Kisah Halimah, ibu beranak lima yang merangka-rangka bajet keluarga terutama menjelang cuti sekolah. Kisah ini mengungkap realiti yang berlaku di dalam sebuah keluarga ‘miskin bandar’. Tiada solusi khusus, melainkan kekuatan di dalam diri untuk keluar dari kepompong kemisikinan biarpun diri tidak sempurna.
DIA
melepaskan tangan daripada menekan kalendar di dinding yang memapar gambar kuda
berlari. Setiap kuda berlari dalam
barisannya. Di baris atas dan di baris
bawah. Minggu depan, cuti sekolah
bermula lagi. Halimah masuk ke dalam bilik. Bekas plastik berisi syiling berkerincing
bunyinya ditarik keluar dari gerombolan tempat kain.
Halimah mencongak-congak. Beras tinggal sepot. Gaji masih berbeza dua ekor kuda lagi
jaraknya. Cuti sekolah bermakna anaknya
yang lima itu
akan sentiasa ada di rumah. Akan
sentiasa menghingarkan suasana. Akan
sentiasa menadah perut minta diisi.
Kalau orang lain risaukan lokasi
percutian, Halimah risaukan lauk-pauk yang bakal dihidangkan. Adakah?
Atau sekadar nasi goreng buat sarapan, makan tengahari dan makan
malam. Kalau beras kehabisan, bermakna
mereka menjadikan lempeng sebagai makanan ruji.
Tidak dapat tidak, air matanya yang
tak pernah kering di pipi mengalir lagi.
Dia bukan tinggal di dalam hutan.
Dia bukan orang Asli. Dia tinggal
di pinggir Kuala Lumpur. Dia tinggal di rumah batu. Bukan rumah papan yang dihunggis
anai-anai. Bukan atap yang mencucuri
tengah rumah ketika hujan monsun menyapa dalam irama sepoi bahasa.
Istananya bertingkat lima. Indah tapi bakal meretak kerana terdiri di
atas timbunan sampah yang dikuangbalik dan dimampatkan. Agaknya sampah memang sebati dengan
sampah! Halimah menyumpah. Mereka yang tinggal di sini dulunya dianggap ‘sampah’
pembangunan. Ditebas dan dibersihkan dan
dilonggokkan semula di atas buncitan
timbunan sampah yang telah datar.
Dahulu, istana kecil mereka hanyalah
papan-papan usang di bawah pencawang elektrik.
Disusun dalam ertikata tidak tersusun dan menjadilah ia rumah. Meski kecil, ia membahagiakan. Meski setiap malam berkongsi tidur dalam
jalaran lebuh raya tikus dan lipas serta haiwan lain.
Istananya
kini mengisi tiga bilik dan ruang dapur yang semuat tiga manusia di dalam
satu-satu masa. Dia mensyukuri, walaupun
gaji bulanannya harus ditarik lagi sekitar ratusan ringgit. Dikepal letak ke tepi untuk membayar ansuran
rumah. “Jika tidak rumah akan dilelong
dan puan boleh diisytihar muflis atau bankrap,”
kata pegawai bank yang hadir sama ketika proses menandatangani surat perjanjian jual beli
dan pinjaman bank di ibu pejabat pemaju.
Gerun menyerkup diri mendengar
perkataan lelong itu. Di mana hendak
dihantar diri seandainya dihalau keluar dari rumah sendiri. Malu?
Dia sudah tidak kisah dengan perkataan itu. Kalau ditegur oleh jiran-jirannya ketika
keluar pergi bekerjapun dia memang tidak tahu malu. Dia menyengih sahaja.
“Apalah kau ni, Mah. Pakailah baju elok sikit. Baju kurung ke. Ini tak.
Seluar bunga-bunga oren. Baju
biru. Tudung macam pelangi,” tegur Mak Cik Sarifah ketika dia
terhegeh-hegeh menuruni tangga menuju ke tempat kerja. Halimah cuma tersengih-sengih. Tangannya menarik sedikit tudung yang sudah
leper sengkuapnya. Melekap ke muka.
“Baju kurung saya ada. Tapi baju raya. Sayang pula,”
lurus Halimah memberitahu.
Mak
Cik Sarifah menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tapi tangannya masih nyaman terletak di bahu Halimah. Mereka beriring-iringan turun dari tingkat lima.
“Limah…Limah. Kasihan mak cik tengok kau ni,” Mak Cik Sarifah bersuara lirih. Halimah cuma tersengih. Kayuhan kakinya harus dilajukan ke
depan. Tidak perlu bertangis pilu dengan
simpati. Tidak membawa ke
mana-mana.
No comments:
Post a Comment