“Maaf, cik kak-cik kak
sekelian. Dia ni masih dalam ihram. Free style pulak tu.” Terang Eri tanpa diminta dan pantas menarik
tanganku.
“Kau ni. Pantang tengok perempuan kan? Yang tu tadi dah sama tua dengan mak, kau
tahu?” hampir terkeluar bola mata Eri
menudaki wajahku. Tangannya pantas mengeluarkan gunting kecil daripada poket
kecil di tali pinggang berwarna hijau di pinggangnya.
“Kau ni, cakap tu berlapiklah
sikit. Peminat aku tu. Eii…makbul doa kau tu, apa aku nak jawab
dengan mak?” Terasa mahu aku gunting
sahaja bibir si Eri ni. Tidak dipeduli
langsung malah kadang-kadang dia langsung tidak memikir sebelum melepaskan
kata-kata.
“Tahupun takut!” dia mencebir sambil mengangguk-angguk. Gunting kecil di tangannya dilipat
kembali.
“Peminat nak bergambar, takkan aku
nak kata tak boleh. Lagipun ini tanah
suci. Sedangkan jemaah negara lain kita
tegur, ini pula dari negara sendiri.”
“yalah. Yalah.
Aku yang salah. Kaupun satu. Kau tak ingat ke antara larangan ihram yang
membabitkan perempuan. Kau tu bujang
lagi. Lainlah macam aku.” Bangga Eri membandingkan statusnya dengan
statusku.
Aku
tidak mengendahkannya. Labu betis terasa
bagaikan mahu tertanggal daripada kantungnya.
Kalau tak kuat semangatku ini, Zohorku tertunai di surau hotellah jawabnya.
“Aku tunggu kau dekat Pintu
Satu. Sampai nak tertidur aku kat
situ. Kenapa lama sangat?”
“Eh, aku baru habis saie ni
kan? Kaupun nampak.”
Aku dan Eri beriringan. Menentang arus jemaah Saie. Sesekali, kami menepi memberi laluan buat
jemaah lelaki yang berlari-lari anak di lengkung lampu hijau sepanjang trek
saie itu. Tidak mahu aku memberitahu Eri
bahawa tawafku tertunda dua pusingan gara-gara si gadis bermata cantik
itu. Selain daripada ceramah percuma,
tidak ketinggalan ketawa besarnya akan beriring juga.
“”Jom naik tingkat satu. Lepas Zohor nanti kita balik.” Saran Eri.
Aku mengikut sahaja. Di tingkat
satu terdapat ruang yang disediakan penyaman udara. Manakala ruang yang lebih terbuka dengan mata
lepas bebas memandang Kaabah disediakan kemudahan kipas.
“Aku tengok perempuan tadi tu
pandang kau semacam aja.” Luah Eri
sebaik sahaja kami meletakkan sila di atas karpet merah itu.
“Malaslah aku nak fikir.” Tukasku, walaupun sebenarnya hatiku terganggu
dengan kata-katanya.
Akulah
lelaki yang paling malang di dunia ini, Eri.
Perjalanan menuju puncak jodoh begitu berliku-liku. Cabarannya juga bukan kecil-kecil anak. Tetapi hati yang paling dalam terselit bagai
mengembang kuncup memberi nafas, ada cinta yang sedang memekar di tanah milik
komuniti pagan satu ketika dahulu
ini.
“Kita
doa sama-sama, okey. Lupakan yang
lepas-lepas tu. Soal hidup mati, jodoh
memang kerja Allah. Nak marahpun tak
guna.” Pujuk Eri.
“Aku
tak marahlah!” kata-kataku disambut ketawa kecil oleh Eri. Aku sedang meninggikan suara sambil
memberitahu yang aku berada dalam keadaan tenang. Orang mabuk pun tahu aku sedang marah!
“Nak
marah, marahlah. Dia tak akan balik pada
kau juga.” Tersentap pangkal jantung
menjadikan nafasku sesak mendengar walaupun setakat ganti nama terhadap gadis
itu. Aku tahu siapa yang dimaksudkan
Eri. Dia bukan sahaja memusnahkan pelamin anganku. Dalam masa yang sama, memusnahkan semua mimpi
kedua orang tuaku. Anganan emak dan ayah
untuk melihat aku diselimuti bahagia dalam dakapan seorang isteri.
No comments:
Post a Comment