..yang bernama sahabat

Thursday, 26 September 2013

Ikut kata Hati : Dendam Ratu Ular - Annur Shahana

teks   :  Monalita Mansor
mana ular putihnya? tak terlihat pada covernya.

saya terima melalui pos pada hari Isnin dan khatam malam tadi, Rabu 25/9/2013

DENDAM RATU ULAR (selepas ini disebut DRU) adalah mengenai kita.  Setiap watak di dalam Kampung Teratak Tiga sebenarnya adalah watak diri kita yang diwakili oleh Kaira, Daud, Kalsum, Rozita dan lain-lain. 

Pada asasnya cerita ini bertitik tolak daripada kepercayaan yang punah.  Meski dalam cerita ini perjanjian itu tidak sepatutnya berlangsung, tetapi kerana kemesuman jiwa dan raga, ia berlaku.  Setiap manusia mempunyai alasan masing-masing untuk berbuat sesuatu.  Yang menentukan keberhasilan alasan itu adalah nawaitu dan bagaimana ia dilunaskan. 

Kaira adalah mangsa keadaan.  Betul-betul mangsa.  Tetapi ia bertukar menjadi pemangsa apabila sesuatu yang paling berharga yang paling disayanginya lenyap terus.  Api dendam terus membakar dan syaitan dalam topengan apa pun memainkan peranan.

Bahasa di dalam novel ini cukup santai lantas memberi sedikit kelegaan pada suasana tegang di sepanjang pembacaan.  Watak-watak sampingan seperti Rahim, Wani, Fatimah menyuntik warna dalam novel ini dan sentiasa ada pengajaran untuk dihayati. 

seksi siut tapi tak ada unsur-unsur 'seksa' dalam novel ni, saya jamin.
Penamatnya adalah penamat yang pada mulanya saya jangka tetapi meleset. Saya sukakan penggunaan teknik penamat yang sebegini, memberi pembaca ruang untuk bertenang.  Namun membuat pecutan saat akhir dengan pengakuan demi pengakuan yang mengejutkan.  

Kecuali ada satu kesalahan kecil yang membuatkan saya terkucil sedikit, selain itu DRU berjaya membawa mesej bahawa yang haq akan terus kekal dan yang batil akan kecundang, biarpun perjuangan itu sangat lama dan merimpuhkan.

Banyak mesej moral terutama untuk kita masyarakat Melayu di dalam novel ini.  Di antaranya hasad dengki, cemburu, malas, panas baran apabila ditokok dengan kebodohan dan campur tangan syaitan, tidak dapat tidak menghasilkan kerugian. 

Selamat Membaca.


1 comment:

  1. Terima kasih kak! Review yang membina dan menyuntik semangat untuk karya seterusnya.Terima kasih juga atas pandangan akak tu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...