..yang bernama sahabat

Sunday, 8 September 2013

Ikut Kata Hati : Ulasan 'Suara Tengah Malam', Maria Kajiwa

Khatam sudah Suara Tengah Malam, lebih kurang jam 10.00 pagi sambil menunggu mee rebus di Restoran Mee Rebus Pak Usup, Taman Medan sebentar tadi.

Keseluruhannya, bagi saya novel ini agak mantap dari segi pengolahan ceritanya.  Meski ceritanya mungkin cerita biasa, tentang bobroknya masyarakat (gangsterisme, dadah, sumbang mahram, LGBT),
penulis membawa kita kepada solusinya dengan plot yang mudah, segar dan penamat yang bahagia dan boleh dijangka.

Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga, kenapa terlalu cepat penulis merungkai persoalan pokok yang menimpa watak utamanya, Adam.  Kemudian saya teringatkan akan subjek cerita ini iaitu 'suara' yang menjadi penyatu untuk kesemua watak, seterusnya menamatkan cerita.

Suara Tengah Malam, sedikit sebanyak meninggalkan peringatan buat pembaca tentang betapa pentingnya kasih sayang dan kesannya terhadap masyarakat melalui watak Zed, Mak Minah, Soffy, Mazni dan Usop.  Kesemua mereka mendambakan kasih sayang dalam kerangka kehendak mereka sendiri tetapi tersilap jalan sehingga memberi impak pula kepada masyarakat sekitar.

Begitupun, sejujurnya saya berpendapat Suara Tengah Malam akan lebih mantap seandainya identiti dan konflik sesama watak seperti Adam dan Zed dileraikan di pertengahan cerita.  Apabila diberitahu terlalu awal, rentak pembacaan menjadi sedikit kendur, tetapi tautan cerita bab demi bab menyelamatkannya.

Walaupun saya sudah dapat mengagak kesudahannya, saya tetap mahu membacanya dari kulit ke kulit.  Itulah istimewanya, Suara Tengah Malam, buah tangan novelis handalan, Maria Kajiwa.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...