..yang bernama sahabat

Saturday, 21 September 2013

Biar Pendam Jangan Dendam 3

Sebaik paluan kompang yang menggegarkan isi dewan dan menggugahkan semangat itu terhenti, langkah sepasang pengantin dalam persalinan merah itu disambut dengan alunan calempong dan kata-kata aluan serta usikan daripada pengacara majlis.  Ilhan dan pasangannya tersenyum dengan langkah teratur serta tangan erat berpimpinan.  Wajah pengantin.  Berseri-seri bagai mendakap purnama.  Tersimbah cahaya daripada bulan dalam pelukan. 

            Di satu sudut berhampiran pelamin, layar putih mulai menayangkan momen-momen indah pengantin, juga telusuran masa dari kanak-kanak sehingga menjadi suami isteri.  Ketika slaid menayangkan wajah Ilhan semasa belasan tahun, sekeping gambar dia bersamaku terpapar.  Aku tersentap.  Gambar diambil ketika aku mulai menjejak ke tingkatan satu.  Pagi hening yang menyaksikan tangisanku kerana mahu ditinggalkan di asrama. 
            Aku akan merindui Ilhan.  Aku akan merindui semua keindahan yang kami lalui bersama sepanjang waktu membesar.  Aku merindui redup matanya.  Aku merindui pujuknya yang tenang ketika aku teresak-esak mengadu kesusahan.
            “Nani, cepatlah!”  Along Jiha yang entah dari mana munculnya menarik tanganku. 
            “Nak ke mana along?”
            “Eh, makan beradaplah.  Kan itu untuk ahli keluarga?”
            “Ala, tak payahlah, long.   Kalau semua nak makan, siapa nak layan tetamu.  Tengok baba dan ummi pun ada kat situ lagi.”  Aku menjuihkan bibir kea rah pintu masuk.  Ummi dan baba masih sibuk beramah mesra, bersalaman dengan para tetamu.  Datang dan pergi.
            “Habis tu takkan along dengan abang aje kat atas tu?”
            “Apa salahnya?  Angah pun ada.  Cukuplah tu.  Wakil keluarga.”    Along merenung mataku.  Aku berpaling.  Aku tak perlukan simpati sesiapa sekarang.  Lebih-lebih lagi along.  Hanya mempamerkan kelembikan jiwaku mendepani semua ini.
Aku mengambil semula bakul dihias reben di tangan along.  Kembali bergerak dari meja ke meja.   Along Jiha juga berpaling, memaniskan wajah menaiki pentas makan beradap yang terletak berdepan dengan pelamin di sebelah kanan dewan.  Dipisahkan oleh lantai dewan dengan tetamu yang masih setia menanti majlis bersanding. 
            “Kain sutera kain belacu,
            Dipakai orang zaman dahulu,
            Ceria Pak Dollah sambut menantu
            Tahun depan dapatlah cucu.

            Dipakai orang zaman dahulu,
            Pacak tongset duli kurnia,
            Ingin nak jadi calon menantu,
            Agak-agak Pak Dollah, ada lagi tempat kosongnya?”


Pantun kedua daripada pengacara majlis itu menggamatkan suasana.  Terburai isi ketawa di sana sini.  Aku lihat baba mengangkat ibu jari ke arah pengacara majlis tersebut.  Ketawa bersahutan lagi apabila ada yang terpandangkan gelagat spontan baba.
            “Ni adik pengantin ke?”  Tiba-tiba satu soalan terpacul daripada mulut seorang wanita ketika aku sudah mahu meninggalkan meja bulat tersebut.  Aku anggukkan sahaja.
            “Cantik.  Dah bekerja atau masih belajar?”  Tanya wanita bertudung labuh berwajah manis itu. 
‘Eh, ini majlis kahwin abang saya mak cik!  Bukan sesi temuduga cari jodoh untuk saya pulak!’  getus hatiku. 
            “Kalau macam ni cantiknya,  tahun depan kak Ita dan Bang Dollah dapat menantu lagilah,” ujar seorang lagi wanita di sebelahnya.  Yang lain membalas dengan ketawa perlahan dan ada yang sekadar membalas dengan sejuring senyuman. 
            “Maaf nak ya, mak cik gurau aje.  Suka tengok muka anak ni.  Tenang aje.”  Kata wanita bertudung labuh tadi.
 Aku hadiahkan sebuah senyuman paling manis.  Hatiku sudah terbang, terawang-awang mencecah siling dewan seperti belon Doraemon yang dijual di tapak pesta terlepas ke awan.  Aku bersalaman dengan mereka sebagai tanda menghargai pandangan mereka.  Senyum terukir, bermain terus di bibir walaupun tadinya aku terasa mahu membaling bakul ini kepada pengacara majlis itu.
            Dari meja ke meja, aku terus disapa.  Tidak seperti sebelumnya.  Ini yang aku tak suka!  Memang betullah orang tua ni!  Kerana pantunnya nak cari calon menantu untuk anak baba, aku pula yang mendapat tempiasnya.  Puncanya juga mungkin baju ahli keluarga berwarna merah jambu bertanah merah yang sedondon belaka.   Tentulah aku yang disyaki sebagai dara ummi dan baba sebab Along Jiha dan angah Azie sibuk mengusung anak masing-masing ke hulu ke hilir. 
            Aku mengambil keputusan beredar.  Duduk diam sahaja di meja cenderamata.  Aku minta salah seorang anak saudaraku menggantikan tempatku.  Budak-budak, walaupun belasan tahun, kerja begitu masih merupakan terapi permainan buat mereka.  Berjalan dari meja ke meja.  Mengagih-agihkan cenderamata, terasa diri sangat berkuasa. 
            Usai majlis makan beradap, pengantin dibawa menuju ke pelaminan.  Ketika melalui meja cenderamata ini,  secara tak sengaja aku terpandang Ilhan.  Matanya bagai memohon maaf, semuanya tanpa rela dan berbagai-bagai alasan lagi.  Aku cepat-cepat menoleh, sebelum aku dikesani menangis.  Nanti habis gempar majlis baba dan ummi.  Semua orang gembira, aku pula yang berduka. 

            Aku memohon diri, masuk ke dalam tandas.  Di depan cermin besar, sepanjang-panjang dinding tandas itu, aku hanya berdiri tegak.  Wajah sendiri aku renung.  Dalam samar terasa susuk Ilhan berdiri di sebelahku.  Aku pejamkan mata.  Kejap.  Aku ingin melupakan apa yang berlaku.  Aku ingin melupakan.    Pergilah Ilhan.  Pergilah dari hatiku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...