..yang bernama sahabat

Saturday, 22 December 2012

Polemik Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar


Pengenalan

Pembelajaran berpusatkan pelajar (selepas ini disebut PBP) adalah salah satu daripada beberapa komponen jenis pengajaran yang dikenalpasti dapat mewujudkan situasi pembelajaran dan pengajaran yang kondusif.  Seterusnya menarik minat dan pemahaman tuntas murid-murid terhadap subjek yang dipelajari.  Komponen selain PBP ialah

-           Pembelajaran Berpusatkan Guru
-           Pembelajaran Bersifat Individu
-           Pembelajaran Berfikrah
-           Pembelajaran Berbantukan Teknologi


Thornburg, (1995) berpendapat bahawa proses PBP adalah proses interaksi sekumpulan pelajar yang mengalami proses pembelajaran secara kreatif yang boleh diadaptasikan ke dunia realiti.  Pelajar adalah inti utama di dalam sebuah kelas sebagaimana peranan seorang pemain di dalam satu pasukan permainan.

Definisi

PBP didefinisikan sebagai pemfokusan kepada:-
a)         perkembangan pembelajaran – pelajar sebagai unit asas iaitu individu
b)         memberi pilihan kepada pelajar -  menentukan jenis pengetahuan dan apa yang ingin diketahui,
c)         mewujudkan kolaborasi  - membina pengetahuan dan persekitaran berkumpulan, berinteraksi secara positif
d)         penglibatan di dalam penilaian berterusan dan;
e)         sikap guru  yang mendengar pandangan pelajar dan melibatkan pelajar untuk merancang.

Pelajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembelajarannya dan terlibat secara terus dalam mencari pengetahuan, mencabar pengetahuan sedia ada dan pemahaman konsep baru secara menyeluruh dan mendalam, pembelajaran yang melibatkan interaksi sosial di mana sekolah, pekerjaan, rumah dan komuniti sebagai sumber dan menggunakan aktiviti luar untuk meningkatkan pembelajaran. 

Prinsip

Syidam Abdullah (2008) menggariskan PBP adalah berlandaskan prinsip-prinsip berikut:-

a)    Daya fikir, minat dan watak berbeza menjadi tunjang proses pengajaran dan pembelajaran PBP
b)     Guru bertindak menjadi fasilitator sementara pelajar terlibat secara keseluruhan
c)    Pembelajaran terarah kendiri dan akses kendiri diutamakan
d)    Penilaian berasaskan keupayaan kendiri ditekankan


Isu-Isu Berkaitan Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar

a)               Apabila kebebasan mencari, menaakul, mengadaptasi, melaksana atau menyelesaikan masalah diserahkan bulat-bulat kepada murid-murid pemantauan guru-guru adalah sangat-sangat diperlukan.

Jika tidak akan berlaku keadaan murid-murid hilang fokus, menyalahgunakan proses-proses tersebut dengan melakukan aktiviti yang tidak berkaitan ataupun kesasar daripada panduan yang telah digariskan.

Sebagai contoh;  ketika sessi perbincangan berkumpulan berlangsung, guru harus bijak mengawal situasi dan menjadikan ia situasi perbincangan kondusif yang bermanfaat buat murid-murid.  Proses penilaian berterusan harus dijana secara konsisten dan pada akhir sessi murid-murid dapat membentangkan hasil dapatan perbincangan mereka secara tersusun dan kreatif.

b)                     Timbulnya jurang individu yang menyaksikan murid-murid yang aktif akan menguasai keadaan dan murid-murid yang pasif akan keciciran atau  sekadar menjadi pengikut tanpa mahu menggerakkan diri bersama-sama di dalam satu pasukan. Kredit yang diterima adalah untuk pasukan atau kumpulan dan ia mewujudkan suasana tidak adil buat murid-murid. 

Situasi ini, jika terlepas pandang akan membuatkan murid-murid terus membawa corak pemikiran sebegitu ke dalam masyarakat apabila mereka dewasa kelak.  Ini adalah kerana, PBP adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.  Ia boleh  diadaptasi bukan sahaja untuk pembelajaran di sekolah, malah boleh digunapakai untuk menggerakkan komuniti.

c)                 Akan berlaku tekanan kepada murid-murid yang ketinggalan dalam proses pembelajaran.  Sebagai contoh murid-murid yang tidak dapat menguasai prinsip asas KSSR.  Mereka tidak dapat mengenalpasti sumber ataupun melibatkan diri di dalam kemahiran mencari pengetahuan melalui model-model pembelajaran berasaskan koperatif, kolaboratif, komuniti, asas masalah, asas projek, kajian kes, rakan sebaya, konstruktivisme dan pendekatan inkuiri.  Maka, untuk kes-kes seperti ini, pengajaran berpusatkan guru harus diadaptasi semula.       


Kesimpulan

Thornburg, 1995 merumuskan bahawa PBP adalah proses pembelajaran seumur hidup dan setiap pelajar harus belajar dan memahami kepentingannya kepada mereka.

Transformasi daripada Pembelajaran Berpusatkan Guru ke Pembelajaran Berpusatkan Pelajar adalah berasaskan teori di atas yang menekankan proses pembelajaran sepanjang hidup.  Maka ia akan mengambil masa seiring dengan perkembangan umur dan kematangan pelajar. 

Dalam pada itu, segala isu yang dibincangkan di atas boleh diatasi dengan pendekatan penilaian secara berkala dan berterusan yang dilakukan oleh guru sebagai fasilitator.  Maklumbalas sepanjang proses penilaian itu berfungsi sebagai agen penambahbaikan yang juga salah satu ciri utama Pembelajaran Berpusatkan Pelajar.

Bibliografi



Syidam Abdullah, 2008.
 Pembelajaran Berpusatkan Pelajar 

Sabar Afifuddin Ahmad Sobri, Mohd Taufek Mohd Noh, Fatimah Zahra A. Jamil, Zuazlina Mohd Sadri,

Thornburg, 1995
Pembelajaran Berpusatkan Pelajar




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...