Gambar dicilok daripada: LilyHaslina.blogspot.com |
"Ngeh...ngeh...nak putus urat kentut aku baca..." komen tak profesional daripada saya selepas khatam dan khatam buku He's My Abang oleh penulis novel mapan Malaysia, Lily Haslina Nasir. Opss, buku ini tiada di kedai buku. Kalau sahabat-sahabat mahu mendapatkannya, lompatkan tetikus atau jemari ke facebook atau blog penulisnya. (Dia tak pakai nama samaran)
Begitupun, bagi teman-teman seangkatan yang remajanya sekitar penghujung 80an dan awal 90an, saya galakkan kalian mendapatkannya satu.
Selain menyimpan gambar sebagai memori, karya ini sebenarnya mencuit rasa rindu saya pada zaman itu. Zaman dara sunti dan teruna suci! Zaman ketika telefon rumah dan surat dan poskad sahaja menjadi media penyampai. Menjadikan kita segar dan muda semula.
Bagi adik-adik atau anak-anak yang mahu menjadi penulis, buku ini memuatkan tips-tips penulisan secara tidak langsung dan perkara-perkara yang paling asas untuk menjadi penulis di antaranya, pekakkan telinga dan terus menulis!
Indahnya karya ini kerana penulis tidak meletakkan latar masa yang spesifik. Tetapi bagi pembaca tua yang lawa (ehem) seperti saya, saya membuai latar masa itu ke dalam era nostalgia dan ianya memberi semangat buat saya. Menjadi saya terus bugar dan muda biarpun hakikatnya tidaklah begitu.
Untuk penulis sengal, bajet bagus, terpuruk, suam-suam kuku seperti saya - (seperti yang dilabelkan orang kepada saya) naskhah ini boleh dikatakan penyuntik semangat dan penanda aras buat saya untuk terus berkarya. Semangat Nurul Masmin harus ada pada diri setiap insan yang mahu, sudah, bakal, bekas penulis.
Tidak perlu saya bercerita tentang gaya bahasa, plot, klimaks dan sebagainya. Bukan tahap saya untuk memperkatakan semua itu. Bagi saya semua novel yang santai tetapi bermoral seperti HMA ini segala-galanya bergerak seiring.
Tetapi, tidak dinafikan juga, terdapat beberapa kelemahan kecil seperti kesalahan ejaan dan penggunaan huruf besar dan kecil yang menyebabkan keseronokan berlibur ketika menghayati novel ini sedikit terencat.
Bagaimanapun, saya tegaskan di sini, anda tidak akan rugi seduitpun jika memilikinya. Novel nostalgia, memang nostalgia. Untuk sesiapa juga.
No comments:
Post a Comment