DI PINTU THRAWAT MENSIA.
AKU menoleh lagi.
Entah untuk kali yang ke berapa.
Kalau halkum dan marikhku ini dibuat daripada skru, aku rasa sudah lama
ia longgar. Kemudian terlerai daripada
jasad. Pintu automatik Hotel Thrawat
Mensia itu nyaris-nyaris membahagi dua
jasadku. Semuanya gara-gara dia.
Persoalan demi persoalan membundar membujur di dalam
cepu minda. Sepasang mata itu terus
lekat di dalam ingatanku. Sekujur tubuh
dalam abaya hitam, berniqab melintasiku saat aku menonong-nonong,
terkencar-kencar mengejar rakan sejemaah.
Kain ihram sebelah atas sudah melonggar. Aku betulkan.
Aku balut seluruh tubuh agam ini.
Tinggal sedikit sahaja lebihannya.
Segan. Walaupun aku tahu tiada
panau berani mencium tubuh yang kukira melepak ini. Namun aku memang malu untuk menampakkan susuk
tubuh waima di depan emak dan abah sekalipun.
“Ya
haji, cepatlah sikit. Kau nak naik teksi
pon pon?” usik adikku pula.
Dia sudahpun
bergayut di pemegang pintu bas. Bunyi
hon saling sahut-menyahut. Teksi-teksi
daripada model Toyota yang menjadi kenderaan mewah di Malaysia sekadar menjadi
kereta belasahan. Dikeronyok
pemandu-pemandunya yang kasar dan kadang-kadang garang.
Sepanjang Jalan Ibrahim Al Khalil tidak pernah
diam. Bunyi-bunyian daripada hon
kenderaan, teriakan pekedai menggamit pelanggan juga hingar-bingar pelbagai
bahasa yang terhimpun mewarnainya.
Kami sudah menghampiri umrah yang ketiga selepas berniat di Bir Ali,
Masjid Ja’ranah dan sekarang Masjid Tana’im.
Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Siti Aisyah Aishah kerana
baginda pernah bersolat dan bermiqat di situ.
Menaiki teksi pon-pon, kata Eriluqman, adikku adalah
pilihan terakhir. Ditambah pula aku yang
langsung tidak tahu berbahasa Arab.
Setakat wahid, isnain, salasa, arbaa, tahulah. Selebihnya, bahasa Jawa bercampur Mandailing
yang kalau didengar oleh khalayak minoriti di bumi Pertang itupun, mereka pun
menggelengkan kepala. Apalah yang
direpekkan oleh budak muda ni?
Kalau tahu berbahasa Arab, setidak-tidaknya boleh
tawar menawar. Walaupun sebahagian pemandu
teksi tersebut sebenarnya imigran Pakistan.
Jika tidak, pakat duduk dan bayar sahajalah! Kalau inginkan pilihan, harus menapak
beberapa puluh meter untuk ke stesen bas berhampiran Masjidil Haram. Dua riyal tambangnya dan diturunkan di tepi
jalan berhampiran pintu masuk Masjid Tanaim.
“Kenapa dengan kau?
Kau tengok apa?” Tanya Eriluqman
lagi.
No comments:
Post a Comment