. Sudahlah aku kesiangan. Solat Subuhpun di julai syuruk, dengan patuk
ayam dan patuk itik, silap haribulan doaku bertaburan tidak sampai ke
mana-mana. Ya Allah, ampunkanlah hambamu
yang lemah ini!
Ditambah
pula hari ini, pekerja-pekerja mithali yang berkongsi lantai pejabat dengan aku
menghantar SMS merangkap penggera. SMS
itu jugalah yang mengejutkan aku. Jika
tidak, aku juga akan menghantar SMS yang sama dengan alasan yang sama. ‘Maaf, terpaksa ambil emergency leave. Anak demam.’ atau ‘Maaf, aku MC. Sakit kepala.’
Tiba-tiba,
apabila tiba masa hendak menolak kereta yang melintang di depan, ia langsung
tidak bergerak. Aku memandang sekitar. Manalah tahu, tolakan tadi tidak cukup
kuat. Maka aku mengerahkan seluruh
kudrat wanitaku. Pegun. Ketika aku menjenguk ke bahagian dalam
kereta, kelihatan brek tangannya menjojol dalam kedudukan 45%. Terasa air mata ingin mengalir. Sudahlah kepenatan menolak kereta. Kini kepenatan menekan hon pula.
“Elaun
kedatangan aku boleh bayar sebiji tayar Wira kau tu, tahu tak?”
Aku
biarkan sahaja mangsa pertama tadi mendengar bebelanku. Sementara menanti mangsa kedua ini membuka
pintu keretanya. Mangsa pertama tadi
terus ke kereta Proton Preve yang terparkir agak jauh daripada kedudukan
keretaku.
“Alah,
kak long. Saya dah minta maafkan?” Mangsa kedua itu memohon lagi dengan muka
sadis. Aku buat-buat tak mendengar. Menghidupkan enjin kereta dan menderum pergi.
“Ek
eleh. Berlagak! Harap muko
yo cantik. Perangai cam hampeh!” Zaini melepaskan
perasaannya pula. Tadi bagaikan nak
meleleh air mata, hidung dan air telinga meminta maaf. Aku ketawa.
“Hah,
yang kau pula, bukan main lagi yo. Nak bakarlah.
Nak breakfastlah. Hantar aku kek gorai
dopan Blok I tu. Lapar perut aku dibuek’ e,” Zaini terus sahaja membuka pintu keretaku dan
masuk. Sasarannya memutar 360 darjah
kepadaku pula.
“Padan
muko kau. Apo ko
gilo ‘e poie tarik hand-break.
Apo kau berangan parking keto kek kondo?” Jerkahku.
“Ala,
yang kaupun, langsung tak nolong
kawan. Kau dongar awek tu bagi
ceramah percumo kek aku. Elok lak
kau jadi penonton. Memanglah kau ni JT!”
“Apo lak.
Aku dah kono awal daripada
kau. Berdosing
telingo ni ha. Alang-alang aku dah kono sorang, lebih baik aku ajak kau dongar sekali. Adil dan saksamo,” aku ketawa lagi. Tetapi ketawaku terhenti apabila terlihat
Viva putih yang mempunyai bantal Hello Kitty di papan pemuka belakangnya berada
betul-betul di depan gerai roti canai tempat aku hendak menurunkan Zaini.
“Hah,
panjang umur dio. Pendeklah napeh kau,” muncungku mengarah ke arah Viva itu. Zaini merungut lagi. Entah apa biji butirnya, akupun tidak pasti. Dia menoleh sebaik sahaja aku membunyikan hon
meninggalkan Zaini balik berjalan kaki.
Apabila di dalam keadaan tenang, aku melihat jernih wajahnya. Tudung bertingkat-tingkat fesyen terkini
berwarna oren terang itu menyerlahkan lagi keanggunan wajahnya. Senada seirama warnanya dengan baju kurung
bertanah hitam berbunga oren itu.
AKU
tertoleh mendengar hon daripada Proton Preve itu. Entah apalah niatnya, aku kurang pasti. Tapi aku melihat temannya yang berseluar
sampak itu berjalan tunduk mendekati gerai roti canai itu. Mukanya toya sungguh. Nampak benar tidak sempat membasuh muka.
Mungkin celik sahaja mata, terus berlari turun sebaik sahaja digegar oleh
temannya yang tadi. Kelakarpun ada. Marah lagilah berganda-ganda.
Mengingatkan
wajah pemilik Proton Preve, seketul rasa kasihan jatuh berdebuk di depan
mata. Mungkin dia menyesal mengenakan
pewangi kasturi di hari yang menjanjikan keberkatan doa ini. Mungkin pewangi itu nanti akan terus menjadi
titik pengingat pertemuan menyakitkan di antara kami. Diseranah perempuan bermulut lepas tanpa
sebab. Padan muka! Aku senyum anak.
KETIKA
aku menekan penggera untuk mengunci kereta, Viva putih itu baru sahaja membelok
masuk ke kawasan parkir. Maghrib sudah
di hujung hidung jambu airnya.
Belokannya agak kesasar. Kalau
aku terlambat fikir untuk mengelak, mungkin selepas ini, Proton Preve ini hanya
tinggal nama di atas kertas wasiat.
Tanpa sedar, jeritan spontan tetapi kasar terkeluar.
ALAMAK! Aku menekan brek. Menjerit bunyinya dan nyaring. Kenapa pula maghrib-maghrib begini dia boleh
terjojol di tempat parkir tanpa isyarat.
Kalaupun dia nak membelek-belek keretanya yang dirasakan memancar
kilatannya ke seluruh alam itu, berdirilah di sebelah tepi. Tak perlu menayangkan muka iras Aqashanya
itu di depan kereta. Sudahlah begitu,
tempat parkir aku diambilnya. Aku
memarkirkan kereta di depan lori berkepala putih yang berkedudukan agak jauh
dari tempat insiden tadi.
Aku
matikan enjin dan berdiam. Gemuruh dan
gigil sama-sama berlumba-lumba dan terasa menyalur pada stereng yang masih
kejap dalam peganganku. Kalau mati anak
teruna orang tadi, apa aku nak jawab dengan mak abahnya. Dibuatnya pula si rambut lurus itu
satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Harapan nusa dan bangsa. Ataupun
anak tunggal intan payung gunung ganang lurah dendam emak dan abahnya. Sudah tentu maaf dan ampun berjela-jela dan
berkilometerpun tidak akan diterima.
Silap haribulan, merengkok pula di dalam penjara atas dakwaan
membunuh. Argh, tidak!!
AKU
mengurut dada. Mencari kewarasan dengan
astaghafar. Memang aku tak akan lepaskan
kau kali ni, perempuan mulut mencelidau bermuka bulat! Aku ketuk-ketuk cermin keretanya
bertalu-talu. Sedang dia, bagaikan keras
kaku tak bergerak-gerak. Pandangannya lurus
terus ke hadapan. Bulat buntang matanya
tanpa berkelip.
“OI,
cik kak oi...bukak lah. Aku nak cakap
sikit!” Lelaki itu bercekak pinggang.
Sesekala menggaru dagunya yang didiami janggut
teruna awal mumayyiz. Habis! Memang habis aku kali ini. Pagi tadi bersungguh-sungguh dan sepenuh jiwa
aku berleterkan dia. Sudahlah salah
orang. Petang ini, peluang dia menyanyikan
lagu paku buah keras untuk aku.
“Er...maaf
wak. Saya tak perasan. Saya nak cepat tadi...” Aku bersuara selembut mungkin. Ya Allah Ya Tuhanku, kalau suara lelaki ini
melengking, memang malu besar aku dibuatnya.
“Wak,
wak. Siapa wak? Nama saya Fadhil. Saya asal dari Negeri Sembilan. Bukan Selangor atau Johor,” dia bersuara
tegas.
Kenapa
dia merepek sampai ke subjek Geografi ni?
Wajahnya serius sambil menyambung
“awak ingat parking lot ni padang ujian memandu? Kalau terlanggar saya tadi, macamana?”
“Encik
Fadhil, sayakan dah minta maaf?”
Tiba-tiba hatiku hangat disergah dan disindir begitu. Kita dah berlembut, dia pula nak
menyinga-nyinga. Bukannya
calar-balarpun. Cedera parah jauh
sekali.
“Maaf? Saya terima maaf yang ini. Tapi, awak berhutang satu maaf lagi dengan
saya,” ewah! Mengada-ngada betul dia
ni.
“Mana
ada saya berhutang dengan awak. Saya
bukannya kenal awakpun!”
“Saya
tak kira. Pagi tadi, mulut awak macam
peluru berpandu marahkan saya. Padahal
saya tak buat salahpun...” argh, dia mengungkit pulak!
“Okeylah. Untuk yang itupun saya minta maaf,” aku
mengalah. Tubuh dan minda sudah
keletahan.
“Ha,
macam tulah. Jom, saya belanja awak
makan. Tak jauh, gerai nasi lemak kukus
kat depan tu. Saya tahu, awak mesti lapar,”
selamba dia mempelawa. Telunjuknya lurus
menghala ke arah gerai yang sedikit tersorok di balik blok sana. Biar benar mamat ni. Aku menudakinya atas bawah. Tiada cacat celanya kalau bergandingan dengan
aku. Hati gatalku menggarit-garit.
“HAH? Kau biar bonar?” Zaini terjerit
mendengar penjelasanku.
“Apo
lak salah e?”
“Aku tak kato salah. Tapi kau baru jumpo dio pagi tadi. Kau ni dah kenapo? Kalau setakat kau
ajak dio makan nasi lomak kukus kek bawah tu, dio ikut
bukan bermakno dio sukokan kau. Ontah-ontah
dio memang lapar!”
“Tak
do makno e. Dio pakat toguk milo panas
yo. Nasipun tak luak. Pompuan,
kalau hilang selero tetibo yo, bermakno hatinya tongah berdotup berdotap
tu...” Aku membuat penafsiran.
Kalau
Zaini mahu mengatakan aku gila, memang aku gila. Aku sedang menggilai dia. Perempuan bermulut lepas bernama Zaleha itu. Zaleha.
Nama yang klasik. Seperti nama
Ungku Zaleha di dalam filem Antara Dua Darjat.
Orangnya pun secantik pelakon wanita utamanya.
WAK
Fadhil. Aku sahaja yang berpeluang memanggilnya
begitu. Sememangnya niat untuk meminta
maaf di atas kelancangan kata-kataku pagi tadi memang ada. Seharian rasa kesal menggayuti cepu
kepala. Hingga sukar aku meneruskan
tumpuan kepada perkara lain. Meskipun
ditembak dengan kata-kata tanpa henti, dia masih mampu mempamer senyum. Dan
sebaik sahaja dia melihat aku sudah tersalah sasaran, senyumnya semakin lebar.
Kenapa
sebelum ini aku tidak pernah mengambil endah dengan pemunya Proton Preve
itu. Kenapa sebelum ini lelaki kami
tidak pernah bersua. Aku ketawa
sendiri. Mana nak bersua. Aku keluar bekerja bersama jalur sulung
matahari. Balik berarak dengan
bulan. Hari ini, kami ditemukan apabila
aku kelewatan dan temannya menambah kalut suasana sedia ada.
Aku
belum lagi membersihkan diri. Usai makan
malam di dalam suasana tidak selesa tadi, kami kematian kata. Makan malam tidak terduga itu lebih kepada
adegan jeling-menjeling dan curi-mencuri pandang. Aku, seadanya gadis timur memang terpaksa
menguburkan selera lantaran tidak terdaya meneruskan lagi permainan menguji
hati ini.
“Boleh
saya jumpa awak lagi?” tanyanya ketika
kami berpisah. Bukannya jauhpun. Aku di blok M. Dia di Blok N.
“Kalau
berani, block lah kereta saya,”
ujarku tanpa sebarang makna khusus. Pastilah pertemuan ini yang pertama dan
terakhir. Takkanlah dia mahu berkawan
dengan perempuan garang seperti aku.
Seperti juga kawan-kawan lelakiku sebelum ini. Tidak tahan kalau asyik kalah bertekak
denganku.
AKU
ketawa kecil sebelum melepaskan pandangan pada bayang terakhirnya. Aku betul-betul memaksudkannya. Aku akan mencari jalan menghadang
keretanya. Lagi dan lagi....kalau
tidak,tidaklah Zaini menggelar aku JT.
Jembalang Tanah! Dan, Jembalang
Tanah ini sudah diperangkap perasaan.
Indahnya....
No comments:
Post a Comment