Beralih ke sini kerana minda menjadi penat. Terganggu dengan jerit pekik anak-anak, ayat-ayat di dalam kepala menjadi terlalu berselirat....
Salam Isnin, Assalamualaikum,
Berita terkini buat kami, syarikat menawarkan VSS. Voluntary Seperation Scheme atau dalam Bahasa Malaysianya skim pemisahan sukarela. Apakah tujuannya, bagi yang tidak tahu - mengecilkan skop perkhidmatan, mengurangkan kos buruh dan kos-kos berkenaan, merombak semula pentadbiran syarikat, atau bagi kes kami - MENGHAMBAT PERGI MUKA-MUKA WANTED YANG TAK MAHU BERAMBUS!!!
Sewaktu berita itu dibawa saya tidak percaya langsung. Seduitpun. Sebab saya kenal benar dengan permainan pentadbir-pentadbir di atas sana. Cakapnya tidak pernah serupa bikinan. Macam-macam janji manis buat kami, semuanya dicapati!
Tetapi kali ini, mereka dengan riaknya menawarkan skim tersebut dengan peratusan yang tidak masuk akal. kata team-team saya yang berpayung di bawah kesatuan sekerja. Tetapi bagi saya, ia adalah isyarat daripada Allah bahawa saya mesti terus berdoa. Jangan berhenti.
Sebelum itu, kami berkumpul sambil berangan-angan cara nak menghabiskan duit VSS itu nanti. Bagi yang sudah berkerak seperti saya, ganjarannya alhamdulillah, lumayan. tiba-tiba terpacul perkataan dari mulut Saiful, rakan sekerja "baiklah kau pergi umrah, duit banyakpun nanti habis juga..."
Perkataan itu saya simpan kukuh dalam memori. Balik ke rumah, saya panjangkan pada suami. "jangan nak berangan! duit entah di mana lagi, angan-angan dah ke langit," katanya. Rupa-rupanya, ayat itu sekadar menyembunyi debar di hatinya dengan pelawaan saya itu. Dia sebenarnya menghijabi perasaan cemas seandainya semuanya jadi nyata. Kami ke Mekah dan menerima upah 'tunai' kami. Dan upahnya datang dalam pelbagai bentuk. Dia memberitahu saya mengenai perkara ini ketika menikmati wajah Subuh di Madinah dari jendela hotel penginapan kami....
Kata-katanya saya sahut dengan tindakan. seperti biasa, firman Allah yang meminta kita, hambaNya meminta, merayu kepadaNya saya pegang. Saya ikhlaskan hati dan saya beritahu kepada Tuhan saya yang Satu itu, bahawa saya ingin membawa dahi saya sujud di bumi yang Kaabahnya wujud secara nyata. Saya mohon segala-galanya dipermudahkan.....
No comments:
Post a Comment