BAB DUA BELAS
(12)
“KAMU sudah punya pacar?” Tanya Edward ketika mereka berdua meredah
kedinginan menunggu tren menuju ke Maastricth.
Edward
ingin membawanya bersiar-siar di sekitar ibu negeri Limburg
itu. Wafi teringatkan Allysa
Elesendra. Di mana-mana sahaja, Allysa
selalu memaut tangannya dan memperkenalkan dia sebagai tunang. Ditunangkan semenjak dari kecil oleh
keluarga. Apabila Wafi tanyakan kepada
mamanya, tiada ulas kata yang lahir dari mulut mamanya.
Tidak
dinafikan, di matanya Allysa Elesendra memang tergolong dalam kelompok manusia
yang sempurna fizikal. Kulit, 100
markah. Putih melepak. Bentuk tubuh, 100 markah. Potongan yang menjadi impian di dalam iklan
menguruskan badan. Wajah, 100 markah,
cantik dan bersih. Perangai? Bab yang ini, dia tidak mahu memberi
markah. Tidak tahu berapa mahu
diberinya.
Teringatkan
Zaw, macam langit ketujuh dengan kerak bumi. Kasar, pemarah, dan segala macam
‘pe’ lagi. Tetapi semenjak Zaw
menegurnya sebagai Indera Laksamana, terasa semacam pula. Terasa sehebat watak Hang Tuah di tangan
Stephen Rahman Hughes versi Tiara Jaqueline dalam Puteri Gunung Ledang.
Budik, Ain dan seangkatan kawan-kawan
perempuannya yang lain. Yang pernah
beberapa kali bergaduh kononnya merebutkan cintanya. Jejaka Malaya rojak terakhir. Wafi
menggeleng.
“Betul?”
Wafi mengangguk pula. Bukan ego dengan kelebihan yang ada. Bukan sombong dengan kurniaan Allah. Tetapi, pesanan mamanya tentang cinta alam
sekolah selalu berlegar di dalam minda.
Pembaziran. Membazir masa, wang
dan perasaan. Cinta tidak perlu
dicari. Ia datang sendiri dalam
bentuknya yang telah ditetapkan. Edward
ketawa besar. Warna ceria kemerahan
bertempek di pipi tuanya.
“Nampaknya Mama kamu menjaga kamu
dengan baik,” puji Edward.
Membanding
alunan didikan remaja Melayu yang lebih bersenandung berbanding remaja Eropah
yang membatu. Dara dan teruna bukan satu
keutamaan. Bersekedudukan menjadi budaya
dan mempertahan dara dan teruna termaktub sebagai perkara yang memalukan.
Rindu
dua lelaki itu menjurus ke arah jasad yang sama. Rindu kepada ibu, untuk Wafi. Rindu kepada isteri. Bekas isteri, untuk Edward. Edward mengutus tinta mengurai ikatan
perkahwinan selepas menerima permohonan daripada Izzaidah biarpun hati tidak
rela. Mereka meninggalkan Herleen menuju
ke Maastricht
dengan tiket dua hala merangkumi harga tren dan bas untuk perjalanan dua hala.
Ibu
negeri Limburg yang bersempadan dengan daerah
Liege di Belgium dan daerah Herzogenrath di Jerman di tenggara Belanda itu
kelihatan tersepit di antara kedua-duanya.
Penduduknya bertutur bahasa Belanda loghat Jerman seperti beberapa patah
perkataan yang diperturunkan oleh mamanya.
Angin
dingin musim luruh sesekala membuatkan gigi Wafi berlagaan. Mereka berjalan kaki menuju ke jambatan yang
merentangi River De Mass. Bandar
Maastricht bagaikan dibahagi dua oleh jambatan yang merentangi sungai yang
berpunca dari Poully en Bassigni di Perancis.
Melalui Belgium dan
kemudiannya mengalir masuk ke tanah Maastricht
yang mempamer identiti Belanda. Kincir
dan terusan.
Dia merakamkan foto di situ sebanyak
mungkin, seterusnya dikemaskini terus di laman muka bukunya. Mahu dikirimkan kepada Zaw. Kepada Ain.
Juga kepada Budik dan Amirul. Selain
kenang-kenangan, manalah tahu, menjadikan satu anjakan motivasi untuk
mereka.
“Apa tiada cewek-cewek yang sukakan kamu? Atau kamu gay?” Mata Edward memerhati feri yang baru tiba
dari Belgium ,
bergerak perlahan di dada River De Mass.
Wafi
hampir tersedak mendengar soalan itu.
Persoalan gay di Malaysia masih lagi soal sensitif disusuli pula dengan tindakan pelajar Melayu Arif
Alfian Rosli yang berkahwin di London
yang belum habis dibahaskan.
“Di
Malaysia, sindrom LGBT.” Lesbian, Gay, bisexual and transgender. Wafi terdiam sebelum menyambung.
“Kami
masih lagi berpegang pada Al Quran, Papa.
Kata Ayah Chik, terlalu banyak ingatan Allah terhadap perlakuan sumbang homoseksual kaum
Lut dinyatakan di dalam Al Quran. Banyak
kali. Allah sangat murka. Sangat murka.” Wafi merenung aliran air yang bersih. Jauh bezanya dengan Sungai Kelang yang
memikat warnanya dari segi rupa.
Mengalirkan liur buat kaki ketagih teh tarik.
Ayah
Chik menekankan kemurkaan tahap maksima Allah SW.T terhadap kebobrokan itu
sehingga diterbalikkan perkampungan Sodom
sehingga tersejat bejat semua hidupan menjadi Laut Mati. Menegaskan kedegilan hanya membawa kerugian
kepada manusia.
Ikut-ikutan
bodoh bagai hidung tercucuk pada perbuatan lepas-lepas tanpa meningkah tanya
harus dinoktahkan. Perbincangan santai selepas
Maghrib semasa menunggu berkumandang azan Isyak. Dia menelinga, menafsir dan menyimpannya.
“Siapa
Ayah Chik? Ayah itu maksudnya bapa
bukan? Dia suami baru Mama
kamukah?” Tanya Edward di dalam bahasa
bercampur Inggeris dan Indonesia .
Bicaranya
menggalas rasa cemburu. Biarpun Izzaidah
bukan lagi isterinya. Wafi ketawa
kecil. Mereka beriringan mencari kedai
makanan Arab. Mereka memesan Shawarma. Sejenis makanan seperti kebab tetapi di
dihidangkan di dalam pinggan.
“Kawan
Mama,” Wafi menjawab pendek.
“Kawan
istimewa?”
“Papa tanya Mama sendiri. Hari tu, Mama telefon. Wafi dah ajak dia datang ke sini. Tapi Papa mesti janji bawa kami ke Valkenburg. Boleh?”
Mendung berarak pergi dari wajah yang sudah memutih uban di kepalanya
itu.
“Mama kamu tak akan datang.” Edward bagaikan yakin.
Belasan
tahun dia memujuk sehingga kehabisan rasa.
Sehingga dia merasakan kebencian Izzaidah bagaikan puncak Everest mencecah awan. Tetapi apabila dia berkunjung ke Malaysia
beberapa tahun lepas, Izzaidah masih hangat menyambut kedatangannya.
Bagai
tidak pernah wujud ketidakselesaan akibat perpisahan mereka selepas dia pergi
meninggalkan dirinya bersama Wafi lapan belas tahun dahulu. Mungkin perkenalan mereka di bumi kelahiran
Puteri Diana dulu terlalu singkat.
Mengekang perasaan masing-masing untuk mengenal lebih akrab lagi.
"InsyaAllah. Dia akan datang,” Wafi tersenyum.
Mamanya
memang tidak sanggup berjauhan lama.
Sanggup ditinggalkan butiknya.
Diwasiatkan pengurusan spanya kepada pekerjanya. Melarikan diri ke tanah kelahiran Robin Van
Persie itu. Pemain tampan berasal dari Feyernood,
Rotterdam yang
kini bermain sepadang dengan Wayne Rooney dalam kelab elit bola sepak,
Manchester United.
“Apa
yang buat Wafi yakin sangat? Papa sudah
berkali-kali memujuknya agar mampir ke mari.
Dia masih tidak sudi.”
“Papa
ada satu kemahiran memujuk saja. Saya
ada dua kemahiran memujuk. Satu teknik
memujuk stail Izzaidah Arie Glas. Satu
lagi teknik memujuk diwariskan oleh Edward Arie Glas,” kata Wafi sambil ketawa.
“Tapi
Papa rasa teknik Edward Arie Glas itu perlu diperbaiki. Sudah lemau.
Sebab tu mama kamupun sudah tidak pedulikan papa,” Edward menyambung kata dan menyambung tawa. Dia menepuk-nepuk bahu anak lelakinya itu.
Assalamualaikum
Wafi. Cantik-cantik gambar yang kau post tadi. Maaf sebab dah lama tak menulis e-mel pada
kau. Aku rasa Zaw dengan Budik pun
begitu. Kami semua tengah berjuang di
kem PLKN ni. Bila balik cuti aja baru
boleh mengusik semua-semua gajet elektronik ni.
Sekali fikir macam baru keluar hutan pula.
Tapi
memangpun duduk dalam hutan. Tapi hutan di
sini memang seronok. Kawan-kawannya pun
baik-baik. Fasilitatorpun
baik-baik. Tapi aku tetap rindukan kau, maksud aku kau, Zaw dan Budik dan
Amirul. Kenangan-kenangan masa di
kampung Zaw dulu tetap aku ingat.
Biarpun tak lama.
Tapi,
itulah. Hidup ni harus diteruskan. Kau tetap juga nak ke Belanda. Apa yang ada di sana , akupun tak tahu. Kalau kau marah sangat pada Zawpun, takkanlah
merajuk sebegitu jauh. Aku rasa sepupu
kau tu, siapa namanya? Allysapun bengang
habis saat dia tahu Zaw yang jadi punca kau membawa diri ke sana .
Lebih
malang lagi,
boleh pulak dia masuk kem yang sama dengan aku.
Kalau aku cakap, kau jangan marah.
Tapi aku memang menyampah dengan dia.
Menyampah sungguh. Macam dia
seorang saja anak orang kaya di kem ni.
Kena
gigit nyamuk tak boleh. Kena itu tak
boleh. Kena ini tak boleh.
Wafi
tersenyum. Allysa.
“AWAK beritahu saya, apa yang awak
nak. Saya akan berikan asalkan awak tak
tinggalkan Malaysia ,” pujuk Allysa ketika mereka sama-sama
menikmati kopi putih di kafe francais popular di tanah air itu. Jemarinya melekap di belakang tangan Wafi.
“Kalau saya kata, saya nak awak,
boleh awak berikan?” Wafi menyorong
gurau tanpa niat.
“Betul? Kita kahwin nak?” Seri menyiram wajah putih kuning keturunan di
raja itu.
“Lepas tu, saya boleh ikut awak ke Holland . Kalau nak sambung belajar, kita sambung
belajar kat Europe ,” Allysa merangka perjalanan masa
depannya. Wafi hanya mengukir
senyum. Berangan!
“Tapi, saya dah tak ada hati nak
belajarlah. Awakpun tahu cita-cita saya
nak jadi model kan ? Mama sayapun dah janji nak dapatkan projek
untuk saya. Saya tak sabar nak tengok
nama saya terpapar di akhbar atau majalah.
Tengku Allysa Elesendra, model baru berdarah kacukan bakal menggegar
dunia,” Allysa menggawang tangan bagai
melekatkan sebaris perkataan di dada angin.
Kalau
setakat kacukan etnik Jawa, Cina , Siam , Banjar, Mandailing , India ,
sudah tidak membulatkan mata sesiapapun.
Sejak berkurun, bangsa Malaysia
memang didirikan atas kekukuhan etnik-etnik itu di tanah ini.
“Awak,
awak dengar tak ni?” Allysa merengek
bila melihat Wafi bagai endah tak endah dengan anganannya tadi.
Wafi
tidak memberikan reaksi. Sekadar
membetulkan rambutnya yang tercacak. Allysa
lebih mengada-ngada apabila melihat gelagat mereka menjadi perhatian. Setiap manusia yang lalu-lalang pasti menoleh
melihat betapa cocoknya mereka. Itu yang
membuatkan dia lebih bangga.
“Kenapa
dengan awak ni? Awak tak sihat? Selalunya tak macam ni…” Allysa meletakkan belakang tangannya di leher
Wafi.
Wafi
cuba
menepis tetapi jemari mulus itu telahpun singgah di lehernya. Bahasa Inggerisnya masih berbaur kemelayuan.
“Dahlah
Lisa. Saya nak baliklah. Saya rasa persediaan untuk SPM saya belum
cukup lagi. Lainlah awak, lulus tak
luluspun awak akan jadi model. Orang
cantikkan…” Wafi menyindir tetapi
disambut senyum oleh Allysa. Asal dipuji
sahaja, tidak kisahlah sama ada pujian berlapik sindir atau memang jujur
memuji.
“Awak nak balik atau awak nak jumpa
Zaw? Awak jangan cuba nak buat sesuatu yang boleh
menaikkan kemarahan saya,” Allysa bersuara.
Menguak rambut yang baru di’rebonding’.
Pehanya disilangkan sambil memeluk tubuh. Wajahnya mencapai takah kemasaman yang
maksima.
“Macamana awak kenal Zaw?” Wafi yang sudah bangun tadi, duduk
semula.
“Saya dah jumpa dia. Saya dah beri amaran pada dia. Kalau awak tinggalkan Malaysia juga, dia yang akan
susah!” Allysa mengugut.
“Kenapa awak ugut dia pula? Dia tak ada kena-mengena dengan
kitalah,” Suara Wafi sedikit keluar dari
lorong kerendahannya.
“Saya tahu semuanya pasal awak. Saya tahu dia juga yang tumbuk awak hari
tu. Kerana awak malu, awak nak larikan
diri. Kenapa? Kenapa nak tinggalkan saya? Kenapa fasal Zaw, awak berubah sepenuhnya.” Nadanya berencah serius. Wafi yang sedikit terjungkit marahnya
tiba-tiba terasa hendak ketawa.
“Awak jangan senyum-senyum. Kalau awak nak tinggalkan saya. Saya akan beritahu Nenda. Awakpun tahu apa Nenda boleh buat kan ?” Wafi jadi rimas sendiri.
Perempuan
di depan ini merasa begitu terancam lantas melahirkan ugutan demi ugutan. Kalau boleh dikaitkan dengan polis, angkatan
tentera dan bomba, agaknya habis kesemua pasukan keselamatan itupun dibabitkan
sama.
“Apa
yang awak cakap ni Lisa. Saya tak ada hubungan
dengan Zaw. Atau sesiapa saja. Kenapa nak babitkan Nenda pula?”
“Betul?” Allysa mendekatinya.
Melentuk
manja di dadanya. Aduhai, perempuan
ini! Lebih Inggeris dari bangsa Inggeris
sendiri. Mereka beriringan keluar dari
kafe itu. Kereta sport mewah milik
mamanya menjadi mangsa hari ini. Semalam
kereta papanya digunakan membawa teman-teman kroninya berlibur hingga lewat
malam. Apalah yang hendak difikir. Wang terlalu banyak untuk dilabur.
“Jadi,
awak tak jadi ke Holland kan ?”
Allysa menjangka. Mengenakan kaca
mata hitam dan mulai menguatkan lagu Lady Gaga yang berkumandang sebelum
memecut meninggalkan perkarangan kafe itu.
“Saya
masih memikirkannya…,”
“Tapi
kenapa?”
“Awak
tak akan faham, Lisa?”
“Siapa
yang boleh faham, Zaw?” Zaweeya hanya
memahami Tengku Indera Laksamananya sahaja.
Terkepung di dalam dunianya sendiri.
“Kenapa
awak asyik sebut nama dia?”
“Sebab
saya tahu, dia yang jadi puncanya.”
Bicara Allysa berbaur dendam.
Pelbagai
rancangan sudah tersusun untuk mengajar perempuan yang dirasakan menggugat
kehadirannya di sisi Wafi itu. Sebelum
langkahnya terus melaju menelusuri hati lelaki Wafi, sebelum Wafi juga menyambut huluran rasa berbaur
cinta itu, biar dia menghadang terlebih dahulu.
“Dia
tak ada kena-mengenalah. Berapa kali
saya nak beritahu awak?” Allysa terdiam
ketika Wafi menyergahnya dengan kata-kata tadi.
Semakin marak dendam yang bertapak di dada.
No comments:
Post a Comment