http://www.keriswarisan.com/ |
Aku bukanlah gila bayang. Aku bukan dambakan cinta Pak Mun. Tetapi, kehadirannya walau derap kaki ketika dia pulang daripada mengajar silat di seberang sangat menenangkan. Jika hari masih muda, Pak Mun akan menegur abah yang suka berehat di pelantar. Menyandar tubuh tua kerempeng bertulang sambil mengira asap rokok pucuk yang ikut hilang dalam pekatnya gelap malam.
Jika tidak, aku hanya mendengar derap kakinya yang diseret perlahan tapi kemas dalam langkah pahlawan sejati. Aku tahu Pak Mun bukan sebarangan lelaki. Pak Mun bukan penjaga kebun sayur hujung kampung yang dipunyai oleh Penghulu Amar. Aku tahu Pak Mun dihantar oleh penghulu itu untuk mencari sesuatu.
Tubuhnya yang matang dan kekar itu bukan layak sekadar penjaga kebun di tepi hutan itu. Pak Mun datang dengan hajat dan hasrat lain. Pernah aku cuba mencari kebenaran daripada redup pandangan matanya. Pandangan yang selalu ditumpahkan menekur bumi.
"Wan Sari, sudah kau fikirkan masak-masak permintaan mereka tu?" Suara ayah tiba-tiba menganggu segala ingatan yang muluk-muluk tentang Pak Mun.
"Kalau Sari tak setuju sekalipun, Sari tetap akan dibawa secara paksa, bukan?"
"Bukankah lebih baik kalau Sari bersetuju?"
Aku tidak menjawab. Pengakhiran sebuah keindahan dalam keterpaksaan. Hanya mereka yang hilang waras sahaja yang mahu mengangguk akur tanpa bantahan. Aku mahu hidup! Aku mahu meneruskan kehidupan. Menjalani realiti berkasih sayang dan mengembangbiakkan baka. Aku bukan kambing. Aku bukan lembu.
Aku Wan Sari. Aku mahu terus bernafas dan terus tersenyum mengenangkan Pak Mun.
No comments:
Post a Comment