..yang bernama sahabat

Saturday, 7 September 2013

Dilema Hasrat - Bab 1

DIA memandang puas kepingan kertas kuning itu.  Kepuasan yang bukan secupak rasa.  Tetapi, lebih daripada itu.  Sijil pendaftaran dengan Pusat Khidmat Kontraktor itu terdampar terus-terusan di hadapan matanya.

Bulat matanya membaca berkali-kali nama di bawah garisan itu.  NAFAS BUMI ENTERPRISE.  Itulah kepuasannya.  Seterusnya, tertera tulisan, pegawai syarikat yang ditauliahkan di bawah nama syarikat tersebut. 



Tercatat nama Duratul Aini binti Datuk Elyas dan mengisi ruang jawatan pengurus.  Kepuasan peribadi buat dirinya.  Tidak untuk orang lain.

Terasa langkah baru ini kian berpijak di bumi nyata.  Terasa semangat baru mengalir terus-terusan tanpa henti.  Kepuasan untuk dirinya seorang.  Tidak untuk dikongsi dengan sesiapa.  Tidak dengan ayah.  Tidak dengan mama.  Tidak dengan sesiapa juga.  Hidup menjadikannya keras.  Terlalu berani tanpa mempertimbangkan risiko.

Meski ayah yang kini tinggal nama menentang keras semasa hayatnya.  Meski mama tidak ingin ambil tahu atau lebih tepat lagi tidak disuruh mengambil tahu.

Kata ayah, biarlah begitu.  Setiap tender yang mengunjungi atau sebut harga yang datang, disubkan kepada kontraktor lain.  Tiba masanya menengadah untung.  Tetapi Dort inginkan kelainan.  Dort tidak mahu begitu.  Inginkan keserabutan minda yang sebenarnya mencicirkan pengalaman baru  Inginkan satu bentuk cabaran yang serba baru.

"Buat apa kau nak bebankan kepala, Dort?"  Soal ayah.  Tidak ambil pusing sangat kerana bidang perniagaan lain memberi laba yang lebih untuknya.

"Dort tak nampak bidang ni mendatangkan rugi!"  Tegas Dort.

"Tak perlulah dulu...."   Putus ayah.  Meskipun lembut tetap bermakna muktamad.  Dort mesti akur.  Tidak boleh tidak.

Begitulah.  Selepas ayah pergi.  Selepas kehilangannya yang agak begitu terasa.  Nafas Bumi memberikannya harapan baru.  Mama mulai bising bila dia sudah pandai meletakkan rumah ke aras terkebawah.  Pejabat dijadikan rumah tangga paling ulung.

Argh!  Rungut hati Dort sendiri.  Sejak ayah tiada, mama baru kenal rumah.  Dulu, persatuannya adalah matlamat hidup.   Sukarelawati, kerja-kerja amal adalah rutin mama.  Tetapi Dort yang menjadi rutin wajib diabaikan.  Dort benci mengingatkan itu semua.

Tanpa perhatian mama, Dort mampu berjaya.  Dengan hanya berbekalkan kasih sayang bersifat material, Dort meniti hari-hari persekolahan dengan sabar.  Pada saat teman-teman sekolah bertitipan surat cinta, riang bak belangkas, Dort tetap sendiri.  Dort hanya mampu mencipta angan-angan memiliki itu dan ini meski hidup berselimutkan harta.

Dort tersenyum sendiri.  Hikmahnya terserlah kini.  Dengan SPM pangkat dua, Dort dicemburui bosan.  Bosan meneruskan pelajaran.  Dort habiskan masa-masa terluangnya di pejabat ayah.  Menekan-nekan punat komputer tanpa makna.

Berkenalan dengan kerani ayah yang saban hari terlelap tidak kira waktu.  Dicengkam jemu akibat kurus inisiatif dan minat terhadap kerjaya.  Cintanya kemudian tumbuh pada istilah-istilah yang begitu asing sebelumnya.  Namun, masih banyak yang tidak sejurus dengan pendirian ayah.

Dort masih tidak setuju dengan ayah yang meletakkan hak diri entah di mana.  Dort selalu membangkang pendapat ayah yang menjadikan diri dan syarikatnya tunggangan orang lain.   Ayah terus-terusan menghalang niat baik Dort.  Baik bagi Dort dan tentu sahaja tidak bagi ayah!  Itu yang amat Dort kesalkan.  Dort diarah pulang ke kampung.  Tinggal bersama-sama nenek.  Alasannya menjaga nenek sakit yang sihat walafiat.

Dort lurus akur menurut telunjuk ayah.

"Ayah tak mahu dianggap lupa daratan.  Tapi ayahpun ada tanggungjawab.  Ayah nak kamu tinggal dengan nenek!"  Dort ingin membantah.  Tetapi cuma hatinya yang terkoyak.

"Sekurang-kurangnya kamu boleh belajar menghormati orang tua!"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...