gambar ihsan : biofortified. org |
Kitaran Hidup Lebah Madu
Lebah madu termasuk di dalam kategori serangga di
bawah kelompok insecta. Lebah madu ataupun nama saintifiknya Apidae adalah serangga terbang yang
hidup berkumpulan. Di Malaysia, madu
lebah yang paling berkualiti dihasilkan oleh lebah tualang atau nama
saintifiknya Apis Dorsata.
Lebah tualang termasuk di dalam subgenus Megapis iaitu jenis lebah yang membina
indung terbuka di tempat tinggi seperti dahan pokok atau cenuram mahupun
bangunan. Lebah jenis ini dikatakan amat agresif dan boleh menyebabkan risiko
maut kepada manusia yang berkonfrontasi dengannya. Ia dibahagikan kepada
beberapa kasta seperti lebah ratu, lebah pekerja dan lebah jantan. Koloni lebah yang mempunyai 85% lebah pekerja
dianggap sebagai koloni yang produktif.
Kitaran Hidup
Lebah yang mempunyai tiga pasang kaki dan dua
pasang kepak ini mengharungi empat peringkat kitaran hidup iaitu, telur, larva,
pupa dan lebah dewasa. Kitaran hidup lebah dewasa terdiri daripada tiga
peringkat iaitu lebah betina produktif (lebah ratu), lebah jantan (lebah raja)
dan lebah betina tidak produktif (lebah pekerja). Proses metamorfosis ini
mengambil masa dua hingga tiga minggu.
Telur
Lebah ratu akan mengawan dengan lebah raja matang
di dalam bilangan yang banyak di udara. Ia kemudiannya akan mensenyawakan telur pada setiap sel lilin yang berbeza pada
sesebuah indung lebah yang telah disiapkan oleh para lebah pekerja. Telur lebah berbentuk bujur seperti benih pokok
popi. Setiap telur mempunyai bukaan kecil yang membolehkan sperma dimasukkan. Kebiasaan pada satu-satu masa, seekor lebah
ratu boleh mengeluarkan sehingga 200,000 ribu telur seumur hidupnya.
Uniknya, kasta hidup lebah ditentukan pada
peringkat telur lagi. Lebah ratu
mengklasifikasikan tugasan masa depan lebah-lebah yang terpilih berdasarkan
lokasi telurnya. Telur lebah pekerja
berada di sel yang lebih kecil dan mendominasi sebahagian indung lebah. Telur lebah raja pula berada di dalam sel
yang lebih besar, agak menonjol dan terdapat titik hitam di tengahnya. Berlainan pula dengan telur lebah ratu yang
ditetaskan di tempat yang paling besar, tidak tersusun dan kebiasaannya di tepi
sarang. Sebaik sahaja telur dieram,
larva akan terhasil dan membesar di dalamnya. Selepas tiga hari telur
akan matang dan ia akan bertukar menjadi larva.
Larva
Setiap larva mempunyai tempoh
eraman yang berbeza mengikut status masing-masing. Untuk lebah ratu ia mengambil masa selama 5 ½
hari, lebah pekerja adalah selama enam hari dan tempoh 6 ½ hari diperlukan
untuk mengeram lebah jantan. Larva akan bersalin kulit sebanyak
lima kali sepanjang tempoh tumbesarannya. Larva berbentuk seperti
cacing, kecil dan berwarna putih.
Di dalam tempoh dua hari pertama itu lebah pekerja
yang muda akan memberi larva makan jeli raja, nektar dan debunga. Pada hari ketiga, rejim diet ini akan
bertukar menurut urutan status lebah-lebah tersebut, tetapi tidak kepada ratu
lebah. Untuk menghasilkan seekor ratu lebah, larva akan disuapkan dengan jeli raja sahaja daripada hari pertama
ia menjadi larva.
Sementara lebah pekerja akan disuapkan debunga,
nektar dan air pada hari ketiga. Secara
purata berat larva akan meningkat daripada 5 ½ kali pada hari pertama sehingga
maksimum 1500 kali pada hari keenam. Selepas itu lebah pekerja akan menutup
permukaan atas sel lilin untuk proses transformasi larva kepada pupa.
Pupa
Seperti juga kitaran hidup serangga lain, pupa
lebah yang berwarna keputihan akan diam di dalam sarangnya sebelum bertukar
warna kepada coklat kekuningan.
Peringkat pupa adalah peringkat rombakan bentuk fizikal besar-besaran
bagi seekor lebah. Seperti proses eraman larva yang mengambil masa yang
berbeza, begitu juga keadaan ketika
lebah berada di peringkat pupa. Lebah raja
mengambil masa yang paling lama iaitu sekitar 14 ½ hari. Lebah pekerja selama 12 hari manakala tempoh
paling singkat adalah bagi lebah ratu iaitu selama 7 ½ hari. Di
dalam kokun ini, transformasi daripada bentuk seperti cacing kepada anak lebah berlaku
apabila mata, kaki dan sayap terbentuk.
Lebah dewasa
Anak lebah akan matang sepenuhnya dan berfungsi
mengikut kastanya selepas tiga atau empat minggu. Jika ia terhasil daripada telur yang tidak
disenyawakan, maka ia akan menjadi lebah raja dan ia akan mati sebaik sahaja
mengawan dengan lebah ratu.
Lebah ratu lahir daripada telur yang
disenyawakan. Jangka hayatnya
berlangsung selama lebih kurang 3 tahun.
Lebah ratu bersaiz lebih besar dan dikenali dengan titik kuning pada
tubuhnya. Ia mempunyai hormon istimewa
yang berfungsi mengawasi koloni lebah. Seekor ratu
lebah menguasai satu indung lebah pada satu-satu masa.
Bagaimanapun, koloni akan menghasilkan
ratu lebah yang baru sekiranya ratu lebah yang sedia ada sakit atau sudah tidak
produktif menghasilkan telur. Ratu
lebah baru yang paling awal terhasil
akan menghapuskan telur-telur yang lain dan juga membunuh ratu lebah sedia ada.
Selepas lima hingga lima belas hari, ratu lebah baru ini
akan terbang dan mengawan dengan sebilangan lebah jantan dan menyimpan sperma
tersebut di dalam kantung spermanya selama hayatnya.
Begitu juga dengan lebah pekerja. Sebaik sahaja
bebas daripada kokun, ia akan terus
bekerja. Dalam tempoh empat hari
pertama, lebah pekerja akan diberi makan dan dbersihkan oleh lebah pekerja lain
sehinggalah ia mampu berdikari, kebiasaanya pada hari ketujuh belas.
Tugas utama lebah pekerja ialah menyuap larva
dengan jeli raja yang terhasil daripada kelenjar-kelenjarnya. Apabila semakin kurang produktif, tugasnya
lebih tertumpu kepada pembinaan sel indung.
Tugas mengahwinkan bunga, menghasilkan madu dan lilin lebah merupakan
tanggungjawab lebah pekerja. Lebah
pekerja betina yang tidak boleh bertelur berperanan mengumpul debunga dan
manisan. Semakin menghampiri akhir hidupnya yang bertahan sekitar 1 bulan,
lebah pekerja akan beralih kepada tugas menerima nektar dan debunga daripada
lebah pencari ataupun menjadi pengawal sarang.
Ini adalah takah tugasnya yang paling bawah. Ia boleh mencapai kepantasan terbang sejauh
65 km sejam dan boleh terbang sejauh 46 km tanpa henti. Untuk mengumpulkan 1 kg madu, seekor lebah
pekerja perlu sekurang-kurangnya melakukan perjalanan 90,000 hingga 180,000
kali.
Jika diteliti kecanggihan hierarki koloni lebah
ini, maka tidak hairanlah sekiranya lebah mendapat penghormatan sebagai antara
serangga yang mendapat tempat di dalam Al Quran seperti yang disebutkan di
dalam surah An-Nahl ayat 69,
Dan TuhanMU mewahyukan
kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di
bangunan-bangunan yang dibuat manusia
sumber:
Wikipedia, (2012 November 6). Lebah.
Diperolehi November 26, 2012 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Lebah
Kitaran hidup lebah. Diperolehi November 26, 2012 daripada http://www.benefits-of-honey.com/honey-bee-life-cycle.html
Bukola Rachel, Royal Kriston
College , comment on post
(2012 September 15) daripada http://www.benefits-of-honey.com/honey-bee-parts.html
Imej kitaran hidup lebah (2012 September 12) diperoleh
November 26, 2012 daripada http://usahasilaturahmi.blogspot.com/2012/09/fakta-tentang-lebah.html
Wikipedia
(2012 September 26) Kitaran Hidup. Diperolehi november 12 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Lebah_Madu
Life cycle of bee http://library.thinkquest.org/5382/lifecycle.html,
Al Quran, An Nahl (16: 68)
No comments:
Post a Comment