Catatan ini berdasarkan pandangan saya sebagai
penulis bebas berdasarkan kesesuaian tahap pendidikan akademik* saya di dalam
bidang kesusasteraan. Ia juga lebih
berbentuk nota ringkas untuk rujukan saya sendiri. Harap maklum.
(*saya tidak mempunyai kelulusan khusus dalam
bidang kesusasteraan dalam genre penulisan karya kreatif)
Pengenalan
Siti Hajar Abdul Aziz (2009) mengungkapkan
sastera bermaksud ‘teks yang mengandungi panduan atau pedoman’ daripada kata
serapan Sanskrit sastra. Sementara kata
dasarnya ialah ‘sas-‘ yang bermaksud panduan atau ajaran. Jika dilihat daripada definisi perkataan
sastera itu sendiri,
alirannya sepatutnya sesuai dengan konsep sastera hasanah,
kecuali setelah disuntik pelbagai falsafah dan teori oleh sarjana barat mengikut
acuan mereka sendiri.
Ainon Mohd (2011) mengungkap sastera hasanah
sebagai sastera yang membawa kebaikan kepada pembaa dan masyarakat tanpa
mengambilkira latar belakang penulis dan mutu kesusasteraannya. Bermakna, sesiapa juga boleh menulis karya
yang baik dan kreatif asalkan berpandukan nilai-nilai baik di dalam agama yang
tentunya rujukan utama kita ialah Al Quran dan Hadis. Nilai-nilai baik itu juga
termasuk nilai –nilai moral universal yang dianggap baik dan boleh dijadikan
teladan dan sempadan sama ada ditulis oleh penulis Muslim atau bukan Muslim.
Kesedaran menghasilkan sastera Islami sama
juga dengan kebangkitan kesedaran menggunakan produk “Islamik” seperti
perbankan, pergadaian dan sebenarnya adalah segala perkara yang melingkupi
kehidupan kita sepatutnya berasaskan Al
Quran dan Sunnah. Bagaimanapun, di Malaysia, produk perbankan sebagai contoh,
terpaksa diubahsuai daripada produk perbankan Islam asal yang dibawa dari Tanah
Arab (kerana bank-bank berasaskan pendekatan syariah diasaskan di sana) untuk disesuaikan dengan situasi masyarakat
majmuk di Malaysia. Masih berteraskan
‘pendekatan syariah’ (syariah compliance)?
Wallahu alam.
Ainon Mohd sekali lagi mendefinisikan Sastera
Islami adalah satera yang berdasarkan unsur-unsur dan ciri-ciri formal yang
bersifal internal dan spesifik pada karya sastera itu sendiri. Secara teorinya, sesiapa juga boleh menulis
sastera Islami tidak kira penulisnya Islam atau tidak asalkan sumber-sumber
internalnya perlu diterap daripada ciri-ciri internal-formal daripada Al
Quran.
Dirangkumkan nota-nota mengenai sastera
hasanah berdasarkan teori Surah Yusuf, surah yang mengandungi 111 dan satu
cerita yang paling lengkap di dalam Al Quran. Juga perbandingan sastera hasanah
dan sastera konvensional.
1.
Aspek halal haram dalam
karya. Pengarang sastera hasanah tidak
dibenarkan melukiskan watak fizikal yang bertujuan untuk menceritakan tentang kejelitaan atau ketampanan sesuatu ut watak. Antara ciri-ciri yang dimaksudkan adalah
bentuk tubuh, warna mata, warna rambut atau berkenaan pakaian yang
menggambarkan seksualiti sesuatu watak.
Begitu juga aspek teknikal perbuatan-perbuatan yang haram hukumnya
seperti membunuh orang, berzina baik dari segi proses mahupun alat yang
digunakan. Pengarang sastera hasanah
DIHARAMKAN melukiskan secara terperinci perkara-perkara tersebut. Berbanding dengan aliran sastera konvensional
yang mengagungkan aspek realisme yang mana karya itu harus dilakar secara
teliti untuk mewujudkan unsur-unsur realistik di dalam karya. Ia samalah sebagaimana kita menceritakan
babak-babak romantis sepasang pengantin baru.
Harus dilakarkan secara sepintas lalu dan bukannya menceritakan satu
persatu apa yang dilakukan bermula daripada saat pintu bilik pengantin ditutup.
2.
Aspek faktor dan ciri-ciri
keindahan dalam karya.
-
Kisah benar. Mengungkapkan kisah benar atau sebahagiannya
sahaja mencukupi untuk menjadikan karya itu indah.
-
Tema keluarga – tema keluarga
adalah tema yang relevan sepanjang zaman dan salah satu aspek keindahan di
dalam karya, iaitu ia mampu bertahan lama dan mendatangkan impak kepada
pembaca. Sebagai contoh, Ranjau
Sepanjang Jalan.
-
Watak utama adalah lelaki. Menggunakan teori Surah Yusuf menyebabkan
karya akan dinikmati oleh khalayak yang lebih besar manakala watak perempuan
menjadi watak pembantu utama. Suka atau
tidak, mahakarya Ramli Awang Murshid dalam kembara sufi Laksamana Sunan,
Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta adalah novel terhangat
dan kekal dalam ingatan sebahagian besar pembaca novel umum di Malaysia.
-
Tempoh cerita yang panjang. –
menambahkan keindahan karya itu apabila ceritanya panjang kerana ia lebih
membuatkan pembaca lebih bertenang untuk mengikutinya sehingga habis berbanding
dengan karya kompak setebal 600 muka dengan kisah berkisar cuma satu hari atau
sebulan sahaja.
-
Jumlah watak melebihi 20 orang. Jumlah watak yang banyak akan menjadikan
karya lebih mengasyikkan untuk dibaca.
Menjadikan jalan cerita lebih kompleks atau superkompleks.
-
Nasib watak jahat. Di dalam teori surah Yusuf, semua watak jahat
tidak dihukum. Kesemuanya dimaafkan dan
kemudiannya insaf sendiri. Bersesuaian dengan
konsep taubat, sabar dan saling memaafi yang menjadi nadi kehidupan beragama
buat Muslim.
-
Tiada babak percampuran di antara
lelaki dan perempuan bukan mahram. Hm...
sukar bukan. Bagaimana hendak dilukiskan
tetapi jika kita merujuk kepada Surah Yusuf dan menghayatinya, kita akan
mendapat jawapannya.
-
Bahasa yang digunakan adalah ragam
bahasa tinggi. Saya juga terfikir, saya
inginkan karya saya dibaca oleh teman-teman ipar saya yang menggunakan bahasa
Belanda di dalam kehidupan mereka.
Tetapi bagaimana mereka ingin menterjemah bahasa Malaysia saya
menggunakan aplikasi Google Translation jika ragam bahasa yang digunakan adalah
ragam bahasa pasar, bahasa lucah, bahasa kesat, bahasa bayi dan bunyi-bunyi
anomotopia seperti oh! Hai! Alah! Hmmm..! tentu Bing pun akan menterjemahkan
karya kita secara tunggang langgang.
BERSAMBUNG
Ainon Mohd, Kursus Menulis Novel Teknik Surah
Yusuf, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, 2011
Siti Hajar Abdul Aziz, Bahasa Melayu II,
Oxford Fajar Sdn Bhd, 2009
No comments:
Post a Comment